Ambil Tahu 3 Perkara Ini Tentang Syarikat Inari

Sejak awal tahun 2021 dunia menyaksikan kekurangan pada pengeluaran cip moden untuk alatan seperti telefon pintar, computer, dan kenderaan eletrik yang canggih. Permintaan barang elektrik dan elektronik semakin meningkat kerana dunia sedang melalui fasa pendigitalan yang pesat.

Dengan perlumbaan teknologi 5G, permintaan pada barang elektronik menjadi fokus semua negara.

Syarikat Inari merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam OSAT (outsource semiconductor assembly testing) dan EMS (electronics manufacturing services). Di antara servis utama Inari adalah dalam integrated circuit package assembly di mana servis ini menggabungkan dan mengintegrasikan cip teknologi canggih dalam satu modul dan pakej.

Inari mempunyai kelebihan pada masa kini untuk mengembangkan perniagaan mereka demi memenuhi permintaan global yang kian meningkat.

Sebelum mula melabur, jom kita lihat 3 perkara dalam bisnes Inari yang membuatkan mereka menjadi pemain utama.

1. Pendapatan Yang Meningkat

Sumber: Malaysiastockbiz.com

Pada awal penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, Inari bermula dengan agak sederhana. Setahun ke setahun, Inari merupakan syarikat yang sangat bagus daripada segi prestasi kewangan kerana Inari berjaya mengekalkan peningkatan jualan purata sebanyak 28% bagi tempoh 10 tahun.

Keuntungan bersih meningkat pada tahun pertama bermula hanya sekitar RM14 juta namun kini Inari mencatatkan keuntungan sebanyak RM155 juta pada tahun 2020. Ini menunjukkan bhawa pendapatan mereka berkembang pada kadar 100% setiap dua tahun setengah.

Hebat kan?

2. Banyak Wang Tunai

Selain daripada itu, Inari juga merupakan syarikat yang bijak dalam menguruskan kewangan mereka.

Pandemik COVID-19 telah merancakkan lagi permintaan dalam barangan elektrik dan elektronik dan memberikan Inari peluang untuk menyumbangkan servis mereka.

Walaubagaimanapun, terdapat pengurangan pada jualan Inari sepanjang tahun 2020. Tetapi mereka tetap dalam mengekalkan keuntungan bersih pada kadar 14%-15%.

Wang tunai syarikat Inari meningkat sebanyak RM164 juta pada tahun 2020 berbanding tahun 2019.

Nilai aset keseluruhan Inari adalah pada paras RM970 juta manakala nilai keseluruhan liabiliti adalah pada paras RM255 juta. Ini menunjukkan pengurusan wang yang baik di mana aset lebih tinggi daripada liabiliti.

Dengan duit tunai yang banyak, ini memberikan kelebihan kepada Inari untuk mengembangkan bisnes.

3. Berada Dalam Industri Masa Depan

Sumber: Bursa Marketplace

Melihat kepada industri semikonduktor, dunia bakal menyaksikan peralihan zaman yang paling besar selepas pandemik kerana dunia digital. Hari ini teknologi 5G bakal mengubah cara kita menjalani kehidupan.

Executive Director Inari Lau Kean Cheong berkata, Inari telah meletakkan komitmen yang tinggi untuk menjadi pemain dalam teknologi 5G. Inari berada dalam landasan yang tepat untuk terus mengekalkan pertumbuhan yang sihat bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Inari juga telah memulakan pengeluaran sensor kesihatan baru dan modul pengenalan wajah 2D dan 3D untuk segmen perniagaan Internet of Things (IoT).

Bagaimana Harga Saham Inari?

Kredit: Trading View

Daripada serendah RM1.15 ketika pandemik Covid-19 melanda pada bulan Mac 2020, harga saham Inari macam nak pecah paras All-Time High (ATH) iaitu sekitar RM3.75.

Sekiranya pecah paras resistance ini, rasa-rasa apa akan jadi?

Baca juga Sektor Teknologi Kesukaan Ramai Di Bursa Malaysia

Penafian: Nama saham yang akan disebutkan di atas bukanlah saranan pembelian sebaliknya hanyalah untuk tujuan pembelajaran sahaja. Prestasi masa lalu bukanlah jaminan prestasi masa hadapan. Sebarang tindakan atau keputusan untuk melabur adalah keputusan dan tanggungjawab anda.

Tengok chart dah reti, tekan ‘buy’ dan ‘sell’ pun tahu tapi…Adakah saham yang kita pilih itu bagus?

Bila dah dapat rentak dalam dunia pelaburan saham ini, mesti kita bersemangat nak capai tujuan utama kita iaitu nak menggandakan duit pelaburan. Betul tak?

Untuk jadi pelabur atau pedagang yang bijak pilih saham berkualiti, kita tak boleh main rasa hati semata-mata. Kena kuasai asas:

  • Analisis Fundamental – faham bisnes, untung rugi, hutang, prospek.
  • Analisis Teknikal – faham pergerakan harga, trend dan timing beli/jual.

Di sinilah datangnya formula CANSLIM. Pernah dengar tak?
Ini antara formula pemilihan saham yang popular seluruh dunia, diperkenalkan oleh pelabur tersohor William J. O’Neil. Ramai gunakan CANSLIM sebagai “sistem tapisan” untuk cari saham yang berpotensi, bukan sekadar teka-teka ikut kawan.
Kami sendiri pun gunakan formula yang sama bila nak pilih saham.
Cuma syaratnya satu: kena faham dulu logik di sebalik setiap huruf C-A-N-S-L-I-M.

Dalam ebook CANSLIM ini kami detailkan lagi ceritanya -> http://thekapital.my/Ebook-CANSLIM

Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.