10 Negara Dalam Penghijrahan Jutawan Dunia, Ke Mana Kekayaan Beralih?

Peningkatan jutawan ataupun penghasilan jutawan dalam sesebuah negara menunjukkan kestabilan dan kekuatan ekonomi negara tersebut. Dalam artikel kali ini, kita akan bincangkan penghijrahan jutawan-jutawan dunia dari satu negara ke negara yang lain.

Saban tahun, data menunjukkan semakin ketara penghijrahan dalam kalangan jutawan dunia.

Data menunjukkan peningkatan dalam negara Amerika Syarikat meningkat dua kali ganda iaitu pada tahun 2013 hanya 55,000 orang jutawan yang berhijrah ke luar negara berbanding tahun 2018 sebanyak 110,000 orang.

Gambar: Visual Capitalist

Sebelum pandemik berlaku, China dan India merupakan negara tertinggi penghijrahan jutawan berlaku. China disebabkan perang ekonomi dan polisi kerajaan China yang tidak mesra dengan jutawan menyebabkan ramai memindahkan aset ke luar negara. 

Namun begitu, apabila konflik antara Rusia-Ukraine tercetus, Rusia menyaksikan penghijrahan paling besar dalam kalangan jutawan. Menurut data sehingga Jun 2022, sebanyak 15,000 orang jutawan telah meninggalkan Rusia.

Bukan dalam kalangan jutawan sahaja, rakyat Rusia juga terutamanya anak muda telah meninggalkan negara mereka untuk mengelak daripada perang yang meletus dan dikerah menjadi askar untuk menentang Ukraine.

Faktor Penghijrahan Para Jutawan

Antara sebab utama jutawan-jutawan ini berhijrah dari negara sendiri adalah disebabkan ketidakstabilan politik, kualiti kehidupan dan polisi cukai dan ekonomi.

Bagi negara China pula antara sebab utama adalah polisi kerajaan China yang masih melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) yang menyekat perjalanan ekonomi dan perniagaan. Hal ini telah menyebabkan ramai orang kehilangan kerja dan bisnes tidak berdaya maju.

Oleh sebab itu, bagi jutawan-jutawan di China mereka lebih cenderung untuk keluar ke tempat yang lebih baik dan mesra ekonomi. Menurut data sehingga Jun 2022, sebanyak 10,000 orang kaya yang mempunyai nilai aset bersih USD 1 juta telah keluar dari China.

Ke Mana Jutawan-Jutawan Ini Berhijrah?

Tiga negara yang menerima paling banyak kedatangan jutawan ini adalah Australia, Switzerland dan Singapura. Antara sebab utama kedatangan para jutawan ini adalah polisi pendatang yang sangat mesra. Sebagai contoh program tawaran kewarganegaraan bagi mereka yang melabur dengan jumlah yang banyak. Selain itu, ‘Golden Passport Program‘ bagi mereka yang berada dalam industri digital ‘digital nomad’ menarik minat kedatangan para jutawan ke negara tersebut.

Corak perubahan dalam kalangan jutawan kita sudah berubah. Sebelum ini, ramai jutawan yang memilih untuk berada dalam negara seperti Kanada, UK dan Jerman yang mana negara tersebut mempunyai sosiopolitik yang terjamin. Tetapi kini mereka lebih memilih negara yang mempunyai ekonomi yang stabil seperti UAE, Australia dan Singapura.

Negara UAE yang menjadi pilihan utama para jutawan kini adalah kerana polisi cukai mereka. UAE menawarkan ‘zero income tax‘ atau sifar cukai pendapatan kepada para jutawan yang datang. Selain itu, kedudukan UAE juga strategik kerana berada di tengah-tengah antara tiga benua besar dan kekuatan ekonomi dalam industri minyak dan gas.

UAE juga berada diluar lingkaran politik barat yang mana para jutawan Rusia akan merasa lebih selamat daripada dikenakan sekatan terhadap aset dan kekayaan mereka.

Kerisauan para jutawan ini adalah bagaimana cara untuk menyelamatkan legasi kekayaan mereka dari negara-negara regim dan polisi yang tidak mesra. Oleh itu, penghijrahan dalam kalangan mereka akan terus berlaku mengikut peredaran zaman dan kestabilan politik semasa.

Sumber : https://www.visualcapitalist.com/migration-of-millionaires-worldwide-2022/

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian