Zurich General Takaful Malaysia Berhad lantik Nazrul Hisham Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Zurich Malaysia mengumumkan pelantikan Nazrul Hisham Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad berkuat kuasa hari ini. Akan melaporkan diri kepada Ketua Zurich Malaysia Stephen Clark, Nazrul bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia perlaksanaan keutamaan strategik Zurich untuk bertapak dengan lebih teguh dalam segmen takaful am di Malaysia.

Seorang pemimpin industri yang berpengalaman, Nazrul mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman menerajui pelbagai peranan strategik dan pengurusan kanan, dimana 12 tahun terkini adalah dalam industri takaful. Sebelum menyertai Zurich Malaysia, beliau bertugas selama lima tahun di Takaful Ikhlas Berhad, bermula sebagai Ketua Pegawai Operasi Perniagaan dan kemudiannya sebagai Ketua Pegawai Operasi menguruskan unit operasi bagi kedua-dua perniagaan takaful keluarga dan takaful am. Selepas penukaran lesen komposit syarikat, beliau mengetuai bahagian jualan dan operasi takaful keluarga dalam kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Operasi bagi Takaful Ikhlas Family Berhad.

“Nazrul merupakan calon sesuai untuk menerajui perniagaan takaful am kami berdasarkan pengalamannya yang meluas. Kebolehannya untuk mengenalpasti peluang baru dan penambahbaikan perniagaan, selain keyakinan kuat untuk mencapai kecemerlangan prestasi, saya yakin beliau akan meningkatkan perniagaan takaful am kami ke peringkat seterusnya. Saya teruja untuk bekerjasama dengan Nazrul bagi menjadikan Zurich sebagai salah satu jenama takaful terkemuka di Malaysia, membantu rakyat Malaysia daripada segenap lapisan untuk meningkatkan gaya hidup mereka,” kata Ketua Zurich Malaysia, Stephen Clark.

Nazrul memiliki Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara dan Sarjana Muda Sain dalam Kejuruteraan Perakaunan dan Kewangan daripada University of Hull, United Kingdom. Memulakan kerjaya dalam bidang pengauditan, beliau merupakan Ahli Berkanun bagi Institut Juruaudit Dalaman Malaysia dan pernah beberapa kali menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Takaful Malaysia.


Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB) adalah salah sebuah pengendali takaful am terkemuka di Malaysia. Ia merupakan ahli Zurich Insurance Group dan satu-satunya penyedia tunggal produk takaful am yang patuh syariah dalam kumpulan Zurich. Dengan kepakaran pasaran takaful lebih sedekad, ZGTMB menawarkan perlindungan takaful am yang meluas merangkumi motor, perjalanan, harta benda, kewangan dan peribadi, syarikat kecil hingga sederhana selain perlindungan risiko untuk industri besar. Bersama-sama kakitangan yang berdedikasi, tenaga kerja agensi, pengedar dan rakan niaga serta sokongan rangkaian cawangan di seluruh negara, ZGTMB komited untuk membantu para pelanggan memahami dan melindungi aset berharga dan perniagaan mereka daripada risiko. Untuk maklumat lanjut mengenai ZGTMB, layari www.zurich.com.my

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI