6 Tips Urus Kewangan Untuk Graduan

Kes belia muflis nampaknya semakin meningkat saban tahun. Yang menghairankan ia turut melibatkan para graduan dan golongan profesional.

Mungkin ini terjadi kerana ilmu pengurusan kewangan tidak diajar dari kecil. Apabila dewasa, kita pandai cari wang tapi tak pandai menguruskannya.

Khas untuk para graduan, ini sedikit nasihat dari Tuan Rahim Sabri.

Mutakhir ini, ramai sahabat seusiaku memohon pendapat dan pandangan tentang perancangan kewangan. Kebanyakan mereka baru bergraduasi dan memulakan kerjaya masing-masing.

Saya tidak lah arif dalam bidang pengurusan kewangan cuma izinkan saya kongsi dapatan ilmu yang saya perolehi agar ramai yang memperoleh manfaatnya.

1. Bisnes VS Makan Gaji

Acapkali ditanya yang mana lebih bagus di antara makan gaji dan berbisnes. Jawapannya ialah kedua-duanya bagus. Yang penting anda mencari pendapatan dari sumber yang halal.

Untuk yang berbisnes, tanamkan mentaliti imigran dalam diri anda. Berniagalah bersungguh-sungguh. Jangan lupa untuk tetapkan gaji anda dan membuat caruman di KWSP. Hal ini bagi memudahkan urusan anda dalam membuat pembelian rumah dan aset kelak.

Untuk yang bekerja makan gaji, semai benih pelabur dalam diri anda. Wujudkan sumber pendapatan yang lain. Pepatah Tamil ada mengatakan, “Sebatang pokok getah tidak akan menjadi sebuah estet.”

Satu sumber pendapatan tidak menjamin anda untuk menjadi kaya. Oleh itu, untuk menjadi kaya anda perlu mempunyai banyak sumber pendapatan.

2. Pelaburan

Persoalan yang biasa dilontarkan kepada saya, “Antara banyak-banyak pelaburan, yang mana paling menguntungkan?” Sudah pasti jawapannya ialah pelaburan ke atas diri di mana Return of Investment (ROI) ialah infiniti. Labur duit dalam ilmu pengetahuan dahulu.

Kalau nak tahu pasal pelaburan, melaburlah dulu dalam ilmu pelaburan. Hadiri seminar pelaburan dan baca buku-buku pelaburan.

Daripada ilmu yang diperolehi, anda akan yakin untuk menentukan instrumen pelaburan mana yang paling sesuai dengan anda dan yang paling menguntungkan.

3. Kad Perubatan (Medical Card)

Merujuk kepada piramid perancangan kewangan Islam yang terdiri daripada tiga lapisan, bahagian tapak di mana secara logiknya merupakan kawasan yang paling besar dan penting merupakan elemen perlindungan diikuti dengan simpanan dan di atas sekali merupakan elemen pelaburan.

Selalu ditekankan kepada rakan-rakan bahawa usia semakin meningkat dan kos perubatan juga meningkat. Tapi malangnya, taraf kesihatan akan semakin merosot di kala usia meningkat. Sekiranya anda seorang yang bijaksana, pasti anda akan sediakan payung sebelum hujan.

Peruntukkan bajet untuk ‘medical card’ anda. Ingat, kalau anda tiada bajet untuk pembayaran insurans anda setiap bulan, mampukah anda ada bajet apabila kecemasan berlaku kelak?

Kepada yang sudah ada benefit medical dari syarikat, ambil juga pelan medical sendiri. Jangan berharap pada syarikat anda. Kita tak tahu sampai bila kita akan bekerja di syarikat tersebut.

4. Beli Kereta

Sekiranya anda ingin membeli kereta, harga kereta yang ideal untuk anda ialah 12-15 bulan gaji anda atau bayaran bulanan yang ideal ialah 15%-20% gaji anda. Jangan terus beli kereta yang lebih mahal dari itu.

Banyak kos tersembunyi yang anda perlu ketahui seperti cukai jalan, insurans (baca Takaful) dan penyelenggaraan yang perlu ditanggung. Lagi mahal harga kereta anda, lagi tinggi kos tersembunyi yang perlu anda tanggung.

5. Beli Rumah

“Macam mana aku nak beli rumah ni? Semua mahal-mahal belaka.”

Ini merupakan luahan yang biasa saya dengar dari rakan-rakan. Jawapan yang selalu diberi ialah cari rumah yang boleh anda beli bukan rumah yang anda idamkan.

Jikalau anda bergaji bawah RM2,500 anda boleh beli rumah kos rendah yang berharga bawah RM100,000. Tak percaya masih ada harga rumah macam ini? Buka laman sesawang mudah.my.

Pesan guru saya, “Jangan beli rumah pertama untuk didiami, kerana ia takkan jadi rumah terakhir anda.”

Hal ini kerana semakin lama anda bekerja, semakin tinggi gaji anda dan semakin mahal harga rumah yang mampu anda beli nanti. Sentiasa ada mentaliti bahawa setiap rumah yang mahu dibeli akan akhirnya dijual, jadi faktor lokasi amat penting ketika mahu membeli rumah nanti.

6. Pelan Persaraan

Antara soalan yang kerap kali saya tanya kepada rakan-rakan ialah, “Nak kerja ni sampai bila? Sampai pencen ke? Kalau tak, apa pelan kewangan anda nak berhenti kerja awal? Kalau nak kerja sampai pencen, berapa wang pencen nak ada?”

Nampak pelik bukan? Baru bekerja sudah fikir nak bersara. Ketahuilah bahawa ini merupakan salah satu cara untuk anda rancang hidup anda.

Anda akan lebih produktif apabila anda mempunyai perancangan hidup sendiri kerana anda tahu apa hasil atau keputusan yang anda inginkan. Rancang ‘Financial Freedom Account’ anda supaya nanti anda boleh kekalkan gaya hidup anda walaupun anda sudah pencen.

“Begin with the end in mind is one of the 7 habits of highly effective people habit.” -Steven Covey

Penulisan di atas hanyalah panduan yang saya pelajari dan lakukan. Lain orang lain pandangannya. Tiada yang betul, tiada yang salah.

Menulis hanya untuk menyampaikan pandangan yang berlainan.

Kredit: Facebook Rahim Sabri

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.