CGS International Melihat Pasaran Beralih Daripada Pemulihan Kepada Pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2025 – CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (“CGS MY”), penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu terkemuka, hari ini berkongsi tinjauan pasaran awal dan pandangan mereka menjelang penerbitan Laporan Navigator 2026. Pratonton laporan ini memberi gambaran awal mengenai apa yang mungkin berlaku pada 2026 selepas Malaysia memegang Kerusi Pengerusi ASEAN, jangkaan terhadap Belanjawan 2026 dan keutamaannya serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Berdasarkan latar belakang ini, laporan tersebut akan memberi tumpuan kepada tema dan faktor utama yang akan mempengaruhi pasaran pada tahun hadapan.

ASEAN telah muncul sebagai blok ekonomi yang stabil dan semakin signifikan di mata dunia. Dalam konteks ini, kedudukan ekonomi dan politik Malaysia seperti yang dibuktikan melalui kebijaksanaan diplomatik dan ekonomi kerajaan dalam mengurus hubungan dagangan global dan ketegangan yang semakin meningkat telah meletakkan Malaysia sebagai peneraju dan rakan strategik dalam blok serantau dan juga di peringkat antarabangsa. Sebagai penanda persepsi dan sentimen perniagaan, jumlah dan nilai dagangan di Bursa Malaysia kekal berdaya tahan, disokong lebih banyak oleh penyertaan domestik berbanding asing. Prestasi pasaran pulih selepas kebimbangan tarif, mencatat peningkatan stabil daripada penurunan pada April 2025 kepada 1,619.63 mata (FBM KLCI) dan 11,818.32 mata (FBM Emas)[1].

Khairi Shahrin Arief Baki, Ketua Pegawai Eksekutif-designate, CGS MY berkata, “Pihak CGS MY mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran Malaysia menjelang 2026, berbekalkan pengurangan risiko luar dan sokongan dalaman yang semakin kukuh. Kami yakin terhadap potensi Malaysia sebagai ‘safe haven’ ketika ketidaktentuan global (AS-China) serta ketegangan serantau (China-Jepun), dipacu oleh kedudukan strategik Malaysia, hala tuju dasar yang menyokong sektor pertumbuhan tinggi, serta fokus domestik yang kuat. Melangkah ke hadapan, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk terus mengekalkan kedudukan nombor satu di ASEAN bagi penyenaraian IPO dan pengumpulan dana. Dengan tujuh lagi penyenaraian dalam perancangan untuk 2025 menjadikan keseluruhan 59 penyenaraian[2], momentumnya sangat kukuh. Minat terhadap Malaysia dijangka kekal tinggi, terutamanya susulan kertas rundingan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berhubung cadangan penyemakan besar terhadap keperluan penyenaraian Pasaran Utama dan ACE pada 2026.”

Di peringkat global, ketegangan perdagangan geopolitik yang tercetus awal tahun ini mula reda. Tarif balas AS telah disemak lebih rendah bagi kebanyakan negara berbanding cadangan awal pada Hari Pembebasan. Bagi Malaysia, tarif balas dikurangkan daripada 24% kepada 19%. Malaysia juga menikmati pengecualian tarif ke atas lebih 60% eksport ke AS antara yang tertinggi di ASEAN. Dengan Rizab Persekutuan AS menyambung semula kitaran penurunan kadar, dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 2026, penyempitan perbezaan kadar faedah berpotensi memberi manfaat kepada ringgit dan pasaran saham Malaysia.

Tambah beliau, “Setakat ini, pertumbuhan pelaburan Malaysia berakar pada asas negara yang kukuh: kestabilan politik dan dasar, disiplin fiskal, dan tadbir urus yang baik. CGS MY komited menyokong kekuatan ini melalui kepimpinan pasaran modal kami terutamanya dengan memacu lebih banyak kerjasama dengan rangkaian ASEAN dan China, sambil menyumbang kepada kepimpinan pemikiran dalam kelestarian. Tahun 2025 telah meletakkan asas kukuh untuk kami terus membina keyakinan pelabur hasil keberkesanan peraturan serta aliran penyenaraian baharu yang sihat merangkumi sektor pengguna, penjagaan kesihatan, logistik dan teknologi.”

Di dalam negara, sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan MADANI telah melaksanakan langkah pembaharuan ekonomi bagi memperluas asas hasil negara dan merasionalisasi subsidi untuk memastikan pengukuhan fiskal yang bertanggungjawab. Keberhasilan reformasi ini sudah kelihatan apabila defisit fiskal mengecil daripada 5.5% KDNK pada 2022 kepada unjuran 3.8% pada 2025 dan 3.5% pada 2026, menurut Kementerian Kewangan.

Selain disiplin fiskal, kerajaan turut merangka beberapa pelan strategik di bawah payung Ekonomi MADANI seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) bagi memacu pertumbuhan dan mengangkat kedudukan Malaysia untuk dekad akan datang. Pelaksanaan pelan-pelan ini telah melonjakkan jumlah pelaburan yang diluluskan ke paras tertinggi RM379 bilion pada 2024, melepasi rekod 2021 (RM309 bilion) dan 2023 (RM330 bilion). Walaupun daripada asas yang tinggi, pelaburan yang diluluskan untuk sembilan bulan pertama tahun ini kekal kukuh pada RM285 bilion, meningkat 13.2% berbanding tempoh sama tahun lalu berada di landasan untuk mencapai satu lagi rekod baharu pada 2025.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), negara menyasarkan kehadiran 31 juta pelancong dan hasil pelancongan sebanyak RM147.1 bilion. Ini bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) dua tahun masing-masing 19% dan 20% berbanding asas 2024. Saham-saham berkaitan pelancongan seperti penerbangan, runcit pengguna, penjagaan kesihatan serta REIT yang memiliki pusat beli-belah dan hotel utama dijangka menarik minat pelabur. Selain itu, syarikat yang baru disenaraikan seperti Aquawalk Group turut menjadi proksi baik untuk tema VMY2026.

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.