Saham Wall Street Dah Naik Gila-Gila Sejak Tariff Direhatkan, Tapi Sampai Bila?

Sejak hujung Mac 2025, pasaran saham Wall Street naik mencanak macam baru lepas berhenti hujan panjang.

Saham Mega Cap seperti Microsoft, Nvidia dan TSMC semuanya memecut laju.
Tak sempat tarik nafas, harga saham-saham ini dah naik 20 hingga 40 peratus.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Pada 24 Mac, kerajaan Amerika Syarikat umumkan penangguhan tarif selama 90 hari terhadap beberapa negara utama. Penangguhan ini bukan hanya melibatkan China, tetapi juga rakan dagang lain seperti Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara membangun.

Pasaran menyambut pengumuman ini dengan penuh optimis. Dana besar kembali masuk, pelabur runcit pun mula berani ambil posisi. Saham teknologi dan semikonduktor jadi tumpuan.

Tapi sekarang dah masuk pertengahan Jun. Penangguhan ini akan tamat pada 8 Julai 2025 (12:01 am EDT). Persoalan besar mula muncul, adakah rally ini akan bertahan atau kita sebenarnya dah terlalu hampir dengan satu pullback besar?

Saham Dah Naik Banyak, Risiko Juga Ikut Naik

Saham-saham utama menunjukkan prestasi luar biasa selepas pengumuman rehat tarif:

  • Microsoft (MSFT) naik daripada AS$344 ke atas AS$480

  • TSMC naik daripada AS$133 ke AS$217

  • Nvidia (NVDA) melonjak daripada bawah AS$90 ke sekitar AS$145

Pelabur yang masuk awal tentu sedang untung besar. Tapi, semakin tinggi sesuatu saham naik, semakin besar juga potensi ia akan alami pembetulan harga. Indikator seperti RSI kini menunjukkan bacaan overbought. Candlestick juga mula beri petunjuk kelemahan berhampiran zon rintangan.

Ini bukan bermaksud saham akan terus jatuh, tapi pembetulan harga (retracement) dalam pasaran adalah perkara biasa. Dan kalau berlaku serentak dengan berita negatif seperti tarif dikenakan semula, pasaran boleh terjejas lebih teruk.

Ketegangan Iran dan Israel Masih Membara

Gambar: TVpertiwi

Dalam masa yang sama, pasaran global juga dihantui ketidaktentuan geopolitik. Konflik antara Iran dan Israel terus hangat dan menimbulkan risiko yang boleh jejaskan pasaran saham serta komoditi.

Ancaman serangan balas, gangguan laluan perkapalan dan potensi sekatan perdagangan menyebabkan pelabur jadi lebih defensif. Sektor paling mudah terjejas ialah tenaga, logistik dan semikonduktor yang sangat bergantung kepada kestabilan global.

Kalau konflik makin serius, harga minyak boleh melonjak dan pelabur akan lari daripada aset berisiko. Saham-saham teknologi boleh terkena tempias walaupun prestasi syarikat masih sihat.

Ekonomi AS Masih Kukuh, Tapi Fed Masih Berhati-Hati

Amerika Syarikat kekal stabil dari segi data makroekonomi. Kadar pengangguran masih rendah, jualan pengguna menunjukkan pemulihan dan laporan kewangan syarikat besar tidak mengecewakan.

Namun begitu, inflasi masih tinggi dan belum turun ke paras sasaran. Oleh itu, Federal Reserve belum memberikan isyarat yang jelas bila kadar faedah akan mula diturunkan.

Ramai menjangka jika data inflasi bulan Jun menunjukkan penurunan yang signifikan, Fed mungkin mula potong kadar seawal suku ketiga 2025. Ini boleh menjadi pemangkin baru untuk pasaran saham. Tetapi, selagi tiada kenyataan rasmi, pelabur akan kekal berhati-hati.

8 Julai 2025, Tarikh Genting Untuk Semua Pelabur

Penangguhan tarif selama 90 hari akan berakhir pada 8 Julai 2025. Keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Amerika ketika itu akan menjadi penentu arah pasaran untuk separuh kedua tahun ini.

Ada tiga kemungkinan utama. Pertama, penangguhan tarif dilanjutkan. Kedua, kadar tarif dikurangkan. Ketiga, tarif asal akan diaktifkan semula sepenuhnya.

Kalau rundingan berjaya, kita mungkin akan lihat rally pasaran bersambung. Permintaan terhadap saham teknologi dan semikonduktor dijangka terus meningkat. Dana asing juga berkemungkinan besar akan mengalir masuk ke pasaran membangun dan Asia.

Tetapi jika tarif dikenakan semula, kesannya boleh jadi sebaliknya. Sentimen pelabur boleh merosot dengan cepat. Tekanan jualan mungkin berlaku terutama ke atas saham teknologi dan eksport. Pasaran saham global juga boleh terheret turun bersama-sama.

Window Dressing Sudah Bermula?

Bulan Jun hingga Julai juga adalah musim ‘window dressing’, di mana pengurus dana akan mengemas kini portfolio mereka untuk menutup suku kedua.

Kita mungkin akan nampak harga saham naik sedikit dalam tempoh ini, tetapi bukan kerana asas yang kukuh. Sebaliknya, ia mungkin hasil pelarasan strategik oleh dana institusi.

Pelabur runcit perlu berhati-hati agar tidak terbeli saham pada harga puncak hanya kerana terikut-ikut dengan momentum jangka pendek.

Strategi Untuk Pelabur 

Dalam suasana pasaran yang tidak menentu seperti sekarang, pelabur perlu lebih berhati-hati. Pertama sekali, teruskan memantau perkembangan tarif dan konflik geopolitik secara rapat. Sekiranya anda sudah membuat keuntungan besar daripada rally sebelum ini, ambil sebahagian keuntungan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko.

Pada masa sama, elakkan membeli saham yang berada dalam zon overbought tanpa pelan keluar yang jelas. Adalah lebih bijak untuk menyimpan sebahagian tunai supaya anda bersedia mengambil peluang jika berlaku pembetulan (retracement). Fokuslah kepada saham berkualiti yang mempunyai asas perniagaan kukuh dan prestasi kewangan stabil, bukan sekadar saham yang tengah hype di media sosial.

Pasaran sekarang bukan tentang siapa paling cepat, tapi siapa yang paling bersedia bila peluang betul-betul muncul.

Tahu tak, ketiga-tiga saham Microsoft, Nvidia dan TSMC adalah patuh syariah?

Mengikut saringan di platform dengan pilihan deposit patuh syariah dari Webull, ketiga-tiga saham contoh di atas adalah patuh syariah. Sesuai untuk pelabur Muslim yang berminat nak mula berdagang di Wall Street.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters