Malaysia Mampu Jadi Negara Maju Seperti Korea Selatan – Emir Research

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Malaysia mampu mencapai tahap negara maju seperti Korea Selatan dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang kerana mempunyai sumber alam dan tenaga yang mencukupi untuk memperkasa Ekonomi MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin berkata Malaysia juga mampu mencontohi Korea Selatan yang berjaya mengubah hala tuju dan polisi ekonominya melalui pendekatan inovasi, berpendapatan tinggi dan menggunakan teknologi terkini sekali gus memacu pembangunan dan menjadi negara maju pada masa ini.

“Kalau kita lihat syarikat Samsung sebagai contoh di Korea Selatan, ada 5,000 pemegang PhD (kelulusan Doktor Falsafah) yang menjadi penyelidik, paling ramai di dunia. Ini menunjukkan mereka telah mulakan usaha dari dulu lagi (1960-an).

“Sebab itu kita perlu ikuti jejak Korea Selatan termasuk dari segi gaji progresif dan gaji minimum, supaya kita boleh mengekalkan bakat yang hebat dan menangani isu penghijrahan golongan profesional ke luar negara ekoran gaji yang rendah,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ bagi mengulas mengenai ‘Memperkasa Ekonomi MADANI’ di Bernama TV pada Selasa.

Rais turut melihat kerajaan hari ini juga memberi fokus kepada usaha mengimbangi keperluan dalam membangunkan ekonomi dan pada masa sama membantu golongan miskin tegar dan yang memerlukan termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana.

“Jika dilihat kerajaan melalui Menteri Ekonomi Rafizi Ramli juga banyak menekankan mengenai solusi operasi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, antara lain untuk meningkatkan peratusan pendapatan pekerja kepada 45 peratus daripada 35 peratus ketika ini.

“Tidak seperti kerajaan terdahulu yang sering menguar-uarkan projek mega, projek besar-besar, tetapi tidak tahu apa yang akan dihasilkan…memang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak, namun adakah bahagian KDNK ini pergi semula kepada rakyat atau tidak? kita tidak nampak perkara itu,” katanya.

Rais yakin dengan adanya keazaman politik yang kuat, pengurusan kewangan yang cermat, tadbir urus berintegriti dan beramanah, kerangka Ekonomi Madani dapat direalisasikan sekali gus menggerakkan Malaysia kepada sasaran yang ingin dicapai. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian