Gardenia KL Bertekad Terus Menyokong Petugas Barisan Hadapan & B40 Sepanjang 18 Bulan Pandemik

Rakyat Malaysia telah tampil untuk menunjukkan kemurahan hati  dan keprihatinan kepada insan lain dalam suasana sukar sepanjang tempoh 18 bulan lepas, sambil  membantu satu sama lain menempuh kebiasaan baharu dan mengharungi pandemik, sekali gus  menyemarakkan semangat Merdeka dan Hari Malaysia pada tahun ini. Berbekalkan semangat kekitaan  yang sama, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) telah tampil untuk menyokong petugas  barisan hadapan dan golongan B40 sejak Mac 2020 menerusi Program Bantuan COVID-19 Gardenia. 

Bantuan berjumlah RM1 juta telah dihulurkan untuk membawa manfaat kepada 90,000 penerima yang  terdiri daripada pekerja barisan hadapan dan komuniti kurang mampu. 

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun, berkata,  “Kami percaya semua orang perlu memainkan peranan untuk membantu Malaysia bangkit kembali daripada kesan pandemik. Sebagai jenama yang prihatin, Gardenia KL bersyukur kerana berpeluang  memastikan petugas barisan hadapan kita mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya semasa  bertugas dalam waktu kerja yang panjang, dan meringankan beban yang dihadapi oleh golongan B40.  Kami amat berterima kasih kepada pasukan sukarelawan kami yang bekerja keras untuk memastikan  bantuan diberikan tepat pada masanya di bawah Program Bantuan COVID-19 Gardenia dalam tempoh  18 bulan lepas. Kami juga merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada rakan-rakan komuniti  Gardenia KL yang membolehkan bantuan sampai kepada masyarakat yang paling memerlukan.” 

Program Bantuan COVID-19 Gardenia yang meliputi lapan fasa dilaksanakan dari Mac 2020 hingga  Ogos 2021. Menerusi program ini, Gardenia KL mengagihkan lebih 500,000 produk Gardenia kepada  lebih 90,000 penerima yang terdiri daripada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemvaksinan di seluruh Semenanjung Malaysia, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar  makanan dan barangan serta isi rumah B40. Bantuan juga diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada program Program Food Bank Siswa di universiti mereka.  

Sukarelawan bagi Pusat Prihatin Orang Asli (COAC), Koong Hui Yein berkata, “Kami menghargai  sumbangan Gardenia KL yang menyediakan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli yang  terjejas akibat PKP pertama. Penduduk begitu gembira melihat lori Gardenia tiba di Kampung Sungai  Mai, Jerantut, Pahang.”  

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan yang dilaksanakan untuk memutuskan rantaian  jangkitan menyebabkan banyak perniagaan kecil dan sederhana gulung tikar, seterusnya  mengakibatkan ramai yang kehilangan kerja dan mengalami masalah menyara hidup. Pada hakikatnya,  Gardenia KL sedar akan implikasi kewangan pandemik terhadap mereka yang mendapat upah harian,  terutamanya komuniti di sekitar dua kilang terbesar Gardenia. Selepas menerima permintaan daripada 

penduduk Kampung Bukit Naga di Bukit Kemuning yang berada dalam keadaan terdesak, Gardenia KL menyumbangkan bantuan tunai khas berjumlah RM55,000 selama empat bulan pada bulan Mac, Mei  2020 dan Januari, Julai 2021, sebagai sebahagian daripada Program Bantuan COVID-19 Gardenia.  

Berkongsi kisah dan luahan orang kampung, ketua Kampung Bukit Naga, Abdurrahman Misbah, yang  menjadikan rumahnya sebagai pusat pengagihan makanan bagi golongan memerlukan berkata, “Pada  hari-hari tertentu, terdapat sehingga 50 ketua keluarga, termasuk warga asing yang datang ke rumah  saya untuk mendapatkan bantuan makanan. Ada yang tiada lagi wang untuk membeli susu tepung untuk  bayi mereka dan tiada makanan untuk mengalas perut anak mereka. Kami bersyukur kerana masyarakat  umum dengan murah hati memberikan sumbangan, dan ini telah membolehkan kami terus membekalkan  barangan kepada keluarga yang memerlukan.” Beliau menambah bahawa penduduk di sini terdiri  daripada golongan miskin bandar, pekerja sambilan dan ibu tunggal.  

Dalam usaha memaksimum capaian bantuan yang dihulurkan, Gardenia KL telah bekerjasama rapat  dengan rakan-rakan komuniti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan Jabatan Agama Islam Wilayah  Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Pertubuhan Sukarelawan Kita Kawan, dan Absolute Malaysia (AMAL).

Usaha JKM ini menyaksikan kerjasama antara kakitangan JKM dengan Jabatan Pertahanan Awam  Malaysia (JPA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Secara terkumpul, barangan bantuan  makanan COVID-19 Gardenia yang diagihkan oleh JKM membawa manfaat kepada 13,000 penerima  yang terdiri daripada golongan miskin, kurang upaya, warga emas dan keluarga yang menjaga anak 

anak yatim. Tersentuh dengan kesanggupan Gardenia KL untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas  akibat pandemik, JKM berharap untuk meneruskan usaha sama yang murni ini demi manfaat masyarakat  yang memerlukan.  

Pek sumbangan yang disediakan di bawah Program Bantuan COVID-19 Gardenia mengandungi produk  kegemaran ramai seperti Roti putih Gardenia Original Classic, Kaya Auntie Rosie, Toaster Waffles, mee  kuning Numee Gardenia, roti krim dan muffin. Bantuan yang diberikan sempena sambutan Ramadan  dan Hari Raya Aidil Fitri termasuk juadah tambahan seperti kurma dan biskut raya.  

“Kejayaan menyampaikan sumbangan COVID-19 bernilai RM1 juta adalah satu lagi mercu jaya dalam  warisan kami sebagai jenama yang prihatin. Kami sedar bahawa usaha ke arah pemulihan itu satu  proses berterusan, jadi kami sentiasa prihatin dan memainkan peranan membantu masyarakat yang  memerlukan. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai untuk sentiasa  mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi semua garis panduan kesihatan demi kesejahteraan  semua. Kami yakin bahawa bersama-sama, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan dan membina  sebuah negara yang bingkas dan berdaya tahan,’ rumus Hazlinah.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.