Ulasan Pakar Ekonomi Mengenai Apa Yang Telah Berlaku Dan Tinjauan Bagi Tahun 2021

Kita telah pun sampai ke penghujung tahun 2020. Ramai yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Ada yang diberhentikan kerja, ada yang dipotong gaji dan bermacam-macam lagi.

Jom kita dengarkan kupasan Dr Afzanizam mengenai apa yang kita jangkakan bagi tahun 2021. Adakah ekonomi akan pulih seperti sedia kala?

Ulasan Pakar Ekonomi

Assalam dan selamat pagi semua. Saya Dr Afzanizam, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad. Hari ini saya akan mengulas serba sedikit berkenaan isu-isu ekonomi serta tinjauan bagi tahun 2021.

Seperti yang kita sedia maklum, tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan dugaan akibat pandemik Covid-19. Langkah-langkah seperti lockdown dan PKP terpaksa dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Angka KDNK yang merupakan petunjuk utama ekonomi negara menguncup dengan drastik kepada 17.1% pada suku kedua 2020, prestasi terburuk semenjak negara menghadap Asian Financial Crisis pada tahun 1997 dan 1998.

Justeru, pelbagai langkah dilaksanakan bagi menstabilkan ekonomi. Dasar monetari yang merupakan the first line of defense telah digunakan yang mana Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 125 mata asas iaitu daripada 3% kepada 1.75%.

Dasar fiskal yang mengembang atau “expansionary fiscal policy” juga dilaksanakan yang mana jumlah rangsangan adalah RM305 billion atau bersamaan 21% daripada KDNK. Ianya melebihi RM67 billion jumlah rangsangan ketika Krisis Sub Prima 2008/2009.

Namun demikian, syarat-syarat kawalan pergerakan telah pun dilonggarkan seawal bulan Mei. Sektor-sektor penting telah mula dibenarkan beroperasi dan sekaligus dapat merancakkan aktiviti ekonomi.

Keadaan Mula Pulih

Tanda-tanda pemulihan sudah mula kelihatan. Jualan kenderaan pada awalnya merudum kepada 141 unit pada bulan April, kini ia telah mencecah 56,670 unit pada bulan Oktober yang lalu. Kebanyakannya disumbang oleh kenaikan jualan kenderaan penumpang.

Begitu juga data dari PERKESO yang menunjukkan Loss of Employment (LOE) yang pada awalnya melonjak ke paras 18,579 orang bagi bulan Jun, kini telah merosot kepada 8,563 orang pada bulan November. Penempatan pekerjaan juga naik kepada 20,490 pada bulan November.

Meskipun demikian, peningkatan kes Covid-19 pada bulan September memberi gambaran bahawa perjalanan ekonomi kita bukanlah semudah yang disangka. The known unknown itu membuatkan kita sukar untuk membuat sebarang telahan.

Hakikatnya, pergerakan ekonomi mempunyai suatu kitaran. Kalau kita lihat kali terakhir negara kita meleset adalah pada tahun 2009. Sebelum itu, pada tahun 1998 dan 1985. Ini merupakan suatu petunjuk yang harus kita ingat bagi merancang kewangan kita.

Di dalam Al Quran juga dengan jelas menerangkan kitaran ekonomi didalam surah Yusuf ayat 47, 48 dan 49. Tujuh tahun pertama kitaran meningkat, kita disaran untuk menyimpan. 7 tahun kedua, kitaran menurun dan kita bakal menggunakan simpanan bagi menghadapi masa sukar.

Dalam konteks semasa, petanda atau signals daripada pasaran bon amat berguna. Yield curve atau keluk pulangan bon di Amerika Syarikat merupakan signals yang terbaik bagi menandakan kedatangan sesuatu kemelesetan ekonomi.

Inverted yield curve berlaku apabila kadar pulangan jangka panjang adalah lebih rendah daripada kadar pulangan jangka pendek. Ini merupakan signal bahawa ekonomi itu mungkin akan berhadapan dengan suasana kemelesetan.

Kebiasaanya ia akan mengambil masa dalam satu hingga dua tahun bagi kemelesetan itu untuk berlaku. Petanda atau signal ini jelas kelihatan pada tahun lalu apabila Inverted Yield Curve ini berlaku di pasaran US Treasury antara Mei dan September 2019.

Namun punca kepada kemelesetan tidak diketahui. Pada ketika itu, the usual suspects kepada punca kemelesetan adalah perang perdagangan antara US dan China.

Perkara berkenaan jangkaan kemelesetan pernah dibincangkan seawal 2018. Boleh rujuk artikel ‘More plans needed to fuel economic growth as recession is near’.

Oleh itu, amat penting untuk kita memerhatikan kepada petanda-petanda ini bagi memudahkan kita untuk membuat keputusan yang baik terutamanya keputusan berkenaan berkaitan kewangan dan pelaburan. Sekiranya memang wujud kitaran ekonomi 10 tahun, maka kita perlu membuat persediaan lebih awal

Jika melihat data seperti the US Federal Fund Rate (FFR) pada 31 Januari 1980, ianya berada pada paras 14%. Sekarang FFR berada pada paras 0.25%. Manakala, Dow Jones Industrial Average (DJIA) pula berada 883.45 mata pada 26 Jun 1980. Skrg 29,883 mata. Maksudnya?

Maksudnya, kita perlu mengambil risiko untuk melabur. Ini adalah kerana pelaburan “selamat” memberikan pulangan yang rendah. Risiko pula adalah sesuatu yang kita tidak tahu atau uncertainty. Mahu atau tidak, kita mesti memahami “uncertainty” ini dan bertindak sebaiknya.

Kembali kepada situasi semasa, langkah yang diambil kerajaan dan Bank Negara Malaysia adalah tepat. Iaitu merangsang ekonomi mengikut teori Keynesian yang mana dasar monetari dan fiskal digembeling bagi menstabilkan ekonomi.

Berdasarkan perbincangan saya dgn pihak BNM, pengurangan OPR 125 mata asas ini bakal menghasilkan kesan positif kepada ekonomi sekitar 0.4 hingga 0.5 percentage points (ppt) pada tahun ini. Pada tahun 2021, kesan pengurangan OPR ini lebih tinggi lagi.

Dasar fiskal pula, melalui perbelanjaan pembangunan, kesan penggandanya pula adalah di antara 0.5 hingga 2.0 percentage points (ppt). Kesannya lebih cepat berbanding dasar monetari.

Ramai yang bertanya adakah unjuran KDNK negara bagi tahun 2021 iaitu sekitar 6.5% sehingga 7.5% dapat dicapai? Ini memang soalan cepu emas.

Jawapan mudah, boleh.

Ini adalah kerana belanjawan yang dibentangkan mempunyai saiz yang besar. Dan seperti yang disebut didalam thread, kesan atau impak dasar fiskal adalah lebih cepat berbanding dasar monetari. Justeru, isu perlaksanaan merupakan persoalan seterusnya.

Di samping itu, ekonomi luaran dilihat begitu positif buat masa ini. Berita mengenai penemuan vaksin bagi Covid-19 dilihat semakin rancak dihebahkan. Ini merupakan Critical Success Factor untuk proses pembukaan ekonomi terus berlaku.

Selain itu, Presiden Amerika Syarikat yang baru iaitu Joe Biden juga dijangka lebih rasional dalam pendekatan beliau mengenai isu-isu berkaitan ekonomi. Jangkaan perlantikan Janet Yellen sebagai Treasury Secretary juga positif.

Data seperti J.P. Morgan Global PMI terus meningkat kepada 53.7 mata pada bulan November bagi sektor pembuatan (manufacturing). Harga minyak Brent meningkat ke AS$48 setong berbanding AS$19 pada pertengahan April. 10-yr US Treasury pada 0.94%, Ogos lalu 0.51%.

Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat berada pada paras RM4.0755 hari ini berbanding RM4.447 pada 23 Mac 2020. FBMKLCI sekarang berada pada 1,615.96 mata berbanding 1,219.72 mata pada 19 Mac 2020. Jelas pasaran kewangan memberi isyarat positif

Dari segi sektor, industri berasaskan eksport dijangka mendapat manfaat positif. World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) telah menyemak semula unjuran jualan Semiconductor bagi tahun 2021 dari 6.2% kepada 8.4%.

Industri Minyak dan Gas pun nampak ada harapan cerah. Pihak International Energy Agency (IEA) menjangkakan permintaan minyak dunia bakal meningkat 5.8 juta tong sehari (mbpd) pada 2021 setelah merudum 8.8 (mbpd) pada tahun ini.

Berikutan peningkatan perbelanjaan pembangunan kepada RM69 billion pada tahun 2021, industri pembinaan (construction) dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 13.9% pada tahun 2021 berbanding penguncupan 18.7% pada tahun ini. Byk projek infra bakal dilaksanakan tahun depan.

Sektor perbankan juga dilihat lebih baik tahun hadapan. Berdasarkan pengamatan kami, OPR bakal dikekalkan pada paras 1.75% tahun depan. Perkara ini seharusnya membantu Net Income Margin (NIM) bagi industri perbankan.

Sektor sarung tangan getah juga tidak ketinggalan. Kapasiti pengeluaran yang selesa disamping permintaan produk yang kekal sihat dijangka dapat memastikan tahap keuntungan yang baik.

Dari segi perbelanjaan di kalangan para pengguna, Malaysia merupakan antara negara yang suka berbelanja. Kecenderungan untuk berbelanja bagi setiap kenaikan RM1 dalam pendapatan atau Marginal Propensity to Consume (MPC) adalah 0.61. Oleh itu, pembukaan ekonomi amat penting.

Sektor telekomunikasi juga adalah antara penyumbang tertinggi FBMKLCI iaitu sekitar 12%. Program JENDELA bagi mengukuhkan infra jalur lebar bakal memberi manfaat sektor ini.

Persoalan seterusnya, apakah downside risks kepada tinjauan ekonomi tahun 2021?

Nombor satu memang Covid-19 dan Vaksin la. Ini memang kotak hitam atau black box atau known unknowns yang menghantui pelbagai persoalan. Apa yang boleh kita buat ialah patuhi SOP dan berdoa.

Kedua hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan China. Berita terkini menunjukkan Joe Biden tidak “berminat” untuk membatalkan perjanjian Fasa 1 yang ditandatangani pada awal tahun ini. Selain itu, import tarif yg dikenakan juga tidak dinyatakan rancangan untuk dibatalkan.

Ketiga suasana politik domestik. Ini kena tanya penganalisis politik. Tapi rule of thumb atau hukum alam dia, pasaran tak suka ketidakpastian terutamanya kalau berkaitan halatuju ekonomi dan dasar.

Setakat hari ini, indeks FBMKLCI ditutup tinggi iaitu 1,611.06 mata, naik 12.34 mata. Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pula berada pada paras RM4.074, meningkat 35 pips.

Setelah kita menilai perkara yang lepas, melihat prospek ekonomi serta dasar kerajaan yang telah dan bakal dilaksanakan, apakah strategi pelaburan kita pada tahun 2021?

Apakah kita akan melabur seratus peratus dalam pasaran ekuiti? Bagaimana pula pasaran bon? Pasaran hartanah? Atau pun, do nothing?

Jawapan yang rasional adalah, tepuk dada tanya iman. Apa-apa hal pun, kita perlu menilai tahap toleransi kita terhadap risiko. Perkara ini akan menentukan jenis alokasi aset yang sesuai bagi mencapai sasaran pulangan pelaburan yang bersesuaian dgn tahap risiko yang sanggup diambil.

Justeru mempelbagaikan aset itu, saya boleh dikatakan satu kemestian. Dalam waktu pemulihan ekonomi, pasaran saham atau ekuiti sememangnya menjadi pilihan utama disebabkan jangkaan peningkatan keuntungan syarikat serta kenaikan harga saham yang tinggi.

Namun, risiko turun naik harga saham sentiasa ada. Justeru adalah lebih baik kita perlu ada pegangan dalam instrument pendapatan tetap. Kalau pasaran bon, pilihan bagi individu adalah melabur dalam unit amanah yang memberi fokus kepada pasaran sukuk.

Hakikatnya melabur ini suatu keperluan. Ini adalah kerana apabila kita membuat simpanan, duit yang kita simpan itu akan terdedah kepada hakisan inflasi. Ini adalah disebabkan harga barangan saban tahun memang meningkat. Dan ini akan memgurangkan kuasa beli kita.

Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP), kadar inflasi meningkat sebanyak 2.5% setahun antara tahun 1985 dan 2019. Ini bermakna duit kita akan “hilang” kuasa belinya sebanyak RM2.50 bagi setiap RM100.

Ini bermakna jika kita mempunyai RM100 pada awal tahun dan kita simpan duit itu didalam dialmari, duit itu akan bernilai RM97.50 pada akhir tahun nanti. Justeru, untuk mengelak duit dari terus dihakis oleh inflasi, maka kenalah melabur.

Melabur pula ada banyak instrumen dan kita telah pun bincang dari segi pasaran ekuiti dan bon. Pasaran hartanah tidak kurang juga daya tarikannya. Terutama sekarang ini pasaran hartanah dikatakan “buyers market”. Ini disebabkan property overhang yang masih berlaku.

Data terkini menunjukkan hartanah kediaman yang tidak terjual adalah 30,926 unit setakat suku ketiga 2020, menurun sedikit daripada 31,661 unit pada suku kedua. Purata harga rumah di Malaysia pula turun kepada RM427k pada suku ketiga berbanding RM432 pada suku kedua.

Selain dari faktor pulangan dan risiko pelaburan, kita perlu juga mengambil kira faktor kecairan dalam satu-satu pelaburan itu. Maksudnya berapa cepat kita boleh tukarkan pelaburan itu kepada bentuk tunai.

Kalau kita letakkan pelaburan kita seratus peratus dalam hartanah, ini boleh menimbulkan masalah. Ini adalah kerana untuk menjual hartanah memakan masa yang lama iaitu berbulan-bulan dan mungkin juga bertahun. Di situ pentingnya kepelbagaian portfolio.

Sumber: Twitter Bursa Malaysia-i

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.