Kinesis Money dan Allocated Bullion Exchange Teroka Wujud Usaha Niaga Rantaian Blok Komersial dengan Jakarta Futures Exchange di Indonesia

LONDON, 14 November 2018/PRNewswire/ —

Hari ini, Jakarta Futures Exchange (JFX), kumpulan bursa niaga hadapan dan derivatif yang terkemuka di Indonesia, mengumumkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang dilanjutkan bersama Kinesis Money dan Allocated Bullion Exchange (ABX). Perkongsian ini akan berusaha membangunkan bursa rantaian blok dikawal selia dan berpangkalan di Indonesia menggunakan teknologi Kinesis.

Kinesis dan ABX bersama-sama membangunkan sistem monetari berevolusi menggunakan aset-aset sebenar (emas dan perak) sebagai asas untuk mata wang digital. Mata wang ini diurusniagakan pada Kinesis Blockchain Exchange, cabang untuk Stellar Network yang berupaya mengendalikan lebih 3000 urus niaga sesaat. Sistem ini turut disepadukan dengan perkhidmatan perbankan mudah alih dan bursa mata wang fiat.

ABX, bursa institusi elektronik yang terkemuka di dunia untuk logam fizikal berharga, sedang bekerjasama dengan JFX untuk meluaskan peluang-peluang pelaburan emas di Indonesia. JFX ialah bursa utama untuk kontrak niaga hadapan emas dan kini melancarkan Kontrak Emas Patuh Syariah fizikal setempat, dengan kerjasama ABX, setelah mendapat kelulusan daripada pengawal selia Indonesia dan Lembaga Syariah Kebangsaan Indonesia. Versi bursa rantaian blok untuk mata wang berasaskan emas, melalui kolaborasi dengan Kinesis dan ABX, merupakan lanjutan biasa daripada visi JFX dan kerajaan Indonesia.

Perkongsian yang dilanjutkan antara JFX, Kinesis dan ABX menggambarkan bursa rantaian blok Indonesia berdasarkan kemajuan teknikal daripada Kinesis Blockchain Exchange.

Perkongsian ini merupakan sebahagian daripada hasrat masa depan JFX untuk mencipta penyelesaian berasaskan rantaian blok selain infrastruktur sedia ada, memberi alternatif kepada pelabur-pelabur, yang berpeluang mendapat faedah daripada ciri kemudahan, kelajuan dan keselamatan transaksi yang dipertingkat. Pembangunan masa depan perkongsian ini mendorong penerimaan institusi terhadap teknologi rantaian blok, melalui perkongsian konsep, model perniagaan dan penyelesaian teknologi.

Stephanus Paulus Lumintang, Pengarah Presiden, Jakarta Futures Exchange, mengulas: “JFX komited untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan terbaik dalam industri niaga hadapan dan derivatif.

Semakin jelas buat kami bahawa faedah-faedah daripada teknologi lejar teragih atau ‘rantaian blok’ akan merungkai sejumlah nilai yang sangat besar untuk Indonesia dan penduduk Indonesia.

“Peraturan rantaian blok di Indonesia kini sedang dijalankan dan ia merupakan tugas yang agak penting namun sukar. Walau bagaimanapun, JFX bersedia untuk menjadi syarikat bursa rantaian blok di Indonesia, yang mematuhi sebarang keperluan undang-undang dan kawal selia.”

“Perkongsian masa depan kami dengan Kinesis dan ABX akan membolehkan kami bukan sahaja untuk memanfaatkan kelebihan-kelebihan ini tetapi juga untuk mewujudkan rangkaian rantaian blok yang selamat dan telus yang menyediakan alternatif yang boleh dipercayai terhadap sistem bursa sedia ada.”

Thomas Coughlin, Ketua Pegawai Eksekutif Kinesis; Ketua Pegawai Eksekutif ABX, mengulas: “Rangkaian rantaian blok yang ditempah terlebih dahulu yang kami bangunkan mewujudkan sistem monetari lengkap yang membolehkan aset-aset fizikal yang sebenar diurusniagakan dan ditukar secara digital, dengan pantas dan pada kos yang rendah. Kami percaya bahawa penyepaduan logam fizikal yang berharga dan teknologi lejar teragih dapat menawarkan nilai yang sangat besar kepada pasaran Indonesia, menerusi dua kepentingan dalam emas dan rantaian blok. Kami berharap agar dapat meneruskan perkongsian kami dengan JFX untuk membolehkan perkara ini membuahkan hasil.”

Latar Belakang Kinesis Money

Kinesis ialah sistem monetari yang berasaskan komoditi yang secara tradisinya stabil, iaitu emas dan perak. Video, Petikan, Buah Fikiran dan Gulung-B disediakan atas permintaan, sila hubungi  [email protected]. Maklumat lanjut disediakan di kinesis.money.

Latar Belakang Jakarta Futures Exchange

Jakarta Futures Exchange (JFX) ialah bursa niaga hadapan pertama di Indonesia yang menyediakan infrastruktur bursa untuk ahli-ahlinya agar berupaya menjalankan urus niaga hadapan.

Sumber: Kinesis Money

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.