Penilaian Setengah Tahun FTSE Bursa Malaysia KLCI Disember 2020

FTSE Russell dan Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) mengumumkan satu perubahan kepada ahli FTSE Bursa Malaysia KLCI, berikutan penilaian setengah tahun Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia hari ini. Supermax Corporation Berhad telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI. Pada masa yang sama, KLCC PROP & REITS – Stapled Sec akan dikeluarkan daripada Indeks tersebut. Siri Indeks dinilai setiap setengah tahun mengikut kaedah peraturan indeks.

FTSE Bursa Malaysia KLCI merupakan sebahagian daripada Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia yang digunapakai secara meluas oleh para pelabur sebagai penanda aras utama untuk pasaran Malaysia termasuk derivatif melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI). Penanda-penanda aras ini dijejaki oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana-dana pasaran diniagakan (exchange-traded funds).

Senarai simpanan FTSE Bursa Malaysia KLCI terdiri daripada 5 syarikat teratas bukan ahli indeks yang mempunyai kedudukan tertinggi dari segi permodalan pasaran termasuk Kossan Rubber, QL Resources, MR D.I.Y. GROUP, Westports Holdings dan KLCC PROP & REITS – Stapled Sec. Senarai simpanan ini akan digunakan jika satu atau lebih daripada ahli indeks dikeluarkan dari menjadi ahli FTSE Bursa Malaysia KLCI mengikut peraturan indeks dalam penilaian setengah tahun akan datang.

Berikutan daripada penilaian tersebut, ATA IMS, Duopharma Biotech, Heineken Malaysia, KLCC PROP & REITS – Stapled Sec, MR D.I.Y. GROUP, Unisem, UWC dan YTL Power International telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70. Dalam pada itu, AEON, Eco World International, Hengyuan Refining Company, Kerjaya Prospek Group, Petron Malaysia Refining & Marketing, Sunway Construction Group, Supermax Corp dan Velesto Energy akan dikeluarkan daripada Indeks tersebut.

Inari Amertron dan Petronas Dagangan telah dimasukkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah. Di samping itu, FGV Holdings dan Serba Dinamik Holdings akan dikeluarkan daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah.

Semua perubahan ahli Indeks akan berkuatkuasa pada hari Isnin, 21 Disember 2020 dan penilaian seterusnya adalah pada bulan Jun 2021.

FTSE Group dan Bursa Malaysia telah bekerjasama sejak tahun 2006 dalam menyediakan siri indeks bagi pasaran Malaysia. Maklumat lanjut mengenai penilaian Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, termasuk pertambahan, pembatalan dan peraturan yang digunapakai boleh didapati di https://www.ftserussell.com/products/indices/bursa-malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.