Adakah Bank Rugi Sewaktu Moratorium Diberi?

Sebelum ini, kami ada menyiarkan artikel yang bertajuk Bank, Perniagaan Yang Untung Berbilion Setiap Tahun.

Berikut merupakan keuntungan bersih bank-bank di Malaysia bagi tahun kewangan 2019.

Tetapi itu pada tahun 2019, bagaimana pula prestasi bank-bank ini semasa berlakunya moratorium tahun 2020?

Untuk recap semula, tempoh moratorium ialah tempoh di mana pelanggan yang membuat pinjaman dengan bank diberi kelonggaran dan tidak perlu membayar bayaran bulanan pinjaman untuk tempoh yang tertentu.

Penangguhan bayaran balik pinjaman ini bertujuan membantu aliran tunai peminjam yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Terima kasih diucapkan kepada pihak Bank Negara Malaysia.

Apabila kebanyakan bank menawarkan moratorium automatik selama 6 bulan, adakah bank-bank tersebut mengalami kerugian?

Maybank Berhad

Sumber: Maybank Annual Report, page 4

Keuntungan Maybank menurun daripada RM8.19 bilion pada tahun 2019 menjadi RM6.48 bilion pada tahun 2020. Ini berikutan pendapatan yang berkurangan bagi tahun 2020.

Kita tengok dalam bentuk carta senang sikit kot nak nampak.

Sumber: Malaysiastock.biz

Public Bank Berhad

Sumber: Public Bank Annual Report, page 2

Keuntungan Public Bank juga menurun daripada RM5.51 bilion pada tahun 2019 kepada RM4.87 bilion pada tahun 2020. Ianya berikutan pendapatan yang berkurangan bagi tahun 2020.

Jom tengok dalam bentuk carta pula.

Sumber: Malaysiastock.biz

CIMB Bank

Sumber: CIMB Financial Statements, page 8

CIMB pula mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 73.8%, daripada RM4.56 bilion pada tahun 2019 kepada RM1.19 bilion pada tahun 2020.

Sumber: Malaysiastock.biz

Pada tahun 2019 pun dah mencatatkan penurunan berbanding tahun 2018, namun masih untung berbilion Ringgit setiap tahun.

RHB Bank

Sumber: RHB Financial Report 2020, page 10

Keuntungan RHB sedikit berkurang daripada RM2.48 bilion pada tahun 2019 jatuh menjadi RM2.03 bilion pada tahun 2020.

Sumber: Malaysiastock.biz

Hong Leong Bank

Sumber: Hong Leong Annual Report 2020, page 16

Hong Leong Bank pula hanya terjejas sedikit, dengan keuntungan merosot kepada RM2.49 bilion pada tahun 2020 berbanding dengan RM2.66 bilion pada tahun 2019.

Sumber: Malaysiastock.biz

Ambank

Sumber: Ambank Governance and Financial Reports 2020, page 77

Ambank pula mencatatkan pendapatan yang meningkat pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya. Namun keuntungan menurun sedikit menjadi RM1.34 bilion pada tahun 2020 berbanding RM1.50 bilion pada tahun 2019.

Sumber: Malaysiastock.biz

BIMB Holdings

Sumber: BIMB Integrated Annual Report, page 173
Sumber: BIMB Integrated Annual Report, page 174

BIMB Holdings mempunyai tiga anak syarikat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia) dan BIMB Securities (Holdings) Sdn. Bhd.

Keuntungan BIMB menurun daripada RM786.92 juta pada tahun 2019 kepada RM720.24 juta pada tahun 2020.

Sumber: Malaysiastock.biz

Untung Terjejas, Tetapi Bank Tidak Rugi

Berdasarkan laporan kewangan yang dikeluarkan bank-bank di atas, dapat kita simpulkan bahawa mereka masih tidak rugi, masih untung berbilion, cuma keuntungan yang berkurangan.

Walaupun diberi 6 bulan moratorium, bank tetap merupakan suatu jenis perniagaan yang padu.

Pada akhirnya mereka yang membuat pembiayaan tetap perlu membayar bayaran balik pembiayaan pinjaman. Bank juga akhirnya akan mendapat bayaran penuh walaupun lewat sedikit.

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.