Guna Portal ‘Semak Kasih’ Untuk Semak Takaful & Insurans Anggota Keluarga Yang Meninggal Dunia

Apabila berlaku kematian dalam keluarga, urusan pengurusan jenazah, penyelesaian hutang dan pembahagian harta pusaka menjadi fokus utama waris. Namun, ada satu perkara kritikal yang kerap menjadi tanda tanya atau terlepas pandang oleh kebanyakan waris: “Adakah arwah ada mengambil pelan perlindungan Takaful atau insurans hayat semasa hidupnya?”

Sebelum ini, untuk mendapatkan jawapan ini bukanlah satu tugas yang mudah. Waris terpaksa menjejaki dan menghubungi satu demi satu syarikat Takaful atau insurans hayat yang beroperasi di Malaysia. Proses ini bukan sahaja memakan masa, malah menguji emosi dan tenaga waris yang masih dalam fasa berduka.

Melihat kepada kesulitan ini, satu inisiatif besar telah dilancarkan bagi membantu mempermudah urusan rakyat Malaysia melalui pengenalan portal Semak Kasih.

Rupa-rupanya Ada 50,000 Polisi & Sijil Masih Belum Dituntut!

Menurut data yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd Radzuan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell, dianggarkan terdapat kira-kira 50,000 polisi insurans dan sijil takaful melibatkan manfaat kematian yang masih belum dituntut oleh waris.

Jumlah yang sangat besar ini membuktikan ramai waris di luar sana yang sebenarnya langsung tidak tahu akan kewujudan pelan perlindungan atau ‘hadiah terakhir’ (hibah/manfaat kematian) yang ditinggalkan oleh arwah untuk kelangsungan hidup mereka. Di sinilah Portal Semak Kasih bertindak sebagai jambatan penyelesaian.

Apa Itu Portal Semak Kasih?

Semak Kasih merupakan sebuah platform sehenti (one-stop platform) percuma yang dibangunkan secara bersama oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Paling penting, platform Semak Kasih ini diletakkan di bawah selian penuh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjamin keselamatan data pengguna.

Portal Semak Kasih ini diwujudkan khusus untuk membolehkan waris menyemak sama ada ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia mempunyai polisi insurans hayat atau sijil takaful keluarga yang masih aktif dan boleh dituntut.

Bagaimana Portal Ini Membantu Waris?

Sistem Semak Kasih direka dengan ciri keselamatan yang tinggi bagi melindungi privasi maklumat si mati, di samping memberikan kemudahan optimum kepada waris melalui fungsi berikut:

  1. Semakan Tanpa Dedah Butiran Sulit: Sistem akan membuat semakan tanpa mendedahkan butiran terperinci sijil/polisi, nilai perlindungan keseluruhan, mahupun status tuntutan semasa secara terbuka bagi mengelakkan salah guna maklumat.
  2. Kenal Pasti Syarikat Berkaitan: Membantu waris mengetahui dengan tepat syarikat insurans atau pengendali Takaful mana yang memegang polisi arwah.
  3. Mempercepat Urusan & Menyediakan Maklumat Hubungan: Sistem akan membekalkan maklumat perhubungan syarikat berkenaan secara terus. Ini memudahkan waris membuat pertanyaan lanjut tanpa perlu membuang masa mencari nombor talian khidmat pelanggan secara rawak.

Panduan Langkah Demi Langkah: Cara Buat Semakan di Portal Semak Kasih

Bagi waris yang ingin menggunakan kemudahan ini, prosesnya sangat ringkas, telus, dan boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian menerusi 4 langkah mudah ini:

  • Langkah 1: Layari portal rasmi Semak Kasih di alamat semak-kasih.mycoverage.my.
  • Langkah 2: Daftar akaun pengguna baharu di dalam platform tersebut.
  • Langkah 3: Masukkan maklumat penting individu yang telah meninggal dunia seperti Nama Penuh dan Nombor Kad Pengenalan (IC).
  • Langkah 4: Muat naik salinan Sijil Kematian arwah yang jelas untuk proses pengesahan pihak sistem.

Apa yang berlaku selepas permohonan dihantar?

Sistem portal akan memproses data tersebut dan menjana satu laporan rasmi sekiranya terdapat rekod yang sepadan. Jika ada syarikat yang dikesan mempunyai polisi atas nama arwah, waris hanya perlu menghubungi syarikat tersebut secara terus berpandukan maklumat hubungan yang diberikan dalam laporan untuk memulakan proses tuntutan manfaat.

Kesimpulan: Jangan Biarkan Hak Waris Tercicir

Inisiatif Portal Semak Kasih ini sememangnya satu langkah yang sangat murni. Ia bukan sahaja mencerminkan tanda kasih buat mereka yang telah pergi dan yang ditinggalkan malah ia memelihara kebajikan ekonomi waris yang mungkin amat memerlukan dana tersebut demi meneruskan kehidupan.

Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga terdekat yang telah meninggal dunia (sama ada baru atau lama) dan status pelan perlindungannya masih samar, manfaatkanlah portal percuma ini hari ini.

Sila kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai anda. Mungkin ada dalam kalangan kenalan kita yang sedang buntu menguruskan harta pusaka arwah dan amat memerlukan maklumat ini.

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.