10 Tips Uruskan Kerugian Saham Siri 1

Dalam pelaburan saham, anda tidak boleh lari daripada kerugian. Rugi itu pasti, untung itu wajib!

Haa. Tak semuanya indah dalam pelaburan saham. Begitu juga dengan instrumen pelaburan lain. Inilah perkara normal yang perlu dihadapi oleh setiap pelabur.

Jadi, apa yang penting adalah cara setiap pelabur menguruskan kerugian yang dialami.

1. Berhenti Sekejap

Ya. Jika dah rugi tu, berhenti sekejap daripada melakukan sebarang tindakan dalam pelaburan. Tenang dan sabar. Lihat semula trading plan yang anda lakukan.

Jangan melabur ketika emosi anda tidak stabil.

2. Buat Sesuatu Yang Anda Suka

Ini penting kepada para pelabur. Alihkan perhatian anda seketika kepada perkara lain yang boleh menceriakan diri anda. Kalau anda minat bermain DOTA, luangkan masa untuk bermain DOTA.

Jika anda suka untuk keluar melepak di mamak, keluarlah ke mamak sambil menghayati roti canai dan teh tarik. Buat apa sahaja aktiviti anda suka.

3. ‘Throwback’ Profit Yang Pertama

Kenang kembali ketika anda berjaya membuat keuntungan yang pertama. Fuhh! Mesti seronok kan? Berapa banyak yang berjaya anda jana ketika profit anda yang pertama?

4. Perhatikan Pasaran

Rehatkan fikiran dan perhatikan keadaan pasaran. Adakah pasaran sedang menjunam atau sedang menghijau? Ingat semula trend-trend pasaran dan lihat jika pasaran selamat untuk dimasuki.

5. Baca Kisah Inspirasi

Ada pelabur yang down terutamanya apabila mengalami kerugian. Pasakkan dalam diri anda bahawa kerugian ini biasa dalam pasaran saham dan anda perlu menguruskan kerugian yang anda hadapi dengan betul supaya anda tidak mengulangi kesilapan yang sama di masa akan datang.

Baca kisah-kisah inspirasi terutamanya daripada pelabur-pelabur berpengalaman dalam pelaburan saham. Sudah pasti mereka akan turut sama berkongsi keadaan ketika mereka turut mengalami kerugian. Ambil pengajaran daripada kisah yang disampaikan.

Jangan risau. Setiap kerugian yang kita alami pasti ada hikmahnya. Nantikan artikel sambungan dalam tips untuk menguruskan kerugian ini.

Selamat melabur!

Artikel ini dibawakan khas oleh Asri Ahmad Academy. Jika anda betul-betul ZERO dalam pelaburan saham, anda boleh mendaftar webinar PERCUMA anjuran Asri Ahmad Academy bersama Bursa Malaysia di sini.

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters