BRICS, Gabungan Blok Ekonomi Yang Bakal Mencabar Dominasi Barat Dalam Dunia Perdagangan

Kepesatan pembangunan ekonomi dunia kini tidak lagi fokus kepada paksi negara barat. Sebelum ini, negara barat dilihat sangat mendominasi arah tuju ekonomi dan juga cara pentadbiran negara. Kini selepas kebangkitan China pada era moden, negara barat dilihat telah mendapat saingan baharu yang menjadi pesaing yang terkuat kepada blok negara-negara di barat.

Pada tahun 2001, seorang penganalisis dari Goldman Sachs yang bernama Jim O’Neill telah mengemukan teori bahawa kebangkitan empat negara bakal memberi kemakmuran kepada ekonomi dunia pada masa hadapan. Pada ketika itu, Brazil, Rusia, India dan China dijangka bakal menjadi gergasi ekonomi pada masa akan datang. Pada tahun 2009, secara rasminya,empat negara ini telah bergabung dan membentuk pakatan yang dinamakan sebagai BRIC.

Gambar : The Conversation

Setahun kemudian, Afrika Selatan telah masuk ke dalam blok ini atas jemputan dari China. Lalu menjadikan lima negara kuasa baharu yang menjadi saingan kepada pertubuhan G7. Negara G7 merupakan negara yang mendominasi kegiatan perindustrian dunia dengan mengawal segala industri berat dalam dunia. Kebanyakan negara G7 ini merupakan negara barat kecuali Jepun sahaja yang dari Asia.

Keluaran Negara Kasar BRICS Adalah Antara Yang Terbesar Di Dunia

Dengan wujudnya BRICS yang diketuai oleh China, ia sedikit sebanyak akan mengugat dominasi negara barat dalam dunia ini. BRICS dikatakan bakal menjadi blok ekonomi yang besar pada masa akan datang. GDP keseluruhan yang terlibat didalam BRICS ini melebihi 40.5% jumlah penduduk dunia. Ini menyebabkan BRICS dilihat satu kuasa yang tidak boleh dipandang enteng oleh dunia barat.

Gambar: CNBC International

China yang menjadi kuasa besar dalam pakatan tersebut dilihat telah merangka pelbagai inisiatif untuk mengembangkan lagi blok pakatan ini. Antara langkah penting yang diambil oleh China adalah dengan melebarkan beberapa keahlian baru kepada negara yang berminat untuk menyertai blok ekonomi ini.

Bagi menguatkan lagi kekuatan ekonomi dalam pakatan tersebut, pada tahun 2014 India telah mengemukakan cadangan untuk membangunkan sebuah bank yang boleh membantu ahli anggota negara yang terlibat. Bank tersebut dikenali sebagai New Development Bank bertujuan untuk membantu infrastruktur negara yang dilihat kurang maju.

Keanggotaan BRICS Bakal Berkembang

Gambar: Pixabay

Banyak negara mula melihat pakatan ini sebagai satu pakatan yang dapat memberi manafaat kepada negara mereka dan menjadi alternatif kepada negara barat yang hanya mementingkan kepetingan nasional mereka berbanding dengan negara lain. Indonesia, Argentina dan juga Arab Saudi mula mengintai peluang untuk bekerjasama dengan blok ini. Jika mereka bersetuju untuk menjadi ahli, ia akan memberi pulangan yang besar kepada pertubuhan ini.

Selain dari bank yang dibangunkan oleh China, BRICS juga kini telah bersepakat untuk membuat mata wang yang baharu dalam perdagangan antara negara ahli mereka. Tujuannya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat yang kini merupakan mata wang utama dalam dunia perdagangan antarabangsa.

Kelemahan Antara Anggota Ahli

Walaupun nampak seakan dapat mencabar kedudukan negara barat dalam pentas ekonomi dunia, terdapat juga kelemahan yang ketara antara kalangan ahli BRICS. Terutamanya melibatkan China dan India. Negara yang berjiran itu dilihat mempunyai isu yang tidak selesai sejak berdekad lalu terutamanya melibatkan sempadan keduanya. Isu sempadan kedua negara itu dilihat dapat mengeruhkan keadaan buat kedua-dua negara itu. China dan India masih tidak mempunyai jalan penyelesaian yang konkrit tentang permasalahan tersebut sehingga mencetuskan kekecohan antara kedua-dua negara.

India juga turut mengharamkan puluhan aplikasi yang dibangunkan oleh China untuk digunakan dalam negara terbabit. Ia bertujuan untuk mengelak dari China mengintip kepentingan negara tersebut. Selain dari India, Brazil juga dilihat mempunyai hubungan kurang mesra dengan China. Dibawah pentadbiran presiden baharu Brazil, ia dilihat anti kepada China yang mana kebanyakan rakyat Brazil mendakwa China adalah negara yang bertanggungjawab dalam penularan wabak Covid-19 di dunia ini.

Selain berdepan dengan isu China, negara ini juga terkesan dengan penaklukan Rusia terhadap Ukraine. Kebanyakan negara blok BRCIS ini berbelah bahagi dalam sokongan terhadap Rusia dan ada sebahagian mengkritik tindakan Rusia terhadap pencerobohan itu.

Walaupun ada pelbagai isu yang bermain dalam kalangan negara ahli, ini tidak dapat menghalang fakta bahawa BRICS bakal menjadi sebuah pertubuhan yang bakal mengugat dominasi dunia barat terhadap dunia perdagangan global pada masa hadapan.

Rujukan: CNBC International

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA