Bermula April 29, Settlement Cycle Bursa Malaysia Ditukar Menjadi T+2

Apa Itu Kitaran Penyelesaian (Settlement Cycle)?

Kitaran Penyelesaian merujuk kepada bilangan hari transaksi dalam pasaran saham ‘diselesaikan’ bagi sekuriti yang didagangkan. Ia bermula dengan tarikh Perdagangan (‘T’ hari), di mana berlakunya transaksi ‘beli’ atau ‘jual’, dan tarikh penyelesaian di mana pertukaran wang tunai dan sekuriti berlaku.

Apakah Kitaran Penyelesaian Yang Digunapakai Bursa Malaysia Sekarang Ini?

Buat masa ini, Bursa Malaysia menggunakan T+3, yang telah digunakan sejak Disember 2000.

Bagaimana T+2 Memberi Kesan Kepada Kita?

Tempoh penyelesaian yang lebih pendek daripada T+3 kepada T+2, bermaksud kita dapat akses kepada wang sehari lebih awal sebaik menjual saham, dan juga sehari lebih awal sebaik membeli saham.

Bila Kitaran Penyelesaian T+2 Bakal Dilancarkan?

Ianya bakal dilancarkan pada 29 April 2019, bergantung kepada kejayaan ujian dengan peserta pasaran dan perubahan kepada peraturan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Apakah Kelebihan Kitaran Penyelesaian T+2?

Di antara kelebihan T+2 adalah seperti berikut:

1. Peningkatan Kecekapan Operasi

Tempoh penyelesaian yang lebih pendek menguntungkan pelabur kerana tempoh dipendekkan sehari.

2. Pengurangan Risiko Pelbagai Pihak

Tempoh penyelesaian yang lebih pendek dapat mengurangkan risiko bagi dagangan yang tidak berjaya, daripada 3 hari kepada 2 hari.

3. Meningkatkan Daya Saing Pasaran

Langkah ke arah kitaran penyelesaian T+2 menyamai infrastruktur kebanyakan pasaran saham global yang lain seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik. Ini akan meningkatkan daya tarikan dan daya saing pasaran saham Malaysia, agar menjadi tumpuan penyenaraian dan destinasi pelaburan di rantau ini.

Sumber: Bursa Malaysia

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.