Pelaburan Saham Patuh Syariah Di Bursa Malaysia

Pasaran saham adalah pasaran di mana orang Islam boleh melabur wang mereka dan menjalankan perniagaan. Ia adalah sebuah syarikat yang menyediakan tempat atau perkhidmatan untuk orang ramai membeli dan menjual saham di bursa saham Bursa Malaysia.

Urus niaga saham di Bursa Saham tidak memerlukan transaksi bersemuka antara penjual dan pembeli. Secara umumnya, urus niaga saham digolongkan sebagai harus dalam Islam kerana ulama bersepakat bahawa jual beli saham adalah serupa dengan jual beli komoditi lain dan mesti mematuhi syarat sah jual beli.

Ulama yang menyatakan pandangan sedemikian bersetuju bahawa kaedah masalih mursalah harus digunakan kerana urus niaga saham boleh membantu perniagaan dan ekonomi pelabur berkembang maju. Pelaburan patuh Syariah di Malaysia merujuk kepada saham dan perkhidmatan yang diberikan oleh mana-mana institusi kewangan atau pelaburan yang bebas daripada riba, gharar, perjudian dan amalan tidak beretika yang lain.

Ciri-ciri Saham Patuh Syariah

Di Malaysia, proses saringan Syariah dijalankan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menapis dan mengenalpasti saham patuh syariah. Proses ini dilakukan sebanyak dua kali setahun.

SC memberikan maklumat untuk proses tapisan syariah ini. Majlis Penasihat Syariah (MPS) akan menyemak data yang diperoleh SC daripada sumber yang berbeza, termasuk laporan tahunan firma dan temu bual yang dilakukan dengan syarikat itu, untuk menentukan bahawa saham yang terlibat adalah patuh syariah.

Status Syariah syarikat tersenarai ini akan disemak secara tetap oleh MPS berdasarkan penyata kewangan tahunan terbaharu mereka yang telah diaudit. Dari 1995 hingga Mei 2013, MPS menggunakan kaedah ini untuk menapis saham patuh Syariah.

Bermula pada November 2013, prosedur penyaringan yang diubah suai telah digunakan untuk menjana Senarai Pematuhan Syariah. Setiap 6 bulan iaitu penghujung bulan Mei dan November, panel syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan buat penilaian semula status syariah setiap kaunter saham di Bursa.

4 Saringan Untuk Sesuatu Saham Patuh Syariah

Peratusan jumlah hasil dan keuntungan keseluruhan aktiviti sebelum cukai (PBT) bagi sesebuah syarikat akan diambil kira oleh SAC. Pengiraan di bawah akan dilakukan dan dibandingkan menggunakan penanda aras aktiviti perniagaan yang berkenaan:

1. Pantau Kegiatan Perniagaan Syarikat

Berikut adalah cara sumbangan operasi tidak patuh Syariah kepada keseluruhan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai syarikat akan dikira dan dibandingkan menggunakan penanda aras aktiviti perniagaan yang berkaitan:

  • Penanda aras 5%

Penanda aras 5% ini diguna pakai untuk perniagaan / aktiviti seperti:

  • Perbankan tradisional
  • Insurans tradisional
  • Perjudian
  • Alkohol dan aktiviti berkaitan
  • Khinzir dan aktiviti yang berkaitan
  • Makanan dan minuman yang tidak halal
  • Hiburan yang bercanggah dengan Syariah
  • Tembakau dan aktiviti yang berkaitan
  • Hasil faedah daripada akaun dan instrumen tradisional (termasuk pendapatan faedah daripada keputusan mahkamah atau penimbang tara, serta keuntungan daripada pelaburan tidak selari dengan garis panduan Syariah)
  • Aktiviti lain yang dianggap tidak selari dengan Syariah.

Sumbangan perniagaan /aktiviti yang tidak mematuhi Syariah kepada perolehan kumpulan atau keuntungan sebelum cukai kumpulan sesebuah syarikat hendaklah kurang daripada 5%  untuk perniagaan /aktiviti yang dinyatakan di atas.

  • Penanda Aras 20%

Tanda aras 20 % ini diguna pakai bagi perniagaan /kegiatan berikut:

  • Pengoperasian hotel dan resort
  • Urus niaga saham
  • Pembrokeran saham
  • Sewaan daripada kegiatan yang bercanggah dengan Syariah
  • Kegiatan lain yang dinyatakan sebagai tidak selari dengan Syariah.

Peratusan perniagaan dan kegiatan yang tidak selari dengan Syariah kepada perolehan kumpulan atau keuntungan sebelum cukai syarikat mestilah kurang daripada 20%  untuk perniagaan /kegiatan yang dinyatakan di atas.

2. Memantau Penanda Aras Nisbah Kewangan Syarikat

Jumlah riba syarikat juga akan ditentukan oleh SAC yang seharusnya tidak melebihi 33% daripada keuntungan syarikat dalam kegiatan berikut:

  • Tunai ke atas jumah aset

Jumlah nilai deposit tunai dalam akaun bank dan instrumen tradisional mestilah kurang daripada 33%. Deposit tunai dalam perbankan Islam tidak termasuk dalam pengiraan kerana ia tidak menanggung faedah.

  • Hutang ke atas nilai aset

Hutang berfaedah diambil kira, dan ahli panel SAC akan menjamin bahawa ia adalah kurang daripada 30%. Pengiraan dan tapisan ini tidak mengambil kira pembiayaan Islam atau sukuk.

3. Membuat Semakan Dalam Talian

Pelabur boleh mengenal pasti saham yang patuh Syariah melalui aplikasi pada peranti, dan juga secara dalam talian.

  • Buka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang patuh Syariah

Pelabur boleh membuka akaun dagangan patuh syariah dengan cara yang paling mudah. Perlu dipastikan untuk hanya membeli saham patuh syariah yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia dan telah mendapat kelulusan SC.

Tambahan pula, pelabur boleh menghubungi remisier secara terus. Pelabur akan diajar bagaimana untuk mengesan keadaan saham yang telah dibeli oleh remisier yang bertanggungjawab. Ini kerana setiap wadah dagangan mempunyai mekanisme untuk memaklumkan pelabur tentang status syariah sesuatu saham.

  • Membuat semakan di laman sesawang Bursa Malaysia

Langkah-langkah yang boleh dilakukan seperti:

1. Buka laman sesawang Bursa Malaysia

2. Tulis nama syarikat yang mahu disemak di ruangan Get Quote

3. Klik nama syarikat dan layari Company Overview.

  • Semak di BURSAMKTPLC

Selain itu pelabur juga boleh melayari laman sesawang BursaMKTPLC. Pendaftaran tersebut tidak memerlukan sebarang bayaran dan perlu diingatkan untuk menetapkan Shariah Mode semasa menggunakannya.

Dengan itu, ia akan memaparkan semua pelaburan yang berlandaskan Syariah sahaja.

  • Buat semakan kualitatif

Kemudian, SC akan memastikan bahawa pandangan orang ramai terhadap sesebuah syarikat adalah bersih daripada persepsi negatif dan buruk. Kegiatan dan imej sesebuah syarikat haruslah selari dengan prinsip Islam. Akhirnya, SC akan memberikan mereka status patuh saham kepada syarikat tersebut selepas syarikat memenuhi semua syarat patuh Syariah yang telah digariskan.

Senarai Saham Patuh Syariah  

Terdapat banyak sekuriti patuh Syariah yang boleh kita laburkan. Dengan itu, tiada alasan bagi kita umat Islam untuk melaburkan wang kita ke tempat yang haram. Jika dilihat pada sebelumnya, jika setiap sekuriti tersebut tidak melanggar apa-apa syarat yang ditentukan ia tentulah dapat diisytiharkan sebagai sekuriti patuh Syariah.

Berikut merupakan antara sekuriti yang telah diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah:

Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Untuk lebih lanjut lagi, terdapat banyak lagi sekuriti lain yang disenaraikan dalam sekuriti patuh Syariah. Berikut merupakan bilangan sekuriti yang  telah dikemaskini mengikut sektor mengikut industri:

Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Pelaburan-Pelaburan Patuh Syariah di Malaysia

Selain saham, sekuriti lain yang boleh dilaburkan adalah seperti Exchanged Trade Funds (ETF), Real Investment Trust (REIT), sukuk, dan banyak lagi. Semua pelaburan ini akan diuruskan melalui sistem Bursa Malaysia iaitu suatu aplikasi yang menyediakan integrasi penuh urus niaga.

Ia menawarkan rangkaian pertukaran mata wang yang luas dan perkhidmatan yang berkaitan termasuk perkhidmatan perdagangan, penyelesaian, penjelasan dan simpanan terhadap pelaburan.

Kesimpulan

Sebelum memulakan pelaburan, perlu diingatkan bahawa, setiap pelabur perlulah mempunyai ilmu dalam bidang pelaburan ini. Hal ini kerana, pertama sekali sebagai seorang umat Islam perlulah berjaga-jaga agar tidak termasuk dalam golongan orang yang melakukan perkara yang dilarang dalam Islam seperti melabur dalam pelaburan yang mengandungi riba.

Tambahan lagi, dengan adanya ilmu, pelabur boleh mengetahui keadaan kewangan pada setiap individu masing-masing agar tidak tergolong dalam orang yang rugi.

Penulis boleh dihubungi di:

Nurnazhirah Binti Shaharudin ([email protected])
A’tifah Binti Muarifin Sufianto  ([email protected])
Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.