
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Sime Darby Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Sept, 2025 (S1 TK2025) merosot kepada RM355 juta daripada RM800 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.
Hasil juga menurun kepada RM18.03 bilion daripada RM18.26 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan keuntungan daripada penjualan tanah Lembah Wawasan Malaysia (MVV) pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Jika dikecualikan keuntungan ini, keuntungan bersih Sime Darby Group adalah lebih rendah disebabkan sumbangan keuntungan yang menurun daripada bahagian perindustrian dan automotif, serta keuntungan yang lebih rendah daripada penyesuaian semula liabiliti minyak dan gas legasi.
“Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) bahagian perindustrian lebih rendah sebanyak 14.6 peratus terutamanya disebabkan jualan peralatan di Australasia yang berkurangan susulan perubahan masa penghantaran peralatan perlombongan dan pembinaan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
PBIT itu juga terjejas oleh keuntungan sebelum faedah dan cukai yang diterjemahkan berikutan pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding dolar Australia.
Sime Darby berkata PBIT untuk segmen automotif menurun 33.7 peratus kepada RM126 juta pada suku semasa, terutamanya disebabkan keuntungan yang lebih rendah dari pasaran Malaysia dan Australasia.
Syarikat itu menyatakan keuntungan di Malaysia menurun terutamanya disebabkan keputusan daripada pemasangan yang lemah, manakala keuntungan teras dari Australasia susut disebabkan hasil yang lebih rendah.
Mengenai prospek, ia berkata lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan teras kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026 akan kekal konsisten dengan prestasi pada 2025.
“Segmen automotif terus terjejas oleh permintaan pengguna yang perlahan dan persaingan yang lebih sengit. Bagaimanapun, jualan dalam segmen kenderaan mampu milik di Malaysia kekal bardaya tahan.
“Bagi sektor perindustrian, ia dijangka kekal kukuh berikutan permintaan jangka sederhana hingga jangka panjang daripada industri perlombongan Australia untuk peralatan dan perkhidmatan selepas jualan,” tambahnya.
— BERNAMA










