Malaysia Raih Tempat Pertama Dalam Kedudukan Kewangan Islam Global Untuk Tahun Ke-10

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Malaysia mengekalkan kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk tahun kesepuluh berturut-turut, kata Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Dalam satu kenyataan, MIFC berkata berdasarkan kepada ‘Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD)-Refinitiv IFDI Report 2022’ yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia turut meraih tempat pertama bagi empat sub kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kesedaran dan kemampanan.

Laporan itu juga merangkumi prospek pertumbuhan industri. Industri kewangan Islam global mempunyai jumlah aset bernilai US$4 trilion (US$1=RM4.43) pada 2021. Ia dijangka mencecah US$5.9 trilion menjelang 2026, kata kenyataan itu.

Menurut laporan itu, Malaysia berada di tempat pertama dengan jumlah skor IFDI 2022 sebanyak 113 mata, mendahului Arab Saudi yang di kedudukan kedua dengan 74 mata, Indonesia (61 mata), manakala Bahrain dan Kuwait kedua-duanya berkongsi 59 mata.

IFDI menyediakan analisis terperinci tentang faktor utama yang memacu pertumbuhan dan pembangunan industri di seluruh dunia kepada pihak berkepentingan dalam kewangan Islam seperti kerajaan dan institusi kewangan.

IFDI global 2022 mengukur prestasi 136 negara dalam lima kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kemampanan, pengetahuan dan kesedaran.

“Markah purata untuk 136 negara ialah sembilan; 38 negara mendapat markah melebihi purata manakala majoriti jatuh di bawah sembilan.

“Disebabkan oleh perubahan dalam metodologi IFDI tahun ini, markah dan kedudukan tidak dapat dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” kata laporan itu.

Laporan itu menekankan bahawa kekuatan terbesar bagi ekosistem kewangan Islam Malaysia ialah kesedaran, pengetahuan dan kemampanan. Arab Saudi mengikuti rapat di belakang Malaysia.

Indonesia pula menunjukkan prestasi kukuh dalam pengetahuan dan mendapat markah yang baik dalam tadbir urus, dan ia meraih tempat ketiga.

Negara lain yang berada di kedudukan 10 teratas termasuk Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Pakistan, Qatar dan Bangladesh.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA