Eat Just, Start-Up Yang Memperkenalkan Teknologi Daging Kultur Ke Seluruh Dunia

Negara kita dikejutkan dengan isu daging tidak halal yang berlegar dalam negara sejak 40 tahun yang lalu. Isu daging import merupakan salah satu isu yang besar dalam industri perternakan dalam negara.

Sehingga kini, negara kita masih tidak mampu menampung daging halal yang menjadi keperluan kebanyakan orang beragama Islam.

Kita terpaksa mengimport daging lembu dari luar terutamanya dari India untuk memenuhi keperluan makanan dalam negara. Disebabkan isu ini, terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menipu dalam urusan halal daging terbabit.

Di era moden ini, terdapat beberapa syarikat didunia yang telah berjaya mencipta daging altenatif bagi membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan daging di dunia ketika ini.

Antara daging yang menjadi semakin popular pada masa ini adalah daging yang dihasilkan menggunakan sel tumbuhan dan juga melalui tissue culture (kultur tisu). Kedua-dua jenis penghasilan daging ini kini mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Bagaimana Syarikat Ini Bermula?

Kredit Gambar: CNBC

Syarikat start-up yang terkenal di dunia pada masa ini yang menghasilkan daging berdasarkan sel kultur ini adalah Eat Just. Syarikat yang berpengkalan di California, Amerika Syarikat telah diasaskan oleh Josh Tetrick yang merupakan pemegang ijazah di dalam jurusan undang-undang.

Beliau sebelum ini pernah tinggal di Afrika untuk projek kemanusiaan dan melihat sendiri dengan mata kepalanya mengenai krisis kebuluran yang melanda Afrika pada ketika itu.

Selain itu juga, aktivis haiwan sering membantah tindakan meyembelih binatang ternakan kerana dianggap sebagai zalim pada sisi pandangan mereka. Beliau ingin menyelesaikan masalah kebuluran yang dihadapi oleh penduduk Afrika.

Idea pertama yang terlintas didalam fikiran Josh Tetrick ketika ingin menubuhkan syarikat ini adalah telur ayam. Beliau rasa sekiranya telur ayam dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak melalui teknologi sel kultur, ia akan mengurangkan jumlah kebuluran yang berlaku ke atas negara miskin dunia.

Pada tahun 2011, beliau menggunakan wang simpanan sebanyak USD3,000 untuk membangunkan syarikat Eat Just. Ideanya itu mendapat perhatian beberapa venture capitalist yang melihat potensi terknologi sel kultur tisu dalam menghasilkan makanan.

Kredit Gambar: Green Queen

Venture capital turut melabur sejumlah wang yang besar untuk mengembangkan idea perniagaan ini. Setelah mendapat wang pelaburan yang besar, Josh Tetrick telah mengambil ramai ahli biologi, ahli kimia dan tukang masak untuk mengembangkan lagi ideanya itu.

Akhirnya pada tahun 2018, syarikat ini telah berjaya mengeluarkan telur ayam yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan dan mula dipasarkan di Amerika Syarikat.

Penerimaaan Masyarakat Terhadap Daging Ayam Kultur

Syarikat ini kemudian memilih Singapura sebagai pangkalan untuk mengembangkan perniagaan di rantau Asia.

Singapura dipilih kerana mempunyai polisi yang ingin menjadikan negara mereka mengeluarkan hampir 30% produk makanan bagi keperluan negara tersebut. Sedangkan pada ketika ini, ianya hanya menyumbang sebanyak 10% untuk keperluan penduduk negara tersebut.

Selain daripada itu, Singapura merupakan hab terbaik di Asia dalam teknologi kultur tisu kerana mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang tersebut.

Kredit Gambar: Market Realist

Kini, syarikat Eat Just telah berjaya membuat kultur tisu untuk daging ayam melalui proses tersebut. Walaupun begitu, terdapat juga tanggapan negatif masyarakat terhadap hasil teknologi tersebut.

Ada yang ragu-ragu terhadap sumber protein yang dapat dihasilkan oleh daging kultur tisu tersebut dan ada juga yang memikirkan tentang rasa makanan tersebut.

Menurut Eat Just, rasa dan zat yang ada di dalam daging kultur adalah sama seperti daging ayam biasa. Cuma proses pembuatanya adalah berbeza iaitu satu daripada makmal dan satu lagi daripada proses peyembelihan.

Hukum Makan Daging Yang Disemai Tisu

Setakat ini, Majlis Fatwa belum memutuskan tentang hukum daging yang mengalami kultur sel tisu sama ada ianya halal atau tidak dimakan oleh  orang yang beragama islam.

Mengikut tesis yang dikeluarkan oleh pensyarah Universiti Malaya, daging kultur ini adalah halal dimakan sekiranya sel yang diambil untuk melakukan proses kultur itu adalah daripada sel ayam yang disembelih.

Sumber Rujukan: CNBC

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.