Kerajaan MADANI Sasar Senaraikan 10 Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia Pada 2026, 2027

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat Bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran berkenaan, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata ekosistem PETRONAS, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.

Beliau berkata, ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.

“Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata, kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.

“Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini,” katanya.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Press Metal: Usah Bimbang, Asas-Asas Masih Kukuh

Saranan BELI kekal dengan harga sasar (TP) baharu MYR9.80 daripada MYR10.50, potensi kenaikan harga saham 25%

Pada pendapat kami, penjualan saham Press Metal baru-baru ini menawarkan peluang untuk mengumpul saham tersebut kerana hujah pelaburan kami tetap bertahan, iaitu kekurangan bekalan aluminium jangka panjang yang diperkukuh lagi oleh kedudukan perlindungan PMAH yang menguntungkan. Selepas perolehan disemak, penilaian saham ini masih menarik apabila diniagakan pada P/E 22x, iaitu bawah purata lima tahunnya.

Kekurangan bekalan jangka panjang masih menjadi hujah utama

Kami anggarkan yang Selat Hormuz akan mengambil masa beberapa bulan untuk pulih secara beransur-ansur, dan kesesakan pelabuhan mungkin akan berlaku kelak. Yang lebih penting lagi, kami berpendapat bahawa kilang pelebur-pelebur serantau yang mengalami kerosakan akan memakan masa sehingga setahun untuk beransur-ansur mula beroperasi semula, dan hal ini akan menjadi faktor pemacu utama dalam jangka sederhana buat kekurangan bekalan jangka panjang.

Jika diimbas kembali: Emirates Global Aluminium – syarikat pelebur terbesar di rantau itu – dilaporkan mengalami kerosakan pada kira-kira 50% kapasitinya, sekali gus mengurangkan kapasiti peleburan serantau sebanyak 44% kepada 3.45j tan. Kami menjangka pasaran aluminium akan kekal kekurangan bekalan untuk jangka panjang, lantas mengembangkan anggaran kekurangan bekalan kepada 2-3j tan pada 2026 dan 1j tan pada 2027 berbanding kira-kira 600 ribu tan sebelum konflik bermula.

Oleh itu, sekiranya senario “kedamaian berpanjangan” diandaikan, kami masih menjangka harga aluminium akan kekal melepasi paras USD3,000/tan dalam jangka dekat hingga sederhana. Harga semerta kini berlegar antara USD3,100 dan USD3,200, lalu membawa harga purata YTD kepada USD3,333/tan. Jika harga kekal pada paras ini pada 2H26, kami menjangka harga purata 2026 akan mencecah antara USD3,100 dan USD3,200/tan, rata-ratanya setara dengan anggaran kami iaitu USD3,250/tan.

Namun begitu, pada 2027, melihat pada pemulihan beransuransur dalam kalangan syarikat pelebur di Asia Barat, di samping kapasiti baru yang berpotensi tiba dari Indonesia, harga aluminium mungkin mengalami tekanan penurunan tambahan, dengan mencapai purata USD3,000-3,100/tan. Oleh itu, kami memilih untuk mengambil pendirian konservatif dan menurunkan andaian harga kami untuk 2027 daripada USD3,150 kepada USD3,050/tan.

Potensi risiko positif FX

Walaupun Jabatan Ekonomi RHB meramalkan tiada potongan kadar akan dibuat pada 2026, plot bintik sekarang menunjukkan kemungkinan satu kenaikan kadar tahun ini, yang akan membawa nilai USD/MYR
kepada USD4.08 (+4% dalam tempoh empat minggu). Hal ini merupakan perkara positif buat PMAH, kerana >90% daripada produk keluarannya dieksport. Berdasarkan anggaran kami, kenaikan nilai USD setiap 2% akan meningkatkan perolehannya sebanyak sekitar 5%, jika tiada langkah perlindungan harga diambil.

Keseluruhannya, kami memotong perolehan FY26F-27F sebanyak 3% dan 5% sambil mengekalkan anggaran FY28 lebih kurang sama selepas merendahkan andaian harga aluminium kami dan mengambil kira kos karbon anod yang lebih tinggi sedikit.

TP kami diperoleh berdasarkanP/E FY27F25x (+1SD daripada purata lima tahunnya), iaitu nilai premium yang kami fikirkan berpatutan kerana harga aluminium masih menarik, dan seterusnya membawa kepada nisbah kos alumina berbanding aluminium yang lebih rendah daripada purata, sekali gus menyebabkan margin lebih baik secara keseluruhan. Risiko negatif utama: Pemulihan bekalan aluminium yang lebih cepat daripada disangka dan harga aluminium menjunam.

Faktor pemacu utama

i. Model berkos rendah PMAH terbukti berkesan apabila ia membantu kilang-kilangnya beroperasi pada kadar kos pengeluaran antara yang terendah di dunia.
ii. Harga aluminium yang kembali pulih dan nilai mata wang MYR yang lemah sepatutnya membantu menaikkan pendapatan bersih syarikat.

Risiko utama

i. Pertumbuhan bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan
ii. Harga aluminium jatuh menjunam.
iii. Permintaan daripada ruang tenaga boleh dibaharui yang lebih rendah daripada yang dijangka.

Profil Syarikat

Press Metal merupakan sebuah syarikat aluminium berpangkalan di Malaysia yang mempunyai cawangan
yang meluas di serata dunia. Kumpulan ini menjalankan operasi penyempritan secara hiliran yang disepadukan dengan kilang peleburan aluminium greenfield di Mukah dan Samalaju di Sarawak yang mempunyai kapasiti gabungan tahunan mencecah 1,080,000 tan. Ia juga mengendalikan kilang penyemperitan aluminium di Malaysia dan China.

Masih Lagi Saham Pilihan Utama Kami

Kami masih memandang positif terhadap aluminium, didorong oleh:
i. Had yang dikenakan oleh China untuk keluaran aluminium
ii. Cabaran di Indonesia
iii. Premium Pelabuhan Utama Jepun (MJP) masih pada paras tinggi

Carta Saranan

Penganalisis
Iftaar Hakim Rusli +603 2302 8114 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.