Harga Emas Boleh Cecah RM700 Segram Menjelang Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi meningkat kepada RM700 segram menjelang hujung tahun ini didorong ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Ketika ini, harga komoditi itu diniagakan pada RM582 segram dengan paras tertinggi pernah dicapai ialah sekitar RM675 segram pada awal Januari lalu.

Ahli ekonomi, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, berkata meskipun terdapat faktor yang boleh menekan harga emas seperti penjualan pegangan oleh sesetengah negara, kesan keseluruhan daripada konflik geopolitik dan kejutan harga minyak dijangka terus menyokong kenaikan logam berharga itu.

“Kalau dilihat kepada keadaan semasa, harga emas memang ada turun naik, tetapi trend jangka panjang masih menaik. Ketegangan geopolitik akan terus menjadi pemacu utama,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bertajuk ‘Emas dalam persekitaran global yang tidak menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, hari ini.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Mengulas lanjut, Dr Ahamed Kameel yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Penyelidikan) Universiti Sultan Azlan Shah, berkata harga emas sebelum ini hampir mencecah paras RM700 segram pada Januari lalu sebelum susut semula ke sekitar RM600, namun paras itu dijangka diuji sekali lagi dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kenaikan harga emas sejak awal 2000 menunjukkan trajektori yang konsisten, sekali gus menepis kebimbangan berlakunya gelembung harga dalam masa terdekat.

“Sejak 2001, harga emas menunjukkan trend menaik yang berterusan. Jadi walaupun sekarang nampak tinggi, saya masih melihat ruang untuk ia meningkat lagi,” katanya.

Sementara itu, Meer Habib berkata, keyakinan pengguna terhadap pembelian emas dilihat terus kukuh meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk konflik melibatkan Iran, dengan trend pembelian menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh semasa.

Katanya, situasi itu berlaku walaupun harga emas mengalami sedikit penurunan dalam jangka pendek, susulan faktor luaran seperti keperluan negara tertentu menggunakan rizab untuk menampung kos tenaga, khususnya minyak.

“Penurunan harga emas ketika ini tidak menjejaskan sentimen pengguna, malah dilihat sebagai perkembangan positif yang mendorong lebih ramai pelanggan kembali membeli emas.

“Keyakinan pelanggan sebenarnya meningkat. Walaupun harga emas turun sedikit, ia berlaku atas sebab yang baik, antaranya kerana negara menggunakan rizab emas untuk keperluan penting seperti tenaga.

“Ini membuka peluang kepada pengguna yang sebelum ini merasakan mereka terlepas peluang apabila harga terlalu tinggi,” katanya.

Menurut Meer Habib, perkembangan itu menyebabkan peningkatan pembelian emas dalam kalangan pengguna, terutama ketika harga menunjukkan pelarasan sementara.

Dalam masa sama, beliau berkata perubahan tingkah laku pembelian turut ketara apabila semakin ramai lelaki mula membeli emas sebagai instrumen pelaburan, berbanding sebelum ini yang lebih didominasi golongan wanita untuk tujuan perhiasan.

“Jika dahulu pembelian jongkong emas hanya sekitar lima hingga 10 peratus, kini ia meningkat sehingga kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan,” katanya.

Beliau berkata, trend itu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap emas sebagai aset pelaburan jangka panjang, selain faktor ketidaktentuan ekonomi global yang terus menyokong permintaan terhadap aset selamat .

Pada masa sama, katanya pembelian barang kemas juga kekal kukuh kerana pengguna melihatnya sebagai gabungan nilai estetika dan pelaburan.

“Emas memberi dua manfaat, iaitu sebagai perhiasan dan juga pelaburan. Sebab itu permintaan terhadap barang kemas masih meningkat walaupun harga tinggi,” katanya.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian