Pfizer Dan DoctorOnCall Bekerjasama Untuk Memperkasakan Literasi Kesihatan Dan Penjagaan Pesakit Di Malaysia

Pfizer pada hari ini telah mengumumkan kerjasama dengan DoctorOnCall untuk melancarkan platform terapeutiks digital yang memberi tumpuan kepada tiga sasaran terapeutik utama; berhenti merokok, vaksinasi, dan kesihatan jantung. Bagi mendepani dunia dan masyarakat yang semakin cakna teknologi dan mudah alih, platform terapi digital ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengurus kesihatan mereka, membantu dalam pengurusan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup sambil memberikan panduan dan maklumat lain untuk memudahkan komunikasi antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Platform terapeutiks digital ini merangkumi tiga “pusat kesihatan” di laman web DoctorOnCall yang mengandungi maklumat untuk tiga sasaran terapeutik berikut dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris:

  • Health Centre – Smoking Cessation / Pusat Kesihatan – Berhenti Merokok
  • Health Centre – Vaccination / Pusat Kesihatan – Vaksinasi
  • Health Centre – Heart Health / Pusat Kesihatan – Kesihatan Jantung

Merapatkan jurang antara pesakit, doktor, dan sistem penjagaan kesihatan melalui dunia kesihatan digital

Sepanjang tahun yang lalu, laporan media dan juga laporan pengamal perubatan mengetengahkan kisah-kisah pesakit yang menghadapi gangguan rawatan akibat daripada COVID-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Tahun lalu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengesahkan bahawa terdapat pesakit yang mengalami serangan jantung dan strok yang menjauhkan diri dari hospital disebabkan COVID-19. Oleh itu, platform kesihatan digital seperti DoctorOnCall memberikan kemudahan kepada pesakit yang memerlukan nasihat kesihatan segera tetapi tidak dapat berjumpa doktor pada masa kritikal ini kerana ia membolehkan pesakit untuk segera menghubungi doktor untuk mendapatkan bantuan.

“Walaupun COVID-19 memberikan kesan dan impak yang sangat besar terhadap pelbagai aspek penyediaan penjagaan kesihatan, ia juga memberikan ruang bagi kita untuk mengatur norma yang baharu. Penerapan kesihatan digital dan penjagaan maya akan memainkan peranan yang lebih besar dalam dunia penjagaan kesihatan pada masa depan,” kata Cik Luksanawan Thangpaibool, Pengurus Negara Pfizer Malaysia & Brunei. 

“Sebagai syarikat yang mementingkan pesakit, Pfizer memberikan komitmen untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan dengan sihat melalui pemberian rawatan tepat ketika ia diperlukan. Melalui perkongsian dengan DoctorOnCall, kami berharap untuk memberikan pesakit dan penyedia perkhidmatan kesihatan di Malaysia peluang untuk terus berhubung dan membuat keputusan yang tepat, baik semasa wabak ini mahupun di masa depan,” tambah Cik Luksanawan Thangpaibool.

Sumber digital untuk berhenti merokok, vaksinasi, dan kesihatan jantung

Tiga pusat kesihatan ini menawarkan kandungan menarik di mana pengguna mendapat akses terhadap pelbagai petua dan artikel kesihatan, video pendidikan dan alat-alat seperti kuiz dan permainan. Ini termasuk kalkulator penjimatan merokok, kuiz faktor risiko hipertensi dan permainan vaksinasi.

  • Berhenti merokok: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa bahawa wabak tembakau adalah salah satu ancaman kesihatan awam terbesar di dunia. Ia membunuh lebih daripada lapan juta orang setahun di seluruh dunia dan merupakan beban ekonomi yang besar seperti melalui kos penjagaan kesihatan besar untuk penyakit yang berkaitan dengan merokok[1]. Di Malaysia, 1017 dalam setiap 100,000 kematian yang dilaporkan adalah disebabkan penyakit yang berkaitan dengan merokok, menjadikannya penyebab utama kematian di Malaysia sejak tahun 1980-an[2]. Disebabkan itu, pusat kesihatan berhenti merokok di laman web DoctorOnCall memberikan petua untuk berhenti merokok. Melalui platform ini, pesakit juga dapat mengira jumlah penjimatan yang mereka boleh peroleh jika mereka berhenti merokok sekarang dan seberapa cepat paru-paru mereka dapat menghitam berdasarkan tingkah laku merokok mereka.
Alat bagi membantu dan menggalakkan pesakit untuk berhenti merokok
  • Vaksinasi: Pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepentingan vaksin untuk melindungi diri kita dari penyakit yang dicegah oleh vaksin. Menurut WHO, vaksin berjaya mencegah 2 hingga 3 juta kematian daripada penyakit seperti tetanus, difteria, campak, pneumokokus dan influenza[3]. Di Malaysia, penyakit pneumokokus merupakan salah satu penyakit yang dicegah oleh vaksin yang paling lazim. Penyakit pneumokokus boleh membawa kesan serius dan berpotensi membawa maut, oleh itu langkah pencegahan seperti vaksinasi adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit pneumokokus[4]. Untuk membantu orang ramai lebih memahami vaksin dan imunisasi serta menghilangkan salah faham mengenai topik ini, pusat kesihatan vaksinasi di laman web DoctorOnCall mengandungi artikel dan video yang berguna serta inisiatif perundingan doktor percuma. Pesakit juga dapat lihat jumlah penjimatan yang boleh diperolehi jika tidak perlu membayar kos pembiayaan kemasukan ke hospital dan rawatan dengan mendapatkan vaksin untuk penyakit pneumokokus.
  • Kesihatan jantung: Penyakit kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian di Malaysia sejak awal 1980-an[5]. Daftar NCVD-ACS (Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan – Sindrom Koronari Akut) tahun 2014-2015 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada usia yang lebih muda berbanding dengan di negara maju6. Fibrilasi atrium (AF) adalah aritmia berterusan yang paling lazim dihadapi dalam amalan klinikal7. Kadar prevalens AF di peringkat global adalah pada angka kira-kira 33.5 juta pada tahun 2010, dan akan terus meningkat seiring dengan peningkatan usia, meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan dan menambah baik alat diagnostik7. Oleh kerana AF berkait rapat dengan penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari, penyakit jantung valvular, kegagalan jantung dan hipertensi, ia pasti akan menambahkan beban besar terhadap kos penjagaan kesihatan masa depan7. Dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia belajar mengenai anatomi jantung, gangguan dan petua untuk  menguruskan kesihatan jantung, pusat kesihatan di laman web DoctorOnCall membolehkan pesakit memeriksa risiko hipertensi mereka dengan Kalkulator Risiko Hipertensi. Pesakit juga dapat mengetahui risiko strok mereka dengan mengambil kuiz penilaian kendiri di platform ini.
Alat bagi membantu pesakit memahami hipertensi dan risiko strok

“Dalam era digital di mana pendidikan kesihatan cuba untuk memupuk perubahan tingkah laku yang berpanjangan yang akan menghasilkan persekitaran kesihatan yang lebih baik, kita mempunyai tanggungjawab untuk mendorong inovasi yang menjamin kesihatan dalam masyarakat kita. Dengan mengorak langkah dalam alam maya yang sentiasa berubah, kami berharap kerjasama kami dengan Pfizer akan menimbulkan minat terhadap maklumat yang dikongsi dan boleh membentuk masyarakat yang diperkasakan,” kata En Chiak Tang, Ketua Pegawai Operasi DoctorOnCall.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiga pusat kesihatan yang dilancarkan oleh Pfizer dan DoctorOnCall, sila layari https://www.doctoroncall.com.my/


[1] World Health Organization. Health Topics, Tobacco. Accessed from: https://www.who.int/health-topics/tobacco#tab=tab_1

[2] International Journal of Collaborative Research on Internal Medicine & Public Health. Smoking and Burden of Ill Health: A Review of the Malaysian Context. Accessed from: https://internalmedicine.imedpub.com/smoking-and-burden-of-ill-health-a-review-of-themalaysian-context.php?aid=6423

[3] World Health Organization. Health Topics, Tobacco. Accessed from: https://www.who.int/health-topics/vaccines-and-immunization#tab=tab_1

[4] MyHealth. Ministry of Health Malaysia. Pneumococcal Vaccine. Accessed from: http://www.myhealth.gov.my/en/pneumococcal-vaccine/

[5] Primary & Secondary Prevention of Cardiovascular Disease 2017. Accessed from: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/CARDIOVASCULAR/3.pdf

6 Dr. Nandakumar A/L Ramakrishnan, Consultant Cardiologist. Columbia Asia. More Malaysians Are Suffering Heart Attacks at a Younger Age Accessed from: https://www.columbiaasia.com/malaysia/health-articles/more-malaysians-are-suffering-heart-attacks-younger-age

7 US National Library of Medicine National Institutes of Health. Heart Asia 2016. Prevalence of atrial fibrillation in the Malaysian communities. Accessed from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5133392/

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.