
Sub Topik
Konsep wakaf yang berteraskan unsur simpanan dan pelaburan melalui pengumpulan dan pertumbuhan modal dalam ekonomi untuk meningkatkan pengeluaran perkhidmatan dan pendapatan adalah selaras dengan matlamat memelihara aset wakaf.
Sistem wakaf mampu memberikan pulangan agihan yang lebih baik kerana keunikannya yang bercirikan kelestarian. Al-Qurahdaghi (2004) telah memberi penekanan kepada pembangunan aset wakaf melalui pelaburan kerana ia merupakan mekanisme yang dibentuk untuk menjana pulangan daripada modal yang dilaburkan dan kemudiannya dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk menyumbang kepada projek wakaf yang lain untuk kepentingan ummah.
Tambahan pula, Islam menolak perbuatan meletakkan harta wakaf dalam keadaan terbiar, statik dan stagnasi tanpa sebarang perkembangan. Oleh itu, terdapat keperluan untuk melaburkan harta wakaf mengikut garis panduan dan ketetapan Syariah yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Dalam konteks ini, persediaan pengurus wakaf amatlah penting untuk memastikan pelaburan modal dikekalkan dan pulangan dihasilkan bagi memenuhi keperluan masyarakat. Marzuki et al (2012) menegaskan bahawa dana wakaf tunai perlu dilaburkan melalui portfolio kewangan dengan pelbagai kaedah dan mesti berdasarkan pendekatan pulangan tinggi dengan risiko minimum.
Hal ini kerana menurut Puad et al (2014), Majlis Agama Islam Selangor mempunyai kekurangan dana kerana aset wakaf tidak digunakan sepenuhnya dan dibangunkan dengan baik untuk menjana pendapatan bagi tujuan pembangunan masa hadapan terutamanya dana wakaf tunai. Oleh itu, bagi meningkatkan taraf pengurusan aset wakaf di Malaysia, penyelarasan semua harta wakaf dan peningkatan taraf wakaf kepada taraf korporat boleh dilakukan melalui pelaburan.
Namun begitu, pelaburan aset wakaf ini perlulah mempunyai pengurusan portfolio aset wakaf yang strategik bagi mengelakkan risiko atau kerugian pada masa akan datang.
Pembangunan Portfolio Aktif
Strategi pelaburan boleh dilaksanakan dalam institusi wakaf seperti pembangunan portfolio aktif dan pengurusan dinamik, pengimbangan semula portfolio, kepelbagaian portfolio, klasifikasi aset, dan jaminan. Secara umumnya, amalan pembangunan dana wakaf melalui instrumen simpanan tetap terdedah kepada risiko inflasi yang boleh menjejaskan nilai dana dalam tempoh jangka panjang.
Keadaan ini memerlukan strategi keseimbangan portfolio dan pengurusan portfolio yang aktif bagi memastikan kelestarian modal wakaf. Tujuan portfolio aktif ini adalah untuk meningkatkan pencapaian aset wakaf dan ianya boleh digunakan melalui kedua-dua pendekatan kualitatif atau kuantitatif.

Penyumbang utama kepada portfolio ini adalah melibatkan sikap pelabur dalam menguruskan dana berdasarkan gabungan ilmu pengetahuan, pengalaman dan kajian pasaran yang mendalam serta kepakaran pengurus portfolio.
Sebagai contoh, pengurus portfolio boleh menggunakan alternatif strategi ini dengan meletakkan kelas aset dalam berbilang bakul bagi mengurangkan risiko kerugian seperti pepatah inggeris mengatakan ‘don’t put all your eggs in one basket’. Hal ini dapat memastikan pembangunan portfolio aktif berjaya di samping menyokong pengurusan portfolio aset wakaf di Malaysia.
Seterusnya, pengimbangan semula portfolio merujuk kepada proses menyelaraskan kembali pemberat bagi setiap aset portfolio dengan menjalankan jual beli secara berkala bagi mengekalkan peruntukan aset dan risiko. Strategi ini akan bertindak melindungi pelaburan yang berlebihan dan pendedahan risiko yang tidak dinginkan.
Pengimbangan portfolio juga akan dapat membantu memberikan jaminan bagi aktiviti yang turut melibatkan pengambilan risiko untuk memenuhi keperluan dalam pelaburan. Untuk mempunyai portfolio seimbang yang baik, Perry dan Warson (2014) telah menekankan beberapa prinsip penting dalam proses ini iaitu menstrukturkan pengagihan pelbagai aset, merasionalkan bilangan pengurus dalam portfolio dan mempertimbangkan pelaksanaan pengurusan aktif dan pasif.
Kepelbagaian portfolio pula ialah proses melabur wang anda dalam kelas aset dan sekuriti yang berbeza untuk meminimumkan risiko keseluruhan portfolio. Kepelbagaian ialah strategi pengurusan risiko yang mencampurkan pelbagai jenis pelaburan dalam portfolio.
Rasional di sebalik teknik ini ialah portfolio yang dibina daripada pelbagai jenis aset secara puratanya akan menghasilkan pulangan jangka panjang yang lebih tinggi dan mengurangkan risiko mana-mana pemegang dan menjamin keselamatan individu. Walau bagaimanapun, pematuhan terhadap prinsip Syariah masih lagi asas dalam strategi kepelbagaian portfolio ini.
Parameter pelaburan utama ialah larangan pelaburan dalam sektor haram (terlarang) untuk mengelakkan pulangan yang haram (Kamali, 2007).
Klasifkasi aset merupakan strategi seterusnya dalam portfolio. Pelabur menetapkan peruntukan sasaran untuk pelbagai kelas aset dan mengimbangi semula portfolio secara berkala. Ia merujuk kepada aktiviti pemuliharaan aset dalam pelbagai portfolio seperti stok, bon, tunai, dan juga pelaburan alternatif seperti komoditi dan derivatif.

Walau bagaimanapun, amalan semasa dalam institusi wakaf lebih menumpukan kepada aset hartanah berbanding kelas aset alih seperti ekuiti (Othman, 2013). Institusi wakaf seperti Harvard dan Yale secara aktif mempelbagaikan kelas aset mereka.
Strategi ini boleh dimantapkan dengan membentuk rangka kerja berasaskan pengalaman yang kukuh. Kekurangan pengalaman dalam institusi wakaf mengenai pelaburan boleh diatasi dengan mempertimbangkan model pelaburan yang dicadangkan yang telah dilakukan oleh institusi wakaf Harvard dan Yale.
Akhir sekali, kehilangan modal dalam pembangunan aset wakaf hendaklah diganti (Mahamood et al. 2007). Oleh itu, jaminan modal dan perlindungan aset wakaf daripada pihak ketiga mestilah dilaksanakan untuk mengatasi perkara ini. Struktur asasnya ialah pengurus dana wakaf tidak dibenarkan mengagihkan modal selain pulangan pelaburan.
Peruntukan dalam pelaburan wakaf hanyalah dibenarkan mengikut garis panduan iaitu hanya bagi peruntukan untuk urusan Islam, pelaburan professional, peluang pelaburan, dasar pengurusan pelaburan dan audit pelaburan wakaf. Berdasarkan garis panduan dan strategi yang dicadangkan di atas, terdapat beberapa model pelaburan wakaf tunai berdaya maju yang sepatutnya diketengahkan dan dibawa ke hadapan.
Model pelaburan yang sesuai untuk pengurusan risiko dan memelihara modal wakaf yang boleh dipertimbangkan pula adalah unit model tabung amanah, ekuiti dan modal teroka. Ciri-ciri model ini sesuai dengan ketetapan garis panduan pelaburan wakaf selain dapat memulihkan kedudukan wakaf kepada kegemilangannya seperti dahulu.
Fokus Kepada Pembangunan Aset Wakaf
Sebagai penutup, sememangnya terdapat peningkatan dalam dana kutipan aset wakaf. Namun, perhatian dan fokus kepada pembangunan aset wakaf itu sendiri yang semakin berkurangan. Justeru, kajian ini telah memberi tumpuan khusus kepada pembangunan aset wakaf yang dipercayai menjadi tunggak utama dalam pencapaian aset wakaf di Malaysia.
Isu utama yang perlu diberi perhatian dalam perkara ini ialah pentadbiran dan pengurusan yang lemah, serta kecekapan yang kurang bagi sesetengah pengurus wakaf. Dalam menangani isu pengurusan wakaf yang lemah ini, satu set garis panduan berdasarkan pendapat dan pandangan fuqaha dan pakar pelaburan telah disusun dan disediakan.
Garis panduan tersebut yang diberikan juga adalah terdiri daripada strategi wakaf pembangunan aset dalam konteks semasa. Oleh itu, diharapkan informasi ini akan dapat membuka mata masyarakat mengenai isu wakaf dan mengembalikan kegemilangan wakaf di samping memastikan pemeliharaan dan kelestarian wakaf untuk masyarakat global.
Penulis boleh dihubungi di:
Asmaa’ Binti Mohd Azhar ([email protected])
Nur Humaira Binti Haniffa ([email protected])
Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi Dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)