Buat Duit Dalam Saham Dengan Fahami Sentimen

Pasaran saham semasa sememangnya tidaklah begitu memberangsangkan. Banyak saham telah mencatatkan penurunan harga terutamanya dari sektor teknologi. Namun demikian, benarkah ia bermakna anda langsung tidak boleh membuat duit dari pasaran saham?

Ia tidak benar kerana masih ada pelabur dan pedagang yang bijak mengambil peluang dan turut berjaya membuat keuntungan. Apa yang mereka lakukan sebenarnya?

Sini saya kongsikan beberapa tips kepada anda. 

Pernah tak guru saham anda menekankan kepentingan membaca dan kepentingan mengambil tahu isu semasa serta sentimen yang sedang berlaku?

Hal ini kerana, anda akan tahu sektor mana yang sesuai diperhatikan dengan memahami sentimen semasa.

Mari kita lihat contoh yang pertama.

1. Peperangan Antara Ukraine dan Russia

Peperangan merupakan satu perkara yang kita tidak mahu berlaku. Krisis di antara Russia dan Ukraine memberi kesan terhadap harga minyak mentah dunia memandangkan kedudukan Russia sebagai salah sebuah negara pengeluar dalam pelbagai lapangan industri.

Russia merupakan sebuah negara yang amat kaya dengan sumber semula jadi terutamanya minyak. Peperangan yang berlaku sudah tentu akan memberi kesan terhadap kelancaran dalam pergerakan harga minyak di seluruh dunia.

Harga Brent melonjak mencecah USD100 setong buat kali pertama sejak tahun 2014 selepas Russia menyerang Ukraine. Harga minyak mentah WTI turut membuat kenaikan seiring dengan harga brent.

Sumber: oilprice.com

Kenaikan harga minyak mentah ini turut memberi impak terhadap saham sektor tenaga di pasaran saham.

Sumber :

Saham di atas merupakan contoh kesan kenaikan harga minyak mentah dunia. Apabila harga minyak mentah dunia menaik, saham-saham dari sektor tenaga boleh diperhatikan. 

Sebelum peperangan bermula pada Februari 2022, ketegangan di antara dua buah negara itu sudah dapat dirasai sebelum itu. Seperti biasa pasaran saham akan memberi tindak balas lebih awal sebelum kejadian tersebut benar-benar berlaku.

Pada 31 Januari 2022, saham minyak di atas telah berjaya membuat breakout pada rintangan RM0.97. Seterusnya saham ini terus membuat uptrend sehingga setakat artikel ini ditulis.

Selagi konflik tersebut belum menemui jalan penyelesaian, harga minyak mentah dijangka akan terus meningkat dan memberi kesan positif kepada saham minyak & gas. 

Walaubagaimanapun, harus diingatkan tidak semua saham minyak & gas akan bertindak balas terhadap sentimen atau isu semasa. Anda harus bijak mengenal pasti saham mana yang memberi tindak balas.

Kalau jumpa saham tersebut, tunggu apa lagi. Kita pun boleh ride the trend.

2. Kenaikan Harga Minyak Sawit

Selain konflik di antara Russia dan Ukraine yang menyebabkan harga minyak mentah dunia meningkat, pasaran hadapan minyak sawit juga naik mendadak.

Sumber:

Peraturan eksport baharu Indonesia yang berkuat kuasa pada 27 Januari 2022 telah memberi impak terhadap harga minyak sawit berikutan kebimbangan terhadap kekurangan ketersediaan minyak sawit dalam pasaran eksport.

Tujuan Indonesia melaksanakan peraturan eksport tersebut adalah untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi di pasaran tempatan. 

Sumber: Astro Awani

Malaysia sebagai salah sebuah pengeluar minyak sawit sudah pasti mendapat manfaat daripada dasar eksport baharu Indonesia tersebut.

Baca: Peningkatan Harga Sawit: Kerajaan Jangka Peroleh Keuntungan Cukai Lebih Rm348 Juta

Sumber:

Jika benar pasaran saham jatuh teruk, mengapa masih ada saham sektor perladangan yang mampu membuat kenaikan sebanyak 67.20%?

Jika ada sentimen di sektor perladangan, anda tumpukan perhatian pada sektor tersebut. Jangan pula anda tersilap membeli saham di sektor yang sedang tidur.

Baca: Harga Sawit Pecah Rekod Buat Saham Leader Untung Besar

Siapa kata tak boleh buat duit ketika pasaran sedang merah? Anda hanya perlu mencari sektor yang mempunyai kaitan dengan isu semasa.

Kesimpulannya di sini adalah pasaran saham adalah tempat untuk membuat keuntungan bagi pelabur dan pedagang yang bijak mengambil peluang. 

Nak buat untung semasa market merah? Nasihat saya kepada anda adalah rajin membaca dan ambil tahu perkembangan isu semasa. 

Belum Terlambat, Masih Sempat Untuk Belajar

Ingat, pasaran saham tidak kalis rugi. Harga saham akan bergerak. Naik, turun atau duk situ saja. Namun begitu, pelaburan saham telah lama terbukti menjadi salah satu instrumen pelaburan yang paling menguntungkan. Paling penting, gunakan modal dari duit lebihan sahaja supaya tidak serabut dan kusut bila rugi.

Nak melabur saham tapi tak tahu caranya?

Dah mula melabur tapi asyik rugi?

Nak tahu cara cari saham yang boleh dibeli?

Nak tahu analisis teknikal untuk ‘entry’?

Banyak ilmu pelaburan saham turut dikongsikan secara percuma di TheKapital. Jika anda ingin mendapatkan ilmu-ilmu eksklusif berdasarkan kepada tajuk-tajuk yang lebih mendalam, dapatkan ilmu tersebut di sini >> Produk TheKapital

Previous ArticleNext Article

Sunway Cadang Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Bagi Memiliki IJM Corp Pada Harga RM3.15 Sesaham

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Sunway Bhd mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Sunway dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata Maybank Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihaknya, telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM Corp mengenai hasratnya untuk memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti pada harga tawaran itu.

Ia menambah Sunway mungkin mencalonkan sebuah anak syarikat milik penuhnya sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

“Dengan mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11.0 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” kata Sunway.

Sekiranya tiada berlakunya sebarang keadaan yang diluar jangka, syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.

Syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada, antaranya Sunway mesti menerima, pada atau sebelum tarikh tutup, penerimaan sah yang akan menyebabkan Sunway memegang, secara keseluruhan lebih daripada 50 peratus saham undian IJM Corp.

Sunway berkata ia mungkin akan cuba untuk menyahsenarai IJM Corp melalui kaedah yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan yang terpakai, dengan keputusan untuk meneruskan dan pilihan kaedah akan dibuat pada masa yang relevan.

Ia berkata penyelesaian tawaran yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah konglomerat yang diperbesarkan yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia berdasarkan hasil dan asas asetnya.

“Sunway akan dapat menggabungkan prestasi kewangan IJM Group dan turut mengembangkan aktiviti perniagaan Sunway dan anak syarikatnya,” kata syarikat itu sambil menambah pihaknya berhasrat untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM Group.

Selain itu, Sunway berkata IJM Corp akan dikekalkan sebagai anak syarikat berasingan, selari dengan syarikat operasi sedia ada yang lain dalam Sunway Group.

“Mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya, syarikat berhasrat untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu integrasi untuk, antara lain mengkaji operasi perniagaan IJM Group dan keperluan pelesenan berhubung perniagaan masing-masing bagi Sunway Group yang diperbesarkan,” katanya.

Sunway berkata ia tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan atau melaksanakan sebarang perubahan besar dalam struktur IJM Group, atau menjual atau menggunakan semula aset utama IJM Group.

“Bagaimanapun, penggunaan semula aset atau penjualan aset bukan teras mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi aktiviti perniagaan dan untuk kekal berdaya saing dalam industri, meningkatkan penggunaan sumber dan memperoleh manfaat sinergi,” tambah syarikat itu.
la berkata rancangan terperinci untuk IJM Group hanya akan dimuktamadkan selepas Sunway menjalankan semakan terperinci terhadap kedudukan kewangan dan operasi IJM Group setelah tawaran yang dicadangkan berjaya diselesaikan.

Sunway berkata pihaknya juga tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memberhentikan atau menjadikan pekerja IJM Group tidak diperlukan secara langsung hasil daripada tawaran yang dicadangkan itu.
— BERNAMA