Pengenalan Semula Program Cukai Pengakuan Sukarela Akan Bantu Tambah Hasil Kerajaan

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Pengenalan semula program pengakuan sukarela khas mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Dis 2024 akan membolehkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus terhadap cukai langsung dan tidak langsung yang tidak dibayar akan membantu menambah hasil kerajaan selain memberi manfaat kepada pembayar cukai yang ingin memanfaatkan inisiatif tersebut.

Pengenalan semula program itu diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Presiden Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM) Chow Chee Yen berkata keinginan pembayar cukai untuk tampil mendedahkan cukai yang belum dibayar secara sukarela mungkin tidak begitu kuat melainkan terdapat alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

“Komunikasi daripada jangkaan dan ketelusan antara pihak berkuasa cukai dan pembayar cukai turut dijangka memberi kesan kepada hasil yang diinginkan daripada program tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan untuk banjaran pendapatan boleh cukai RM35,001 hingga RM100,000 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai daripada kumpulan M40 berpendapatan sederhana.

“Ini adalah satu pengiktirafan bahawa kenaikan kos sara hidup turut melanda kumpulan M40 selain kumpulan B40 yang menerima sebahagian besar daripada bantuan kerajaan.

“Didapati bahawa kerajaan bersedia untuk melanjutkan pengurangan kadar cukai kepada mereka yang berada dalam banjaran boleh cukai RM35,001 hingga RM50,000 yang bukan penerima untuk cadangan yang sama (sebelum ini),” katanya.

Sebaliknya, Chow berkata kerajaan telah mencadangkan untuk menaikkan kadar cukai sebanyak 0.5 hingga dua mata peratusan untuk banjaran boleh cukai RM100,001 hingga RM1 juta, yang dijangka memberi kesan kepada kira-kira 150,000 pembayar cukai.

“Pelarasan semula kadar cukai untuk banjaran tersebut konsisten dengan apa yang dilihat sebagai pemikiran kerajaan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan memperluas asas cukai kepada mereka yang mampu,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Kesan RM1.4 Bilion Pendapatan Tidak Dilapor Hasil Semakan E-Invois

CYBERJAYA –  Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) kekal komited memperkukuh aktiviti pematuhan cukai bagi mengekang ketirisan hasil negara serta memastikan pelaporan pendapatan dilaksanakan dengan betul dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Usaha ini selaras dengan inisiatif memperkasa sistem percukaian negara melalui agenda pendigitalan bagi meningkatkan ketelusan, seterusnya menjadikan penilaian risiko pematuhan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta  e-Invois secara keseluruhan. Perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, HASiL telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian. Lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada HASiL.

Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka. Sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.

Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, HASiL komited memberi sokongan penuh kepada Kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya. Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan. Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pembayar cukai boleh menghubungi HASiL melalui saluran khas e-Invois seperti berikut untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat selanjutnya:

a. Berkunjung ke Pejabat HASiL;

b. Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam);

c. MyInvois Live Chat;

d. E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan

e. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my