RM11.6 Juta Disalurkan Melalui IAP, Ringankan Beban Industri Dalam Isu Bahan Mentah Kayu

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Sebanyak RM11.6 juta telah disalurkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Program Bantuan Import (IAP) bagi tempoh 2020 hingga 30 Jun, 2022 untuk membantu menangani dan meringankan beban industri dalam isu bahan mentah kayu.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata melalui program ini, pengimport dari sektor perkayuan diberi bantuan dari segi penanggungan sebahagian kos logistik untuk mengimport bahan mentah kayu ke Malaysia dan sehingga kini ia memberi manfaat kepada 262 syarikat.

“Program yang dilaksanakan melalui agensi Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC) ini menyediakan bantuan maksimum tahunan di antara RM70,000 dengan RM115,000 bagi setiap syarikat, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi cabaran utama yang dihadapi industri perabot Malaysia pasca-COVID-19.

Zuraida berkata KPPK melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut menyediakan pinjaman program sokongan bahan mentah bagi membantu industri memperoleh bahan mentah yang akan digunakan untuk pemprosesan produk siap.

“Jumlah pinjaman maksimum RM20,000 sehingga RM1 juta mengikut nilai kos bahan mentah kayu disediakan dengan bayaran balik pinjaman selepas tiga hingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata bagi isu logistik, Program Bantuan Eksport (EAP) telah dilaksanakan di mana pihak pengeksport produk kayu-kayan diberi bantuan kewangan bagi mengurangkan impak kenaikan kos pengangkutan laut yang naik secara mendadak sejak pandemik COVID-19.

“Bantuan kewangan maksimum adalah RM15,000 bagi setiap syarikat yang layak. Sehingga 30 Jun 2022, jumlah peruntukan di bawah program EAP adalah RM2.21 juta dan 189 syarikat telah menerima manfaat daripada program ini,” katanya.

Beliau berkata KPPK melalui MTC terus menggalakkan pihak industri perkayuan Malaysia untuk mengembangkan pasaran eksport melalui program penyertaan dalam pameran perdagangan serta misi pemasaran dan perniagaan di dalam dan luar negara.

“Pasaran-pasaran seperti Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, ASEAN dan Oceania menjadi tumpuan bagi meningkatkan kebolehan pasaran produk kayu-kayan Malaysia.

“KPPK melalui MTIB turut memberi subsidi bagi penyertaan syarikat-syarikat perkayuan terutama industri perabot dalam pameran tempatan dan antarabangsa seperti Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF), Pameran Perabot Eksport (EFE), Ecobuild Asia Tenggara, Ekspo Pengubahsuaian Antarabangsa Malaysia (REX), Ekspo 2020 Dubai, ARCHIDEX dan banyak lagi,” katanya.

Zuraida berkata bagi membantu industri perkayuan terutama sektor perabot dalam membina keupayaan dan kebolehpasaran produk mereka, Program Promosi Penjenamaan telah dilaksanakan di mana 10 syarikat perkayuan telah dibimbing untuk membangunkan jenama syarikat dan produk mereka menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan TikTok.

“Selain itu, KPPK melalui MTC juga aktif berkomunikasi dengan pengimport-pengimport di pasaran eksport melalui pejabat-pejabat serantau di China, Belanda, India, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

“Melalui perhubungan secara berterusan dengan pemain-pemain industri, MTC juga boleh menjana dan berkongsi maklumat risikan pasaran dengan ahli industri perkayuan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/rm11-6-juta-disalurkan-melalui-iap-ringankan-beban-industri-dalam-isu-bahan-mentah-kayu/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.