Senarai Lengkap CEO & Pengerusi Bank-Bank Islam di Malaysia (2026)

Malaysia dikenali sebagai salah satu hab kewangan Islam terbesar di dunia, dengan lebih 13 institusi perbankan Islam yang beroperasi di bawah lesen Bank Negara Malaysia (BNM). Daripada bank Islam bebas (standalone) seperti Bank Islam Malaysia dan Bank Muamalat, sehinggalah unit perbankan Islam di bawah kumpulan bank konvensional seperti Maybank Islamic dan CIMB Islamic. Setiap satu diterajui oleh barisan kepimpinan yang berperanan penting dalam membentuk hala tuju industri kewangan Islam negara.

Kenapa Kepimpinan Bank Islam Penting?

Setakat Julai 2025, aset perbankan Islam Malaysia mencecah RM1.58 trilion bersamaan 38.7% daripada jumlah aset keseluruhan sistem perbankan negara (Kementerian Kewangan Malaysia, Economic Outlook 2026). Lebih menarik, dari segi pembiayaan pula, produk pembiayaan Islam menguasai antara 44% hingga 47.5% daripada jumlah pinjaman/pembiayaan seluruh sistem perbankan bermakna bagi setiap RM2 yang dipinjamkan bank di Malaysia, hampir separuh adalah melalui struktur patuh Syariah (Fitch Ratings, Malaysian Islamic Banks Monitor 2026; MOF Economic Outlook 2026).

Ramai yang beranggapan Pengerusi atau CEO sesebuah bank Islam mestilah seorang Muslim. Namun, berdasarkan kerangka kawal selia di Malaysia, tiada peruntukan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) atau dasar Bank Negara Malaysia yang menetapkan syarat sedemikian. Apa yang diwajibkan ialah setiap bank Islam perlu mempunyai Jawatankuasa Syariah (Shariah Committee) yang dianggotai oleh pakar Syariah yang berkelayakan. Jawatankuasa inilah yang bertanggungjawab menasihati lembaga pengarah serta memastikan setiap produk, perkhidmatan dan operasi bank mematuhi prinsip Syariah. Dalam masa yang sama, lembaga pengarah bertanggungjawab memastikan pematuhan Syariah dilaksanakan dengan berkesan di seluruh organisasi berdasarkan nasihat dan keputusan Jawatankuasa Syariah. Oleh itu, fokus utama pengawal selia adalah memastikan tadbir urus Syariah berjalan dengan baik, bukannya menetapkan bahawa semua Pengerusi atau CEO bank Islam mestilah beragama Islam.

Senarai CEO/Pengerusi bank-bank Islam di Malaysia (berdasarkan carian terkini):

Bank IslamCEOPengerusi
Maybank IslamicMohamad Yasin Abdullah (Group CEO Islamic Banking & CEO Maybank Islamic)
CIMB IslamicAhmad Shahriman Mohd Shariff
Public Islamic BankSyamsul Azuan Ahmad Fauzi
RHB Islamic BankAdissadikin Ali (sejak 2016)
HLB Islamic (dulu Hong Leong Islamic Bank)Dafinah Ahmed HilmiYM Raja Noorma
AmBank Islamic (AmIslamic)Eqhwan Mokhzanee Muhammad
Bank Islam MalaysiaRaja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz (Group CEO, berkuat kuasa 1 April 2026 menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang bersara Dis 2025)Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar
Bank Muamalat MalaysiaKhairul KamarudinDatuk Seri Tajuddin Atan
Affin Islamic BankNazlee Khalifah
Alliance Islamic BankRizal IL-Ehzan Fadil AzimDatuk Wan Azhar Bin Wan Ahmad
HSBC Amanah MalaysiaDato’ Omar Siddiq (juga CEO HSBC Bank Malaysia, merangkap CEO/Executive Director HSBC Amanah)
MBSB BankMohamed Rafe Haneef
Standard Chartered Saadiq MalaysiaBilal ParvaizTan Sri Shahril Ridza bin Ridzuan
Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia)Mohd Syahrul IshakJohn Roger Winfield

Sorotan Ringkas

  • Maybank Islamic, bank Islam terbesar di Malaysia dengan aset melebihi RM390 bilion, baru-baru ini dinobatkan sebagai Global Islamic Bank of the Year 2026 oleh The Banker – pengiktirafan di bawah kepimpinan Mohamad Yasin Abdullah.
  • CIMB Islamic turut meraih anugerah Islamic Bank of the Year – Asia pada 2026 di bawah Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
  • HLB Islamic baru sahaja menjalani penjenamaan semula (rebrand) daripada “Hong Leong Islamic Bank” kepada “HLB Islamic” pada Mac 2026, di bawah kepimpinan Dafinah Ahmed Hilmi.

Di Malaysia, hanya dua bank Islam penuh (full-fledged Islamic bank) yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (Bursa: 5258) dan MBSB Bank Berhad melalui syarikat induknya MBSB Berhad (Bursa: 1171). Selain itu, bank-bank Islam lain seperti Maybank Islamic, CIMB Islamic, RHB Islamic, Public Islamic Bank, Hong Leong Islamic Bank, Alliance Islamic Bank, Affin Islamic Bank dan Al Rajhi Bank Malaysia tidak tersenarai di pasaran saham secara berasingan kerana ia merupakan anak syarikat kepada kumpulan perbankan masing-masing

Kesimpulan

Landskap kepimpinan bank Islam di Malaysia terus berkembang seiring pertumbuhan pesat industri aset perbankan Islam negara berkembang 9.1% tahun-ke-tahun setakat Julai 2025, mengatasi kadar pertumbuhan perbankan konvensional.

Simpan halaman ini sebagai rujukan pantas dan jangan lupa semak semula maklumat rasmi di laman web masing-masing sebelum digunakan untuk tujuan formal seperti laporan akademik, media, atau korporat.

Sumber: Pendedahan syarikat, pemfailan Bursa Malaysia, direktori Bank Negara Malaysia, liputan media (The Edge, NST, The Star, Bernama) serta data statistik daripada Kementerian Kewangan Malaysia (Economic Outlook 2026) dan Fitch Ratings (Malaysian Islamic Banks Monitor 2026). Dikemas kini Julai 2026.
Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.