Dagangan Sekuriti Ireka Akan Digantung Pada 3 Okt, Berdepan Risiko Dinyahsenarai

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia Securities Bhd akan menggantung dagangan sekuriti Ireka Corporation Bhd (ICB) berkuat kuasa 3 Okt 2025.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata bursa telah menolak permohonan ICB untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Melainkan rayuan dikemukakan pada atau sebelum 2 Okt, sekuriti syarikat itu akan dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 7 Okt.

Menurut Bursa Malaysia, sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan. Sekiranya rayuan dibuat dalam tempoh masa itu, penyahsenaraian akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, Bursa Securities akan meneruskan untuk menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 3 Okt, walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai,” kata ICB.

Sebaik sahaja dinyahsenarai, sekuriti ICB akan ditarik balik daripada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, dengan syarikat itu terus mengekalkan maklumat pemegang sahamnya dalam daftarnya.

ICB berkata syarikat itu akan menjadi entiti tidak tersenarai dan kekal dapat beroperasi serta meneruskan penstrukturan semula korporat.

Hak pemegang saham akan kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016, walaupun saham mereka tidak lagi disebut harga atau didagangkan di Bursa Malaysia.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu melaporkan bahawa ia telah gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.04 juta kepada Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan AmBank (M) Bhd.

ICB berkata kemungkiran bayaran itu berkaitan dengan kemudahan pembiayaan yang asalnya diberikan kepada bekas anak syarikat milik penuhnya, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB), yang telah menamatkan operasi.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sunway Cadang Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Bagi Memiliki IJM Corp Pada Harga RM3.15 Sesaham

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Sunway Bhd mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Sunway dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata Maybank Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihaknya, telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM Corp mengenai hasratnya untuk memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti pada harga tawaran itu.

Ia menambah Sunway mungkin mencalonkan sebuah anak syarikat milik penuhnya sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

“Dengan mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11.0 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” kata Sunway.

Sekiranya tiada berlakunya sebarang keadaan yang diluar jangka, syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.

Syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada, antaranya Sunway mesti menerima, pada atau sebelum tarikh tutup, penerimaan sah yang akan menyebabkan Sunway memegang, secara keseluruhan lebih daripada 50 peratus saham undian IJM Corp.

Sunway berkata ia mungkin akan cuba untuk menyahsenarai IJM Corp melalui kaedah yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan yang terpakai, dengan keputusan untuk meneruskan dan pilihan kaedah akan dibuat pada masa yang relevan.

Ia berkata penyelesaian tawaran yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah konglomerat yang diperbesarkan yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia berdasarkan hasil dan asas asetnya.

“Sunway akan dapat menggabungkan prestasi kewangan IJM Group dan turut mengembangkan aktiviti perniagaan Sunway dan anak syarikatnya,” kata syarikat itu sambil menambah pihaknya berhasrat untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM Group.

Selain itu, Sunway berkata IJM Corp akan dikekalkan sebagai anak syarikat berasingan, selari dengan syarikat operasi sedia ada yang lain dalam Sunway Group.

“Mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya, syarikat berhasrat untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu integrasi untuk, antara lain mengkaji operasi perniagaan IJM Group dan keperluan pelesenan berhubung perniagaan masing-masing bagi Sunway Group yang diperbesarkan,” katanya.

Sunway berkata ia tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan atau melaksanakan sebarang perubahan besar dalam struktur IJM Group, atau menjual atau menggunakan semula aset utama IJM Group.

“Bagaimanapun, penggunaan semula aset atau penjualan aset bukan teras mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi aktiviti perniagaan dan untuk kekal berdaya saing dalam industri, meningkatkan penggunaan sumber dan memperoleh manfaat sinergi,” tambah syarikat itu.
la berkata rancangan terperinci untuk IJM Group hanya akan dimuktamadkan selepas Sunway menjalankan semakan terperinci terhadap kedudukan kewangan dan operasi IJM Group setelah tawaran yang dicadangkan berjaya diselesaikan.

Sunway berkata pihaknya juga tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memberhentikan atau menjadikan pekerja IJM Group tidak diperlukan secara langsung hasil daripada tawaran yang dicadangkan itu.
— BERNAMA