HP ZBook Studio G9 Perkasakan Profesional Masa Kini Untuk Mencipta Tanpa Batasan

KUALA LUMPUR, 21 July, 2022 – HP Inc. Malaysia telah memperkenalkan HP ZBook Studio G9 serba baharu hari ini, untuk membantu meningkatkan produktiviti profesional kreatif yang memerlukan kelebihan dari segi kuasa dan prestasi, keupayaan bekerjasama yang lancar dan mencipta tanpa batasan.

Golongan profesional memerlukan alat yang  berkuasa untuk mencipta dengan pantas dan mudah di mana sahaja mereka berada. Keperluan ini dapat dipenuhi dengan ZBook Studio G9, yang dilengkapi dengan pemproses Intel® Core™ i9 Gen Ke-12 dan grafik NVIDIA RTX ™.  Pengguna yang sentiasa bergerak boleh memanfaatkan teknologi yang berkuasa tinggi dan fleksibel, untuk mempercepatkan pelaksanaan beban kerja yang paling mendesak dan membolehkan kerjasama dilakukan dengan lancar.

“Karyawan profesional bergantung kepada teknologi yang berkuasa tinggi dan fleksibel yang tidak menganggu atau menghalang aliran kerja mereka untuk meneroka sempadan kreativiti,” kata Alex Tan, Pengarah Urusan HP Inc, Malaysia. “Dengan ZBook Studio, setiap idea boleh dizahirkan dengan serta-merta – di mana sahaja mereka mendapat ilham.”

“NVIDIA RTX™️ ialah platform paling canggih bagi teknologi AI dan penyurihan sinar, yang bakal mengubah sama sekali cara kita bermain dan mencipta,” kata Raghavender Rao Ganti, Pengurus Jualan Serantau, Pemvisualan Profesional, Perisian Perusahaan di NVIDIA. “Dengan ZBook Studio, profesional kreatif akan dapat melaksanakan tugasan reka bentuk dan kejuruteraan paling mencabar menggunakan stesen kerja yang dilengkapi kuasa komputer meja mudah alih — usaha sama kami dengan HP sentiasa berusaha menyuntik semangat kepada para pereka, jurutera dam karyawan untuk menzahirkan wawasan masa depan masing-masing.”

Komputer riba HP ZBook Studio G9 dilengkapi skrin HP DreamColor 16” dengan kadar segar semula 120Hz1, pada nisbah aspek 16:10. Stesen kerja mudah alih ini, dengan casis aluminium penuh dan kekuatan MIL-STD 810, sememangnya direka cipta untuk tahan lama, dengan sentuhan premium yang tersendiri dan paparan warna tepat.

Dengan model paling ringan seberat hanya 1.73 kg,2 HP ZBook Studio G9 ialah stesen kerja Zbook hebat HP, yang direka untuk profesional yang mahukan prestasi hebat di mana sahaja. Dilengkapi dengan pemproses Intel®️ Core™️ i9 vPro® generasi akan datang,3,4 dan GPU Komputer Riba NVIDIA RTX™️ A5500 atau NVIDIA GeForce RTX™ 3080 Ti 4 dengan memori sehingga 64GB DDR56,4 HP ZBook Studio G9 mengendalikan bebanan kerja berat dan aplikasi paling mendesak tanpa sebarang kerenah. Nikmati muzik sebagaimana yang  dibayangkan oleh jurutera audio, menggunakan pembesar suara Bang and Olufsen yang ditala khas, manakala ciri Pengurangan Bunyi Bising melalui teknologi AI5 memendamkan bunyi latar semasa panggilan. Wi-Fi 6E6,7 generasi akan datang tetap memberikan keterhubungan tanpa wayar yang kukuh sekalipun dalam persekitaran yang sesak. Model yang dilengkapi dengan GPU NVIDIA RTX™ dan GeForce RTX™ ditentusahkan oleh program NVIDIA Studio.  Program ini mengoptimumkan prestasi dan penstabilan bagi aplikasi kreatif paling popular, serta memberikan akses kepada perisian NVIDIA Studio percuma: iaitu Omniverse, Broadcast, dan Canvas.

  • Kuasa Untuk Menjangkaui Batasan – Dilengkapi dengan CPU Intel® Core™ dan GPU NVIDIA RTX™, ZBook Studio G9 menjanjikan prestasi tahap pro dalam pakej yang serba bergaya dan tahan lama.  Daripada reka bentuk 3D kepada ciri pembelajaran mesin, PC bertenaga ini menyediakan prestasi tanpa kelewatan supaya pengguna boleh bekerja tanpa sebarang gangguan.
  • Berkarya dan Bekerjasama Di Mana Sahaja dengan reka bentuk komputer riba tipis lagi ringan yang memperkasakan pengguna untuk mengendalikan perisian yang diperlukan di mana sahaja mereka berada. Bekerja dan berganding bahu secara berkesan dari mana-mana dengan ciri pemendaman bunyi AI5 dan Wi-Fi 6E.6,7 Pelbagai tugasan boleh dilakukan serentak dan tidak perlu menggunakan pemacu luar dengan kemudahan simpanan besar 4 TB PCIe®Gen4x4NVMe™ yang disediakan.4,8
  • Komputer Riba Kerja Sesuai Untuk Permainan Canggih – Nikmati permainan dengan pantas menggunakan GPU Komputer Riba NVIDIA RTX™ atau GeForce RTX™.4 Komputer akan kekal dingin walaupun perlu menampung bebanan kerja berat dengan HP Vaporforce Thermals,9 yang mempunyai bilah melengkung baharu untuk melindungi stesen kerja ini daripada menjadi terlampau panas, supaya pengguna boleh melakukan kerja paling berat dengan kuasa pemprosesan puncak.

HP ZCentral Connect

Kerjasama jarak jauh kini semakin penting dalam persekitaran kerja hibrid.  Dalam pada itu, kita perlu menyediakan pengalaman perkomputeran peribadi dan penyelesaian IT yang bersesuaian. HP turut menyediakan penyelesaian ZCentral yang memudahkan karyawan mendapatkan kemudahan akses jarak jauh kepada komputer stesen kerja mereka yang dipacu perisian ZCentral Remote Boost yang telah memenangi anugerah Emmy®. Keupayaan bekerjasama dalam masa sebenar penyelesaian ini memanfaatkan sepenuhnya sumber, kuasa komputer dan infrastruktur lengkap pejabat atau studio penerbitan, sambil bekerja dari mana-mana jua.

Kini dengan alat-alat baharu untuk menguruskan dan memantau sambungan ZCentral Remote Boost 14, pengguna boleh menyesuaikan lagi persekitaran sistem komputer masing-masing.   Malah, pengurus IT kini boleh menerima pemberitahuan bagi stesen kerja Z masing-masing di dalam konsol pentadbir untuk membolehkan mereka memantau status rangkaian komputer berpusat.

Keselamatan

HP ZBook Studio G9 dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan oleh HP, yang melindungi pengguna, data dan syarikat daripada ancaman luar. Ciri keselamatan ini termasuk ciri Pengesahan Berbilang Faktor HP untuk melindungi sistem daripada akses tanpa izin. Ia juga termasuk HP Sure Sense15 dan HP Sure Run16 bagi memastikan perniagaan tidak akan dihalang oleh perisian jahat dan pelaku yang berniat jahat. HP Wolf Security untuk Perniagaan menyediakan benteng pertahanan mantap yang sentiasa tersedia dan disokong oleh perkakasan – daripada BIOS kepada pelayar, di dalam dan di bawah OS – sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada bahagian IT.

Kelestarian HP berbangga untuk membantu pelanggan memenuhi matlamat kelestarian dengan portfolio19 PC paling lestari di dunia. HP menggunakan 100% tenaga elektrik boleh diperbaharui untuk menghasilkan kuasa bagi pemasangan akhir 90% daripada PC dan produk skrin yang dikeluarkan di seluruh dunia20. ZBook Studio terus menambah produk lestari dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula dan sisa plastik21, di samping mempelopori inovasi dalam segala aspek proses pengeluaran, daripada pembungkusan kepada penjimatan tenaga. Malah, HP ZBook Studio mematuhi sepenuhnya peraturan bahan yang disekat dan HP juga memilih sebatian yang memenuhi metodologi GreenScreen® bagi Bahan Kimia Lebih Selamat.

Harga HP ZBook Studio G9 di Malaysia akan diumumkan pada bulan Julai. Pelanggan boleh menghubungi talian khas HP Untuk Perniagaan di +603 7627 6550 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau kunjungi https://www.hp.com/my-en/workstations/zbook-studio.html bagi mendaftar untuk mendapatkan HP ZBook Studio G9 hari ini.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.