Zakat Wang Simpanan

Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli.

Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.

Nisab zakat wang simpanan sama bersamaan nilai 85 gram emas Zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.

Pengiraan Zakat Wang Simpanan

Dalil Zakat Wang Simpanan

Kewajipan zakat wang ditetapkan dalam Quran dan Hadis. Antaranya dalam surah al-Taubah seperti berikut yang bermaksud:

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu

[Surah Al-Taubah (9): 34-35]

Hadis

Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Tidaklah ada ganjaran bagi orang yang memiliki harta simpanan namun tidak menunaikan haknya, melainkan Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka jahanam pada hari kiamat, hingga dahinya, tepinya serta punggungnya dibakar, sampai Allah memutuskan perkara di antara hamba-hambanya di hari yang lamanya sekitar 50,000 tahun di bumi, kemudian dia melihat jalannya, baik ke syurga mahupun ke neraka.

[HR Muslim]

Simpanan Dalam Satu Akaun

Katakan seseorang mempunyai penyata simpanan seperti berikut:

Tarikh SimpanTarikh KeluarAmaun (RM)Baki (RM)
01/01/20XX100,000.00100,000.00
23/04/20XX(5,000.00)95,000.00
30/05/20XX(5,000.00)90,000.00
10/07/20XX2,000.0092,000.00
12/08/20XX(5,000.00)87,000.00
11/11/20XX2,000.0089,000.00
31/12/20XX2,000.0091,000.00

Baki terakhir bagi keseluruhan tempoh dalam jadual di atas ialah RM91,000. Ia telah melebihi nisab dan genap setahun. Tahun haul dalam contoh ini dikira dari 01/01/20xx hingga 31/12/20xx.

Justeru, zakat Wang Simpanan:

= Baki Terakhir (Setahun) x 2.5%
= RM 91,000 x 2.5%
= RM 2,275

Simpanan Dalam Beberapa Akaun

Sekiranya pendeposit memiliki beberapa akaun simpanan di dalam bank atau lain-lain institusi kewangan, perlu menjumlahkan kesemua baki terakhir bagi setiap akaun simpanan. Zakat dikenakan apabila jumlah kesemua baki terakhir tersebut menyamai atau melebihi nisab.

Haul: 01/01/2021 hingga 31/12/2021.

Nisab 2021 : RM20,299.00

*Rujuk nisab untuk tahun semasa di laman web Pusat Zakat / Lembaga Zakat

Buku SimpananBaki Terakhir (RM)
Akaun A4,000.00
Akaun B1,000.00
Akaun C25,000.00
Jumlah Baki Terakhir30,000.00

Justeru, Zakat Wang Simpanan:
= Baki Terakhir x 2.5%
= RM 30,000 x 2.5%
= RM 750.00

Nak lebih mudah, boleh kira menggunakan Kalkulator Zakat yang disediakan.

Sumber rujukan : Pusat Pungutan Zakat MAIWP

Contoh bayaran zakat pendapatan dan simpanan tahun 2021:

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.