Dividen LTAT 5.25 Peratus Bagi Tahun 2024, Tertinggi Dalam Tempoh Tujuh Tahun

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen lima peratus dan bonus 0.25 peratus bagi tahun 2024 — tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Jumlah agihan itu melibatkan RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata agihan ini memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus mencerminkan pemulihan yang kukuh, prestasi mampan dan kestabilan dana,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di sini hari ini.

Dividen bagi tahun kewangan 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 28 Mac 2025 dan pencarum boleh menyemak penyata melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau laman web rasmi LTAT.

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata LTAT terus memperkukuh kedudukan kewangannya dengan peningkatan tahun ke tahun secara konsisten dalam semua petunjuk prestasi utama.

Katanya bagi tahun kewangan 2024, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Pertumbuhan ini didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada aset strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.

“Keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7 peratus kepada RM588 juta bagi tahun kewangan 2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan pengurusan kos yang berhemat,” katanya.

Sejak 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.

Dalam pada itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.0 peratus tahun ke tahun, mencapai RM1.01 bilion bagi tempoh yang ditinjau.

“Prestasi kewangan tahunan ini menjadi bukti kekuatan ekonomi domestik Malaysia apabila pelaburan LTAT sebanyak 100 peratus berasaskan pasaran tempatan.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang kukuh, baik dari segi kawal selia mahupun pembangunan yang telah mewujudkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang stabil,” katanya.

LTAT turut mengumumkan pemilihan lima kem tentera di bawah inisiatif “Kem Santuni MADANI” dengan kerjasama syarikat kumpulan LTAT bagi menangani cabaran yang dihadapi kem-kem ini termasuk penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pemerkasaan kewangan dan program sokongan komuniti lain.

— Sumber: BERNAMA 

Latar Belakang LTAT

Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang lebih dikenali dengan singkatan LTAT, telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1972 di bawah Akta Parlimen iaitu Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101).

Caruman

Di bawah skim persaraan, pencarum wajib dikehendaki mencarum 10% daripada gaji bulanan kepada LTAT dan 15% sumbangan kerajaan secara notional dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan dan 15% sumbangan kerajaan.

Sejarah Pemberian Dividen Dan Bonus LTAT 2015-2024


Sejarah Pemberian Dividen Dan Bonus LTAT 1973 – 1994

SumberLaman Web LTAT

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.