Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan Tahun 2021 Sebanyak 3.1% Selepas Zakat

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus (selepas zakat) yang akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya bagi tahun 2021 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.46 bilion. Jumlah keuntungan yang diagih bagi tahun 2021 adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion yang telah diagih bagi tahun kewangan 2020.

Agihan keuntungan ini adalah selepas mengambil kira zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit TH. Pendeposit TH tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.

Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya faktor di mana kadar agihan bagi tahun 2021 adalah lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus. Kadar tersebut telah mengambil kira peruntukan zakat sebanyak RM107 juta yang akan dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit.

Kadar pulangan tahun 2021 juga adalah selepas mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas dan juga keperluan untuk TH :

  • Mengagihkan keuntungan secara berhemah dan mampan mengikut kemampuannya.
  • Membina pegangan rizab bagi mempastikan kedudukan kewangan TH terus kukuh untuk masa hadapan.

YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menzahirkan rasa syukur atas agihan keuntungan yang kompetitif berbanding kadar pasaran meskipun pelaburan TH terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sukar dan masih terkesan dari pandemik Covid-19 yang berterusan pada tahun 2021.

Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit. Insya-Allah, selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur TH. Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH

YB Senator Datuk Haji Idris

TH akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangannya memandangkan keadaan ekonomi negara semakin beransur pulih setelah pergerakan dan aktiviti perniagaan dibenarkan secara berperingkat dari suku ketiga tahun 2021. Ekonomi negara pula dijangka akan terus berkembang pada tahun 2022.

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Jumaat, 25 Feb 2022 sehingga pukul 12 tengah hari, Sabtu, 26 Feb 2022, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, Ahad, 27 Feb 2022 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Sorotan Prestasi 2021

SOROTAN PRESTASI 2021

TH telah mencatat pendapatan sebanyak RM3.24 bilion bagi tahun 2021 berbanding RM3.15 bilion bagi tahun 2020, iaitu peningkatan sebanyak 2.9 peratus. Pelaburan pendapatan tetap dan ekuiti telah menyokong ketahanan pendapatan pada tahun 2021 dengan menyumbang lebih dari 70 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pelaburan pendapatan tetap (sukuk) telah menjana RM1.70 bilion yang merangkumi 52 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya. Pendapatan daripada pelaburan ekuiti telah menyumbang sebanyak RM0.65 bilion yang merangkumi 20 peratus daripada jumlah pendapatan bagi tahun 2021 dan adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding RM0.47 bilion bagi tahun 2020. Pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM0.42 bilion manakala pelaburan pasaran wang Islam menjana pendapatan sebanyak RM0.29 bilion.

Setelah mengambil kira perbelanjaan, peruntukan zakat dan keuntungan dagangan saham, TH mencatatkan keuntungan boleh agih sebanyak RM2.48 bilion bagi tahun 2021, meningkat sebanyak 2.1 peratus berbanding RM2.43 bilion bagi tahun 2020.

Alhamdullilah, kami bersyukur TH telah berjaya mencatat kadar keuntungan dan tahap aset dan deposit yang baik pada tahun 2021 walaupun keadaan ekonomi dan pasaran masih belum cukup pulih. Pengurusan operasi dan kewangan Insya-Allah akan terus diuruskan dengan baik dan teliti demi untuk mengimbangkan antara kehendak agihan semasa dan kepentingan dan kelestarian masa depan para jemaah dan pendeposit

Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengerusi TH

Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021. Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat (4) peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah. Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh Kerajaan telah mencecah RM83.33 bilion. Jumlah ini adalah yang tertinggi didalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya.

TH akan menumpukan usaha untuk beroperasi dengan lebih cekap dan dengan perbelanjaan berhemah. Kami juga terus mengambil langkah untuk memulihkan pelaburan yang terkesan disebabkan keadaan ekonomi dan pasaran yang mencabar akibat wabak COVID-19 sejak dua tahun yang lalu

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH

Pelan Strategik Tumpuan 2022

Bagi tahun ini, TH akan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan tadbir urusnya.

Sebagai contoh, hampir kesemua pelaburan TH hari ini adalah di dalam negara. Untuk memastikan pulangan yang lebih mampan, TH akan mempelbagaikan portfolio pelaburan dengan meningkatkan pelaburan luar negara secara berkala dengan mengambil kira risiko yang berpatutan

Dato’ Sri Amrin Awaluddin

Ekonomi negara dijangka akan terus pulih pada tahun ini dengan sokongan aktiviti perniagaan dan pelaburan secara amnya, namun TH akan mengambil langkah berhati-hati kerana masih terdapat risiko kemunculan varian baru virus Covid-19 yang boleh menggugat pemulihan ekonomi.

Sumber : Tabung Haji

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.