Beza ASB dan Unit Trust, Mana Yang Lebih Sesuai Untuk Anda?

Ada duit lebih yang tidak mendatangkan apa apa hasil dan hanya terperap di bank? Robert T. Kiyosaki pernah mengungkapkan “Jangan Bekerja Untuk Duit, Tetapi Biarkan Duit Bekerja Untuk Anda!” di dalam bukunya yang berjudul “Rich Dad, Poor Dad”.

Frasa ini mengajak orang ramai agar kita meningkatkan ilmu pengetahuan dalam ilmu pengurusan kewangan agar kita tidak perlu lagi bekerja bermatian-matian untuk mendapatkan duit suatu hari nanti. Jom kita kenali 2 jenis pelaburan yang dapat membantu untuk ‘beranakkan’ duit anda. Pelaburan ini amat sesuai bagi golongan yang sibuk dan tiada masa untuk melabur.

1. Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Amanah Saham Bumiputera atau yang lebih dikenali sebagai ASB, merupakan satu simpanan alternatif yang telah dilancarkan pada 2 Januari 1990 oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), khas kepada semua warga berstatus bumiputera Malaysia. Simpanan alternatif ASB ini bertujuan untuk menjana pulangan dalam tempoh masa yang panjang dan berterusan secara konsisten.

Dengan harga tetap RM1.00 bagi seunit dana ASB, ia juga dijalankan tanpa sebarang caj kos jualan atau yuran penebusan unit ASB dikenakan. Namun, pelaburan ASB mempunyai had input maksima jumlah pelaburan yang dapat ditingkatkan iaitu terhad sehingga RM200,000 sahaja dan had ini tidak terpakai jika perolehan dividen pelaburan melebihi had pelaburan.

Pelaburan ASB ini juga boleh dibuat pada bila-bila masa.

2. Pelaburan Unit Trust

Unit Trust adalah satu pelaburan yang mengumpulkan wang para pelabur yang kemudian akan diusahakan oleh pengurus dana yang profesional. Merupakan tempat pelaburan yang ditubuhkan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah. Wang para pelabur akan dilaburkan ke dalam pelbagai aset-aset lain atau portfolio ekuiti.

Pelabur juga perlu membayar caj pengurusan kepada pengurus dana. Caj pengurusan dan penjualan merupakan bayaran yang dikenakan dalam pelaburan unit trust. Kebiasaanya, caj pengurusan adalah 1.5% setiap tahun dan caj jualan antara 5-6%.

Perbezaan ASB dan Unit Trust

Konsep Unit Trust sama seperti ASB cumanya ASB mendapat keuntungan melalui dividen kombinasi bonus. Manakala, Unit Trust mendapat keuntungan dalam bentuk dividen kombinasi kenaikan harga unit dalam saham. ASB berharga tetap (RM1) yang mana harga jual dan harga beli adalah sama.

Namun, berbeza dengan kebanyakan unit trust yang lain yang mana harga unitnya berubah-ubah seperti saham. ASB risikonya sederhana, manakala Unit Trust risikonya sederhana ke tinggi.

ASB hanya ada 3 dana iaitu ASB 1, ASB 2 dan ASB 3. Unit Trust pula ada pelbagai jenis dana. Sejak 31 Oktober 2016, Malaysia mempunyai 641 dana yang diiktiraf dan 199 dana daripadanya adalah berlandaskan shariah.

Kelebihan dan Kekurangan Pelaburan ASB

Selain daripada pelaburan ASB memberi pulangan dividen yang menarik dan mempunyai kadar seunit rendah iaitu sebanyak RM1.00 seunit, pelaburan ASB juga dijamin oleh kerajaan Malaysia serta dividen dan bonus yang diperoleh dikecualikan daripada cukai.

Pelaburan ASB mempunyai kecairan yang tinggi dimana wang tersebut boleh dikeluarkan dalam masa 24 jam sekiranya berlaku kecemasan. Bukan itu sahaja, ia juga pada waktu yang sama dapat memberikan nilai bersih yang tinggi jika simpanan telah mencapai usia 1 bulan, ia layak mendapat dividen secara peratusan purata dividen tahunan bagi bulan tersebut.

Selain itu, kelebihan pelaburan ASB ini ialah pada kecairan sijil ASB itu sendiri dimana ia boleh dicagarkan di bank-bank tempatan bagi mendapatkan pinjaman berbentuk Overdraft. Namun, ia disyaratkan kelayakan ini hanya kepada jenis perniagaan pemilikan tunggal sahaja.

Walaubagaimanapun, pelaburan ASB dilihat kekurangannya pada had pelaburan iaitu terhad sehingga RM200,000 sahaja. Pulangan dividen pelaburan ASB juga rendah jika dibandingkan dengan jenis pelaburan yang lain, ini membuatkan pelaburan ASB hanya sesuai untuk pelaburan dalam jangka masa yang panjang.

Kelebihan dan Kekurangan Pelaburan Unit Trust

Kelebihan melabur dengan Unit Trust adalah harga unitnya sentiasa turun dan naik dan tidak tetap. Kenaikan harga unit dalam saham memberikan keuntungan kepada pelabur. Seterusnya dengan modal yang kecil serendah RM1,000, pelabur dapat membuat diversifikasi.

Dana unit trust dilaburkan dalam pelbagai sektor seperti sektor minyak, sektor kesihatan, dan sebagainya. Pelabur juga boleh keluarkan pelaburan tanpa ada penalti mengikut harga semasa pada bila-bila masa sahaja. Ini kerana unit trust mempunyai kecairan yang tinggi.

Pelaburan akan diuruskan oleh orang yang pakar dalam bidang pelaburan seperti pengurus dana profesional. Mereka telah melakukan kajian dan mempunyai kemahiran dalam mengurus pelaburan ini. Kelebihan melabur dalam unit trust adalah dari segi kompounding.

Kompounding adalah keupayaan sesuatu aset untuk memperolehi hasil yang kemudiannya akan dilaburkan semula untuk perolehi hasil mereka sendiri. Sumber modal berdasarkan modal pelaburan dari wang pelabur sendiri dan modal pelaburan dari keuntungan pelaburan itu sendiri.

Unit Trust tidak sesuai kepada pelabur yang berhajat melabur dalam tempoh masa yang pendek. Namun jika panjangkan tempoh masa pelaburan lebih dari 5 tahun risiko kerugian menjadi lebih rendah.

Oleh itu jika anda mengharapkan keuntungan cepat, unit trust bukan untuk anda. Unit Trust juga tiada jaminan keuntungan malahan anda juga boleh rugi.

Sekiranya pegangan unit berprestasi baik maka menjadi satu kelebihan buat para pelabur. Jika pegangan unit jatuh, pelabur akan kehilangan wang.

ASB vs Unit Trust

Pelaburan ASB dan Unit Trust amat sesuai bagi golongan yang sibuk dan tiada masa untuk menganalisa secara teknikal atau ‘fundamental’ sebagaimana pelaburan saham di Bursa Malaysia. Ini kerana kedua dua pelaburan tersebut dilihat mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding pelaburan saham di Bursa Malaysia.

Sebagai kesimpulan, pilihan mana yang lebih baik sebenarnya terletak pada tangan pelabur itu sendiri untuk menilai jenis pelaburan yang mana lebih sesuai untuk mereka.

Penulis boleh dihubungi di:

Aliah Adielah Binti Mohd Said ([email protected])
Nur Aimi Nabilah Binti Matnoh ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Univesriti Sains Islam Malaysia (USIM)

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.