Kerajaan Salur RM20.936 Bilion Bagi Program Subsidi Upah – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.936 bilion kepada 357,929 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian seramai 2.96 juta pekerja tempatan setakat 29 Julai, 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Katanya di bawah PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan mencecah nilai RM12.958 bilion, setakat 29 Julai lepas.

Bagi PSU 2.0, katanya sejumlah RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,165 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 719,185 pekerja.

“Di bawah PSU 3.0 setakat tempoh sama, sebanyak RM3.776 bilion telah disalurkan kepada 162,317 majikan untuk mengekalkan penggajian 1.53 juta pekerja.

“Malah, PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-107 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata di bawah PSU 4.0 dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sebanyak RM2.577 bilion telah disalurkan kepada 163,970 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1.92 juta pekerja setakat 29 Julai, 2022.

Katanya bagi PSU 5.0, sebanyak RM216.719 juta telah disalurkan kepada 8,014 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 122,437 pekerja.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata seramai 40,095 personel telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif Program Kerja Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) setakat 5 Ogos 2022.

Daripada jumlah tersebut, katanya seramai 20,773 orang personel peserta telah ditempatkan di sektor awam manakala 119,322 orang personel peserta di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

Bagi memastikan tempat untuk anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang pekerjaan, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga telah menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus peluang penempatan untuk program MySTEP kepada golongan berkenaan.

“Kerajaan amat menggalakkan agar warga OKU turut mengambil kesempatan ini dan memohon penyertaan melalui Portal MySTEP,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA