Subsidi Bersasar Dilaksanakan Apabila Keadaan Ekonomi Mengizinkan – Tengku Zafrul 

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Keputusan memperkenalkan subsidi bersasar hanya akan dibuat setelah keadaan ekonomi mengizinkan iaitu apabila kadar inflasi dapat dikawal dengan baik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan memperkenalkan subsidi bersasar melalui Bajet 2023 akan datang kerana ia tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan inflasi global yang tinggi. 

“Pada masa sama kita juga perlu memahami bahawa subsidi tidak bersasar dalam jangka masa panjang tidak akan membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita masih lagi dalam proses pemulihan dan perkara ini perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan sama ada subsidi bersasar akan diperkenalkan dalam Bajet 2023 ini,” katanya menerusi program bual bicara Inklusif di RTM, malam ini. 

Beliau berkata sekiranya pada 2023 keadaan ekonomi mengizinkan, konflik geopolitik dunia yang semakin reda serta pertumbuhan ekonomi negara yang stabil, satu pembaharuan struktur akan dibuat bagi membantu golongan rentan. 

“Melalui pembaharuan struktur ini, kita akan memperkenalkan polisi baharu yang boleh menolong golongan yang betul-betul memerlukan dan tidak terlalu menyeluruh,” tambahnya. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/subsidi-bersasar-dilaksanakan-apabila-keadaan-ekonomi-mengizinkan-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian