Proton Lancar Proton Saga 2022

Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) telah memperkenalkan Proton Saga 2022, versi yang ditambah baik terbaharu bagi model klasik jenama itu beberapa hari lepas.

Dikuasakan oleh enjin 1.3 liter empat silinder 16 injap DOHC VVT, Proton Saga 2022 tersedia dalam empat varian, iaitu Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT.

Model yang dikemas kini itu juga menawarkan komponen dalaman dan luaran serta kecekapan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri-ciri seperti indikator Eco Drive Assist (Bantuan Pemanduan Ekonomi) yang menunjukkan kepada pemandu tentang kecekapan pemanduan mereka.

“Selama hampir empat dekad, Proton Saga telah menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara, dan kami berbangga untuk meneruskan legasinya dan menandakan permulaan perjalanan baharu dengan Proton Saga 2022.

“Dengan lebih 1.9 juta unit terjual di lebih 28 pasaran di seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk beberapa tahun lagi,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah pada pelancaran model itu hari ini.

Gambar : Paultan

Beliau juga menyatakan bahawa di sebalik pandemik, Proton Saga 2019 mencatat jualan sebanyak 123,512 unit dalam tempoh 32 bulan, dari Ogos 2019 hingga April 2022.

Proton Saga 2022 baharu dilengkapi dengan dua beg udara SRS standard, serta Brek Anti-Kekunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan sistem Bantuan Brek (BA).

Gambar : Paultan

Kesemua varian transmisi automatik turut dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) untuk membantu mengekalkan kawalan dalam keadaan jalan yang licin, manakala ciri Bantuan Pegun Bukit (HHA) membolehkan pemandu bergerak dengan yakin tanpa bimbang mengundur ke belakang ketika berhenti di kawasan berbukit.

Terdapat juga kamera mengundur yang dipasangkan di penderia belakang dan penderia hadapan yang berfungsi untuk memudahkan pergerakan ketika meletak kereta di ruang yang sempit.

Proton Saga 2022 boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Harga tanpa insurans bermula daripada RM34,400 hingga RM44,300, sah sehingga 30 Jun 2022 dengan pengecualian cukai jualan.

Proton Saga 2022 kini boleh ditempah secara dalam talian dan juga di bilik pameran Proton yang sah.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA