Skor Kredit Pengguna Malaysia Terus Meningkat

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2023 – CTOS, agensi pelaporan kredit terkemuka Malaysia, dengan kerjasama Monash University Malaysia (Monash) School of Business, telah menyiarkan intipati Laporan Kredit Pengguna CTOS bagi Malaysia tahun 2022. Dengan menggunakan sampel meliputi lebih 1.4 juta pengguna individu CTOS, kajian tersebut menunjukkan pertambahan positif dalam purata Skor CTOS sejak tiga tahun lepas daripada 663 menjadi 678. 

Skor CTOS ialah nombor tiga digit yang mewakili kelayakan kredit pengguna berdasarkan bayaran and pengurusan kredit individu tersebut. Ia adalah antara julat 300 hingga 850. Semakin tinggi skor, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan kredit.

Meskipun berdepan dengan pandemik, tahap kesihatan kewangan masih berada dalam kategori skor kredit “sederhana” yang mana ianya masih berpotensi dari sudut permohonan kredit. Kadar penggunaan kad kredit yang kekal pada sekitar 24% juga menunjukkan bahawa pengguna secara umumnya tidak perlu menambahkan pembelanjaan kredit tanpa cagaran untuk menempuh hidup sepanjang masa yang sukar tersebut.

Berbanding dengan negara-negara lain di peringkat global, Malaysia masih jauh di belakang jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang mempunyai skor kredit purata 716.

Akan tetapi dalam rantau Asia Tenggara, skor kredit merupakan suatu konsep yang agak baharu. Kadar penembusan biro kredit di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia, yang mana hanya 20-25% penduduknya mempunyai profil kredit1, atau Thailand, yang menurut kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh FICO menunjukkan 67% pengguna di Thailand tidak berpuas hati dengan kredit generik (umum) yang ditawarkan oleh bank mereka, disebabkan tiadanya  permarkahan kredit2. 

Walaupun pada amnya skor 678 bermakna kebanyakan warga Malaysia layak mendapat produk-produk kewangan bergantung kepada tahap risiko pemberi pinjaman. Namun, mereka berkemungkinan tidak akan mendapat tawaran kredit terbaik di pasaran berbanding dengan mereka yang mempunyai skor kredit di kategori “baik ke cemerlang”. Kategori skor kredit “Baik’” bermula dari 697. 

Tambahan pula, terdapat 28.3% pengguna yang tergolong di bawah kategori “rendah dan lemah’. Ini bermakna mereka tidak akan mendapat kredit daripada pihak institusi kewangan, oleh itu mereka mungkin akan terdedah kepada risiko menjadi mangsa pemberi pinjaman haram yang lazimnya mengenakan kadar faedah kredit yang terlalu tinggi. Ini bermakna pendidikan kewangan masih sangat penting bagi satu perempat (1/4) pengguna di Malaysia, manakala kepentingan mengekalkan kesihatan kewangan menjadi suatu faktor bagi masyarakat penduduk selebihnya.

“Di CTOS, misi kami adalah untuk memperkasakan individu dan juga perniagaan untuk mendapat akses kepada kredit dan mengawal masa depan kewangan mereka. Kami percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan kewangan mereka, layak menerima kemudahan dan sumber maklumat yang perlu untuk menguruskan kesihatan kredit mereka secara berkesan. Sebab itulah pihak kami mewujudkan perkhidmatan semakan kendiri CTOS,” jelas Erick Hamburger, CEO Kumpulan CTOS Digital. “Kami juga telah menjalankan sekitar 150 program pendidikan celik kewangan sejak 3 tahun lepas bersama-sama pelbagai institusi termasuk Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, AKPK, EPF, KPKT dan NGO. Menerusi pelbagai inisiatif-inisiatif ini, kami memberi peluang kepada pengguna untuk belajar dan memperkukuhkan kemahiran pengurusan kewangan mereka supaya mereka dapat menambahbaik kesihatan kredit dan kewangan peribadi mereka”

Laporan tersebut turut memuatkan butiran-butiran lain membandingkan kebolehpercayaan kredit generasi, purata baki pinjaman mengikut kumpulan pendapatan, jenis kemudahan kredit dan lain-lain lagi.

Menurut Ketua Monash School of Business, Profesor Dr Nafis Alam, statistik menunjukkan  bahawa pada tempoh masa sukar, kumpulan berpendapatan lebih rendah (B40) mempunyai kadar penggunaan kad kredit lebih tinggi iaitu 34.2%, jauh lebih tinggi daripada purata negara iaitu 23.7%, demi menampung kewangan mereka. “Selain kumpulan pendapatan, trend juga menunjukkan bahawa generasi lebih muda (Gen Y & Z) menggunakan kad kredit jauh lebih kerap daripada sebelumnya, berkemungkinan disebabkan desakan sosial, ini lantas meningkatkan tabiat berbelanja,” kata beliau. 

-TAMAT-

1 “Data kredit adalah suatu cabaran bagi BNPL di Indonesia”- The Asian Banker

2Kaji Selidik FICO: 67% warga Thai tidak berpuas hati dengan Tawaran Kredit Generik daripada Bank mereka | FICO

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.