Shopee Membolehkan Lebih Ramai Penjual Mengembangkan Perniagaan Mereka Dengan Facebook Ads Baharu Di Pusat Penjual Shopee

Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, mengumumkan bahawa Iklan Facebook atau Facebook Ads kini tersedia secara rasmi di Pusat Penjual Shopee di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam, dengan ini memperkasakan komuniti terbesar di rantau ini dengan lebih 20 juta penjual menerusi alatan baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Dengan 95% pengguna Shopee bergantung pada Facebook dan Instagram untuk menemui jenama dan produk baharu, integrasi ini membolehkan para penjual meningkatkan kehadiran dalam talian mereka dengan memanfaatkan saluran Facebook, Instagram dan Audience Network demi membantu membawa trafik ke kedai Shopee rasmi mereka. Facebook Ads turut membolehkan pemperibadian yang lebih lagi bagi iklan yang disiarkan berdasarkan pilihan dan tingkah laku pengguna di platform, sekali gus menggalakkan pembelian dan memaksimumkan pertumbuhan jualan.

Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Shopee untuk menyokong perniagaan-perniagaan tidak kira besar atau kecil untuk berkembang dalam talian. Pusat Penjual Shopee menawarkan sebuah platform sehenti untuk membantu para penjual mengurus kedai mereka secara mudah, memberikan mereka akses kepada rangkaian alat pemasaran dan data yang lengkap untuk membuat penyenaraian, menjalankan promosi dan mengoptimumkan prestasi perniagaan dalam talian mereka. Mereka kini boleh menyediakan, melancarkan dan mengurus kempen Facebook Ads dengan mudah dan cepat melalui Pusat Penjual Shopee.

Kenneth Soh, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia berkata, “Mewujudkan kerjasama bersama Meta untuk melancarkan Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee akan memberi impak yang besar kepada para penjual kami secara positif. Ia sememangnya merupakan sesuatu penambahan yang signifikan bagi mereka. Kini, para penjual kami dapat menggunakan dan memanfaatkan satu ciri tambahan di Pusat Penjual kami bersama-sama dengan penyelesaian pemasaran Shopee yang lain demi meningkatkan keterlihatan kedai Shopee dan produk mereka kepada lebih ramai pembeli yang berminat. Mereka kini mampu mengembangkan iklan produk mereka kepada aplikasi dan laman web lain, dengan ini meningkatkan pangkalan pelanggan mereka. Kami akan terus mengembangkan ekosistem kami menerusi lebih banyak kerjasama utama seperti kerjasama kami bersama Meta. Ini adalah untuk terus menyokong para penjual kami dengan lebih banyak peluang agar mereka dapat menambah baik perniagaan dan meningkatkan kemahiran secara digital.”

Facebook Ads bersama Shopee mula diperkenalkan pada tahun 2019 di mana hanya jenama-jenama dapat menjalankan dan mengurus kempen melalui platform Facebook. Sejak itu, banyak jenama telah meningkatkan perniagaan mereka menggunakan ciri tersebut, menghasilkan secara purata 5 kali ganda pulangan atas perbelanjaan iklan (ROAS) merentas semua kategori pada separuh kedua tahun 2021.

Damian Kim, Pengarah Negara Meta Singapura berkata, “Pada masa ini, ia adalah amat penting untuk perniagaan-perniagaan menjangkau dan mendekati pelanggan mereka yang dikasihi, terutamanya apabila tingkah laku membeli-belah pengguna terus berubah secara drastik. Penemuan digital kekal penting dalam memacu permintaan dan jualan, dan saya berasa teruja bahawa pelancaran Facebook Ads menerusi Pusat Penjual Shopee akan menjadi enjin yang membolehkan ribuan penjual mempunyai akses yang saksama dan lebih mudah untuk memanfaatkan Facebook Ads yang akan menghubungkan mereka dengan pelanggan yang baharu serta mengembangkan perniagaan mereka.”

Pengintegrasian Facebook Ads di Pusat Penjual membolehkan proses penyertaan dengan sendiri atau self-onboarding yang dipermudahkan, yang direka untuk menawarkan proses pengurusan kempen yang lancar dari awal hingga akhir kepada para pengguna. Selain daripada menjimatkan masa untuk melancarkan kempen melalui Pusat Penjual, para penjual dapat menambah nilai dan membayar kredit iklan dengan mudah tanpa perlu meninggalkan platform. Mereka juga boleh mendapat keterlihatan penuh berkenaan prestasi kempen Facebook Ads mereka serta melengkapkan diri dengan maklumat penting untuk mengoptimumkan hasil jualan, di samping melihat kempen iklan yang lain.

Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee kini tersedia kepada para penjual terpilih di tujuh pasaran semasa fasa pelancaran awal ini. Ia akan dilancarkan kepada lebih ramai penjual pada bulan-bulan berikutnya.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.