Keuntungan Bersih Gamuda Melonjak Kepada RM1 Bilion, Catat Tempahan Dalam Tangan RM38 Bilion

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Keuntungan bersih dari tahun ke tarikh semasa, Gamuda Bhd telah melonjak sebanyak 10 peratus memcecah paras RM1 bilion untuk tahun kewangan berakhir 1 Julai 2025.

Kumpulan kejuruteraan dan hartanah serantau itu turut menyaksikan pendapatannya naik sebanyak 11 peratus kepada paras memecah rekod berjumlah RM16.4 bilion.

Gamuda berkata pencapaian penting itu telah dipacu melalui projek pembinaan domestiknya yang kukuh, dengan baki tempahan dalam tangan pembinaan sepanjang masa yang tinggi sebanyak RM38 bilion selepas mencatatkan kejayaan dalam memperoleh kontrak-kontrak berjumlah RM25 bilion pada tahun kewangan 2025.

“Keseimbangan dalam tempahan dalam tangan yang belum pernah terjadi sebelum ini memberikan keterlihatan pendapatan dan kedudukan yang mantap kepada kumpulan untuk pertumbuhan yang berterusan dalam tahun-tahun akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Gamuda berkata projek pembinaan domestik merangkumi 50 peratus daripada tempahan dalam tangan, dengan pusat data menyumbang 10 peratus daripada jumlah nilai, mencerminkan fokus kumpulan terhadap pembangunan infrastruktur selepas margin keseluruhan pembinaan menjadi lebih baik.

Sementara itu, cabang hartanahnya, Gamuda Land melaporkan jualan sebanyak RM4.1 bilion, susut 19.0 peratus disebabkan oleh kelulusan projek Hanoi yang hanya diperolehi pada akhir tahun kewangan ini, dengan jualan yang berkaitan dijangka akan dibawa memasuki tahun kewangan 2026.

Menjelang suku keempat berakhir pada 31 Julai 2025, keuntungan bersih kumpulan menokok 22.0 peratus kepada RM332 juta berbanding RM272.0 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2024 selepas pendapatan pembinaan domestik melonjak dua kali ganda dan pendapatan hartanah menyaksikan kenaikan 68.0 peratus.

Bercakap mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan prestasi pendapatannya untuk tahun kewangan 2026 akan didorong oleh projek pembinaan domestik yang baru dianugerahkan dan sumbangan yang lebih tinggi dari pelbagai projek pemulihan yang cepat (QTP) seperti projek Eaton Park Vietnam.

“Daya tahan kumpulan juga disokong oleh jualan hartanah yang belum dibilkan sebanyak RM8 bilion,” katanya lagi.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sunway Cadang Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Bagi Memiliki IJM Corp Pada Harga RM3.15 Sesaham

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Sunway Bhd mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Sunway dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata Maybank Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihaknya, telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM Corp mengenai hasratnya untuk memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti pada harga tawaran itu.

Ia menambah Sunway mungkin mencalonkan sebuah anak syarikat milik penuhnya sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

“Dengan mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11.0 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” kata Sunway.

Sekiranya tiada berlakunya sebarang keadaan yang diluar jangka, syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.

Syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada, antaranya Sunway mesti menerima, pada atau sebelum tarikh tutup, penerimaan sah yang akan menyebabkan Sunway memegang, secara keseluruhan lebih daripada 50 peratus saham undian IJM Corp.

Sunway berkata ia mungkin akan cuba untuk menyahsenarai IJM Corp melalui kaedah yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan yang terpakai, dengan keputusan untuk meneruskan dan pilihan kaedah akan dibuat pada masa yang relevan.

Ia berkata penyelesaian tawaran yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah konglomerat yang diperbesarkan yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia berdasarkan hasil dan asas asetnya.

“Sunway akan dapat menggabungkan prestasi kewangan IJM Group dan turut mengembangkan aktiviti perniagaan Sunway dan anak syarikatnya,” kata syarikat itu sambil menambah pihaknya berhasrat untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM Group.

Selain itu, Sunway berkata IJM Corp akan dikekalkan sebagai anak syarikat berasingan, selari dengan syarikat operasi sedia ada yang lain dalam Sunway Group.

“Mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya, syarikat berhasrat untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu integrasi untuk, antara lain mengkaji operasi perniagaan IJM Group dan keperluan pelesenan berhubung perniagaan masing-masing bagi Sunway Group yang diperbesarkan,” katanya.

Sunway berkata ia tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan atau melaksanakan sebarang perubahan besar dalam struktur IJM Group, atau menjual atau menggunakan semula aset utama IJM Group.

“Bagaimanapun, penggunaan semula aset atau penjualan aset bukan teras mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi aktiviti perniagaan dan untuk kekal berdaya saing dalam industri, meningkatkan penggunaan sumber dan memperoleh manfaat sinergi,” tambah syarikat itu.
la berkata rancangan terperinci untuk IJM Group hanya akan dimuktamadkan selepas Sunway menjalankan semakan terperinci terhadap kedudukan kewangan dan operasi IJM Group setelah tawaran yang dicadangkan berjaya diselesaikan.

Sunway berkata pihaknya juga tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memberhentikan atau menjadikan pekerja IJM Group tidak diperlukan secara langsung hasil daripada tawaran yang dicadangkan itu.
— BERNAMA