Dari Malaysia Ke Wall Street

Kami yakin, ramai pembaca sudah terlibat di dalam pelaburan saham di Bursa Malaysia dan tak sabar-sabar nak menceburkan diri di dalam pelaburan saham di Amerika Syarikat.

Di Malaysia, pasaran saham kita dikenali sebagai Bursa Malaysia. Manakala di Amerika Syarikat pula, ianya dikenali sebagai Wall Street.

Bagi mereka yang dalam mode nak buat dalam USD, terokalah peluang yang ada di persada global.

Bagi mereka yang berhajat untuk melebarkan sayap ke Wall Street, jom kita tengok dulu beberapa kelebihan pasaran saham di Amerika Syarikat.

1. Pasaran Saham Terbesar Dunia

Kredit Gambar: How Much

Kepada anda yang belum tahu, Amerika Syarikat adalah lubuk pasaran saham terbesar di dunia dengan penguasaan lebih daripada 40% pasaran saham dunia. Boleh kata satu dunia akan tertumpu di sini.

Kalau pasaran saham Amerika Syarikat berada dalam keadaan menaik, boleh kata pasaran saham satu dunia pun akan turut menaik.

Tapi bila pasaran saham Amerika Syarikat menurun, boleh dikatakan pasaran saham satu dunia akan turun juga.

2. Melabur Ke Dalam Syarikat Terkemuka

Saham-saham yang tersenarai di Amerika Syarikat adalah merupakan syarikat-syarikat yang terkemuka dunia. Sebagai contoh, kita boleh melabur ke dalam saham syarikat Apple, Facebook, Google, Microsoft dan lain-lain lagi.

Sekiranya di Malaysia saham-saham penny stock adalah merupakan saham yang aktif didagangkan setiap hari, tetapi di Amerika Syarikat yang aktif didagangkan adalah saham-saham blue chip ini. Maka tiada istilah ‘goreng’ kerana syarikat-syarikat ini mempunyai fundamental yang memang cukup padu.

3. Boleh Beli Minima Satu Unit Saham

Di Bursa Malaysia, minimum pembelian saham adalah sebanyak 1 lot iaitu bersamaan dengan 100 unit. Tahukah anda minimum pembelian saham di Amerika Syarikat hanyalah sebanyak 1 unit?

Sekiranya kita berminat untuk membeli 1 unit saham Apple, kita hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak USD125 atau sekitar RM500 (berdasarkan pertukaran 1 USD = 4 RM).

4. Kadar Mata Wang Negara Lebih Besar

Kadar mata wang luar negara lebih besar berbanding dengan mata wang negara kita. Jika dikira mengikut kadar mata wang USD, setiap keuntungan akan digandakan mengikut gandaan mata wang USD (sehingga empat kali ganda) dan pastinya pelaburan ini akan menguntungkan lebih daripada nilai Ringgit.

Dan pernahkah kita terfikir, sekiranya nilai Ringgit Malaysia jatuh, maka ia akan menguntungkan pelabur yang melabur di pasaran luar negara?

5. Tak Perlu Buka Akaun Dagangan Di Negara Tersebut

Kita tidak perlu ke Amerika Syarikat untuk membuka akaun trading di sana. Kita cuma perlu ke bank pelaburan terdekat yang menawarkan khidmat Dagangan Rentas Sempadan (DRS) atau dalam bahasa Inggerisnya adalah Cross Border Trade (CBT) dengan membawa dokumen yang diperlukan syarikat tersebut bagi membolehkan kita untuk membuka akaun.

Kalau memilih untuk membuka akaun global yang patuh Syariah, boleh buka dengan BIMB, CGSI iTrade, MIDF Invest atau Webull.

Baca lagi Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

6. Boleh Kembangkan Ilmu Dengan Lebih Meluas

Apabila kita membeli saham di Bursa Malaysia, sudah tentu kita lebih peka dengan berita semasa, keadaan ekonomi semasa, keadaan politik semasa dan semuanya lebih tertumpu kepada apa yang berlaku di dalam negara.

Apabila kita melabur di pasaran saham Amerika Syarikat pula, sudah tentu kita perlu mengambil berat dan lebih peka terhadap catalyst di luar negara seperti keadaan ekonomi global, situasi politik global, persidangan OPEC, non-farm payroll dan banyak lagi.

Ini secara tidak langsung memberi kita peluang untuk belajar mengenai pasaran saham luar negara dan perkara-perkara yang mempengaruhi turun naiknya pasaran saham global.

7. Boleh Aplikasikan Teknik Beli Saham Yang Kita Pakai Di Bursa Malaysa Ke Pasaran Global

tutorial beli saham

Dah biasa beli saham menggunakan teknik Buy On Breakout atau Buy On Dip? Atau kita beli saham menggunakan kaedah Fundamental dengan memberikan penekanan kepada CANSLIM atau 5 Magic Numbers?

Itu dah kira terbaik, kerana kita juga boleh membeli saham global dengan menggunakan teknik yang sama. Sekiranya saham tersebut telah memecahkan paras resistance diikuti pula dengan volume yang besar, kita boleh menggunakan teknik Buy On Breakout untuk membeli saham tersebut.

8. Pasaran Dibuka Waktu Malam

Kami juga yakin ramai yang mempunyai pekerjaan full-time, kerja dari pukul 9 pagi – 5 petang atau berniaga di siang hari. Jadi bila masanya untuk tengok pasaran saham di Bursa Malaysia.

Tetapi di Wall Street, pasaran saham dibuka pada pukul 930 malam atau 1030 malam (bergantung kepada Daylight Savings Time). Oleh itu, tak kacau kerja hakiki kita dan sesuai sangat untuk kita buat duit tepi atau sebagai side income.

Nak duit lebih, kena usaha lebih ya tak?

Baca juga Top 5 Saham Sektor Teknologi Patuh Syariah Yang Paling Untung Di Wall Street

First Step Melabur Saham Di Wall Street

Dah lama pendam niat nak melabur saham di Wall Street? Jangan risau, saham-saham di sana juga banyak yang patuh syariah.

Nak ada pegangan saham syarikat yang terkemuka di dunia seperti Zoom, AMD, Microsoft, Facebook, Google, Tesla dan banyak lagi?

Kejap, tahu tak berapa pulangan saham-saham ini pada 2020?

Zoom – 390.86%
AMD – 86.78%
Twitter – 67.65%
Microsoft – 38.48%
Google (Alphabet) – 28.05%

Nak merasa buat duit ekstra dalam USD pula?

Kami tahu kebanyakan buku-buku yang dijual di pasaran adalah dalam Bahasa Inggeris dan susah nak difahami…

Jangan risau…

Demi followers yang disayangi, kami hasilkan e-book yang mudah difahami. Tak kira anda pelabur newbie atau lama, e-book ini memang sesuai untuk anda.

Dalam e-book ini, anda akan belajar:

  • 3 indeks yang ada di Wall Street
  • Cara pilih saham-saham yang berkualiti
  • Cara pilih saham mengikut kriteria
  • Teknik yang berkesan untuk beli saham Wall Street
  • Cara menentukan saham patuh syariah atau tidak
  • Kenali broker-broker yang ada untuk jual beli saham Wall Street

Miliki e-book ini sekarang -> eBook Dari Malaysia Ke Wall Street

Previous ArticleNext Article

Pinduoduo: Ancaman Baharu kepada Shopee dan MR DIY?

Selama ini, pengguna Malaysia sudah terbiasa membeli barangan murah melalui Shopee. Untuk barangan rumah, aksesori, perkakasan dan keperluan harian pula, MR DIY menjadi antara pilihan utama pengguna yang mementingkan harga berpatutan.

Tetapi kini, muncul satu lagi pemain yang berpotensi mengubah landskap persaingan tersebut: Pinduoduo.

Platform e-dagang dari China ini mula menjalankan kempen khusus untuk pengguna Malaysia pada Disember 2025. Menjelang Mac dan April 2026, aplikasinya semakin mendapat perhatian apabila pengguna berkongsi penemuan produk yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran tempatan.

Menurut laporan The Edge Malaysia pada September 2026, seorang pengguna membeli krim pada harga RM8 berbanding lebih RM24 di pasaran tempatan. Seorang lagi membeli 30 gulung tisu tandas pada harga RM20.

Malah, laporan yang sama membandingkan harga selipar di kedai fizikal, sekitar RM16 dengan produk serupa di Pinduoduo pada harga RM3.50. Perbezaan harganya kira-kira 78%!

Ini bukan lagi sekadar persaingan antara dua aplikasi membeli-belah. Ia membuka persoalan lebih besar tentang bagaimana produk dihasilkan, diedarkan dan dijual kepada pengguna.

1. Apa sebenarnya kelebihan Pinduoduo?

Pinduoduo diasaskan di China pada 2015 dan syarikat induknya, PDD Holdings, disenaraikan di Nasdaq pada 2018.

Model perniagaannya menggabungkan beberapa pendekatan yang menarik.

Pertama, platform ini menghubungkan pengguna dengan rangkaian pengeluar dan penjual, termasuk pengeluar yang mampu membekalkan barangan pada kos rendah.

Kedua, Pinduoduo membangunkan model social commerce, termasuk pembelian berkumpulan atau team purchase. Pengguna boleh berkongsi tawaran dengan orang lain bagi mendapatkan harga yang lebih menarik.

Ketiga, platform ini memanfaatkan skala permintaan. Apabila ramai pengguna membeli produk yang sama, penjual mempunyai peluang untuk meningkatkan jumlah jualan dan mengoptimumkan kos pengeluaran serta pengedaran.

Walau bagaimanapun, harga murah bukan bermaksud semua produk semestinya lebih berkualiti rendah atau setiap produk pasti lebih murah daripada Shopee. Pengguna masih perlu membandingkan spesifikasi, kualiti, kos penghantaran dan syarat pembelian.

2. Berapa murah produk Pinduoduo berbanding pasaran tempatan?

Laporan The Edge Malaysia memberikan beberapa contoh yang menunjukkan jurang harga yang ketara.

ProdukHarga di PinduoduoHarga perbandingan tempatan
KrimRM8Lebih RM24
30 gulung tisu tandasRM20Dilaporkan 30%–40% lebih murah berbanding kedai runcit tempatan
SeliparRM3.50Sekitar RM16 di kedai fizikal

Sumber: The Edge Malaysia, September 2026. Harga ialah contoh yang dilaporkan, bukan purata harga pasaran atau perbandingan bagi semua produk.

Bagi selipar, perbezaan RM12.50 bersamaan kira-kira 78.1% daripada harga runcit RM16.

Namun, perbandingan ini perlu dilihat secara berhati-hati. Produk yang kelihatan serupa mungkin berbeza dari segi bahan, ketahanan, spesifikasi, jaminan dan kos selepas jualan.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa penghantaran percuma melalui laluan laut boleh mengambil masa sekitar 15 hingga 30 hari untuk transit, tidak termasuk keseluruhan proses pemenuhan pesanan.

Maka, pengguna sebenarnya membuat pertukaran antara harga dengan masa menunggu dan kemudahan mendapatkan produk.

3. Adakah Shopee berada dalam bahaya?

Shopee bukan pemain kecil yang mudah diketepikan.

Shopee dikendalikan oleh Sea Limited, syarikat teknologi yang turut mempunyai perniagaan permainan digital Garena serta perkhidmatan kewangan digital Monee.

Berdasarkan keputusan kewangan tahun penuh 2025, Sea Limited mencatatkan:

  • Hasil kumpulan sebanyak US$22.9 bilion, meningkat 36.4% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak US$1.6 bilion, berbanding US$447.8 juta pada 2024.
  • Shopee merekodkan nilai barangan kasar atau GMV sebanyak US$127.4 bilion, meningkat 26.8%.
  • Hasil Shopee mencapai US$16.6 bilion, meningkat 33.4%.
  • Shopee mempunyai kira-kira 400 juta pembeli aktif dan 20 juta penjual sepanjang 2025.

Angka ini menunjukkan bahawa Shopee masih mempunyai skala operasi yang besar.
Sumber: Sea Limited, keputusan kewangan 2025.

Tetapi skala besar tidak bermaksud tiada tekanan persaingan.

Shopee perlu mengekalkan keseimbangan antara harga yang menarik, kos penghantaran, subsidi promosi, komisen penjual dan keuntungan platform.

Jika pengguna mula membandingkan setiap produk dengan harga terus dari China, penjual yang bergantung kepada produk generik mungkin berdepan tekanan margin keuntungan.

Sebahagian penjual juga mungkin perlu mengurangkan harga, mencari pembekal lebih kompetitif atau menawarkan produk yang mempunyai nilai tambah.

Dalam jangka panjang, persaingan bukan hanya tentang siapa yang mempunyai aplikasi paling popular, tetapi siapa yang mampu menawarkan gabungan harga, kualiti, penghantaran dan pengalaman pelanggan yang paling menarik.

4. Bagaimana pula dengan MR DIY?

Bagi MR DIY, ancamannya berbeza daripada Shopee.

MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal dan menawarkan pelbagai barangan perkakasan, aksesori rumah, produk dapur, alat tulis serta keperluan harian.

Pengguna boleh datang ke kedai, melihat barangan dan membawanya pulang pada hari yang sama. Kelebihan ini tidak mudah digantikan oleh penghantaran rentas sempadan yang mengambil masa lebih lama.

Namun, terdapat kategori produk yang lebih mudah dibandingkan dari segi harga, seperti bekas penyimpanan, aksesori dapur, barangan plastik, hiasan rumah dan peralatan kecil.

Jika produk serupa boleh diperoleh pada harga yang jauh lebih rendah melalui platform luar negara, sebahagian pengguna mungkin mengubah tabiat membeli-belah mereka.

Prestasi kewangan MR DIY masih menunjukkan pertumbuhan

Bagi tahun kewangan 2025, MR DIY mencatatkan:

  • Hasil sebanyak RM4.95 bilion, berbanding RM4.65 bilion pada 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RM632.69 juta, berbanding RM568.94 juta pada 2024.
  • Rangkaian sebanyak 1,556 cawangan, meningkat 8.4% berbanding tahun sebelumnya.
  • Jumlah transaksi sebanyak 197.8 juta, meningkat 8.2%.
  • Purata nilai setiap bakul pembelian menurun 1.6%.

Angka tersebut dilaporkan oleh Bernama berdasarkan keputusan kewangan MR DIY.
Sumber: BernamaBiz, Februari 2026.

Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa MR DIY masih berkembang ketika persaingan e-dagang semakin sengit.

Penurunan purata nilai bakul pembelian pula tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Pinduoduo. Ia hanya satu petunjuk yang wajar diperhatikan bersama faktor lain seperti strategi harga, campuran produk dan keadaan pengguna.

Bagi MR DIY, cabarannya ialah memastikan pengguna masih mempunyai sebab untuk membeli di kedai fizikal walaupun terdapat alternatif lebih murah dalam talian.

5. Berapa harga saham PDD Holdings, Sea Limited dan MR DIY?

Jika mahu melihat isu ini daripada perspektif pelaburan, tiga saham yang boleh diperhatikan ialah PDD Holdings di Nasdaq, Sea Limited di New York Stock Exchange dan MR DIY di Bursa Malaysia.

Berikut ialah harga penutupan pada 23 Oktober 2026.

SyarikatKod sahamHarga penutupanPasaran
PDD HoldingsNASDAQ: PDDUS$79.04Amerika Syarikat
Sea LimitedNYSE: SEUS$74.63Amerika Syarikat
MR DIY GroupBursa: 5296RM1.15Malaysia

Sumber: StockAnalysis, Sea Limited Investor Relations dan The Star Market Watch. Harga dalam mata wang asal dan bukan harga masa nyata.

Saham PDD Holdings, syarikat induk kepada Pinduoduo dan Temu, pernah mencecah paras tertinggi 52 minggu pada US$139.41 pada 29 Oktober 2025. Namun, pada 23 Oktober 2026, sahamnya ditutup pada US$79.04, iaitu penurunan sekitar 43.3% daripada paras tertinggi tersebut. Berdasarkan semakan terkini pada Oktober 2026, saham PDD Holdings diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah oleh beberapa platform saringan saham Islam seperti Musaffa dan HalalScreener.

Ini bermakna harga penutupannya kira-kira 43.3% di bawah paras tertinggi 52 minggu yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut tidak boleh dianggap berpunca daripada persaingan di Malaysia kerana PDD Holdings mempunyai operasi besar di China dan turut mengendalikan Temu.

Bagi Sea Limited, harga penutupannya ialah US$74.63. Sea turut mempunyai pendedahan kepada permainan digital dan perkhidmatan kewangan, jadi prestasi sahamnya tidak mencerminkan Shopee sahaja.

Sementara itu, saham MR DIY ditutup pada RM1.15, penurunan 25.81% sejak awal tahun (YTD), bersamaan susut RM0.40 sesaham daripada RM1.55 pada awal tahun.

Nota: Ketiga-tiga saham ini tidak boleh dibandingkan secara terus berdasarkan harga seunit. Jumlah saham diterbitkan, struktur modal, mata wang, pertumbuhan keuntungan dan penilaian pasaran mereka berbeza. Harga saham yang menurun juga tidak membuktikan bahawa Pinduoduo telah menjejaskan prestasi kewangan pesaingnya.

6. PDD Holdings sendiri mencatatkan hasil lebih RMB400 bilion

Saiz perniagaan syarikat induk Pinduoduo turut menjelaskan mengapa model perniagaannya wajar diberi perhatian.

Bagi tahun kewangan 2025, PDD Holdings melaporkan:

  • Hasil sebanyak RMB431.85 bilion, meningkat kira-kira 9.7% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RMB97.84 bilion, menurun daripada RMB112.43 bilion pada 2024.

Angka ini merangkumi perniagaan kumpulan PDD Holdings, termasuk Pinduoduo dan Temu, bukannya prestasi Pinduoduo di Malaysia sahaja. Sumber: Laporan tahunan PDD Holdings 2025 kepada SEC.

Hasil yang besar memberikan gambaran tentang skala operasi kumpulan tersebut. Namun, penurunan keuntungan bersih pada 2025 menunjukkan bahawa pertumbuhan hasil tidak semestinya membawa kepada pertumbuhan keuntungan pada kadar yang sama.

Bagi pelabur, perkara yang lebih penting ialah sama ada syarikat dapat mengekalkan pertumbuhan, mengurus kos, mempertahankan margin dan memenuhi keperluan kawal selia di pasaran yang diceburinya.

7. Isu lebih besar: Adakah semua pemain bersaing di padang yang sama?

Persaingan harga bukan semata-mata isu antara platform e-dagang.

Peniaga tempatan perlu menanggung pelbagai kos, termasuk sewa premis, gaji pekerja, caruman berkanun, pergudangan, pengedaran dan pematuhan peraturan yang berkaitan.

Penjual yang menghantar barangan terus dari luar negara mungkin mempunyai struktur kos yang berbeza. Perbezaan ini boleh memberi kesan kepada harga yang mampu ditawarkan kepada pengguna.

Dalam laporan September 2026, The Edge Malaysia mengetengahkan kebimbangan pemain industri tentang kesamarataan syarat persaingan, termasuk isu pematuhan dan struktur kos.

Pada masa yang sama, pengguna mendapat manfaat daripada pilihan yang lebih banyak dan harga yang lebih kompetitif.

Cabaran kepada pihak berkuasa ialah memastikan peraturan dilaksanakan secara adil tanpa menafikan manfaat e-dagang rentas sempadan kepada pengguna.

Bagi peniaga Malaysia, jawapannya juga bukan sekadar meminta perlindungan daripada pesaing luar. Mereka perlu meningkatkan produktiviti, memperkukuh jenama, memperbaiki pengalaman pelanggan dan membangunkan produk yang tidak mudah digantikan oleh barangan generik.

Kesimpulan: Persaingan baharu bukan lagi sekadar siapa menjual paling murah

Kehadiran Pinduoduo memberi isyarat bahawa persaingan runcit semakin merentas sempadan.

Shopee mempunyai skala pembeli dan penjual yang besar. MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal serta kemudahan pembelian segera. Pinduoduo pula membawa pendekatan yang menekankan harga rendah dan hubungan terus antara pengguna dengan penjual.

Ketiga-tiganya mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza.

Bagi pengguna, perkembangan ini membuka lebih banyak pilihan. Bagi peniaga dan pelabur, ia menimbulkan persoalan tentang kemampuan mengekalkan margin keuntungan apabila pengguna semakin mudah membandingkan harga di seluruh dunia.

Akhirnya, syarikat yang mampu menggabungkan harga kompetitif, kualiti, kemudahan, kepercayaan dan keuntungan yang mampan akan mempunyai kedudukan lebih baik dalam persaingan jangka panjang.

Persoalannya, adakah peniaga tempatan mampu menyesuaikan diri dengan era harga terus dari China, atau mereka akan terus bersaing menggunakan model perniagaan yang sama?

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global (China, Hong Kong, Singapura, Indonesia)

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.