Malaysia Berada Di Landasan Capai Liputan 80 Peratus 5G Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini.

Setakat 31 Julai lepas, rangkaian 5G berada pada 66.8 peratus CoPA, manakala 4G telah mencapai 96.2 peratus CoPA di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching. 

Dalam ucapan perasmiannya di “Amplify Malaysia” Nokia, satu acara untuk mempamerkan visi penjenamaan serta teknologi terkini Nokia, beliau memberitahu firma telekomunikasi itu telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ini dengan menyampaikan rangkaian 5G kepada banyak negara yang telah melancarkan perkhidmatan 5G komersial.

“Adalah amat jelas bahawa teknologi menjadi alat penting dalam kehidupan seharian kita. Menjelang 2025, ekonomi digital Malaysia diunjur menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih RM382 bilion selain mewujudkan setengah juta pekerjaan. 

“Ekonomi digital memainkan peranan utama dalam rangka kerja Ekonomi Madani bagi mewujudkan pasaran yang lebih besar kepada rakyat Malaysia agar mereka tidak terikat dengan pasaran tempatan,” katanya. 

Kementerian Komunikasi dan Digital kini memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang diperlukan untuk merapatkan jurang digital serta menyediakan pakej Internet yang pantas dan berpatutan selain meningkatkan kemahiran celik digital negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Sri Lanka dan Maldives, Datuk Mohd Rauf Nasir berkata portfolio Nokia terbahagi kepada empat kategori iaitu infrastruktur rangkaian, rangkaian mudah alih, perkhidmatan awan, rangkaian serta teknologi Nokia. 

“Semua perkhidmatan Nokia ini terdapat di Malaysia, terutamanya infrastruktur rangkaian yang terdiri daripada rangkaian IP, rangkaian tetap, rangkaian optik dan rangkaian bawah laut. 

“Daripada segi penawaran kepada syarikat telekomunikasi di sini, kita juga memberikan banyak pilihan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Nokia ingin mengambil bahagian sekiranya DNB memperkenalkan penyedia peralatan rangkaian kedua untuk penggunaan 5G di Malaysia selain Ericsson Sweden. 

Nokia sudah mempunyai 303 tawaran 5G komersial di pasaran utama, seluruh dunia dengan 30 pengendali mudah alih teratas mengendalikan stesen pangkalan Nokia 4G/5G.

Nokia juga mempunyai lebih daripada 635 pelanggan tanpa wayar swasta komersial di pasaran global dengan lebih daripada 135 penggunaan radio 5G selain menjadi peneraju dalam pendigitalan industri menegak tradisional, katanya.

Mohd Rauf berkata menerusi ‘Amplify Malaysia’, Nokia mempamerkan strategi teknologinya, sekali gus,  mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memacu serta mempercepatkan pertumbuhan digital, transformasi dan ekonomi Malaysia. 

Dengan meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam inovasi di seluruh negara, Nokia memperkasakan perusahaan serta penyedia perkhidmatan komunikasi Malaysia untuk membuka keupayaan digital mereka dan menerima sepenuhnya peluang yang banyak yang dibentangkan oleh pendigitalan. 

“Kita komited sebagai rakan kongsi dalam perjalanan transformasi digital Malaysia dengan melengkapkan perniagaan dengan keupayaan bagi mendorong matlamat digital mereka.

“Sebagai sebahagian daripada ini, kita berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan ekosistem perniagaan dalam memanfaatkan potensi rangkaian eksponen bagi mereka memacu kemajuan teknologi dan memperkenalkan kemampanan dalam landskap digital Malaysia. 

“Dedikasi Nokia terletak pada usaha memperkasakan rakan kongsi dan pelanggan melalui penyelesaian misi kritikal firma bagi mewujudkan kehadiran transformatif untuk masa depan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penjelasan Berita Berkenaan Pengenaan Yuran Transaksi QR DuitNow Ke Atas Peniaga Mulai 1 Nov Baru-Baru Ini

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) —Pada 26 September 2023, beberapa media dalam talian dan arus perdana telah membuat liputan mengenai sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023. Berita itu turut memetik beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR, terpanggil mengeluarkan penjelasan ini untuk memastikan fakta mengenai perkara ini dicerminkan dengan betul dan tepat serta difahami dengan jelas.

Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan. Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama:

• Satu sebenarnya berkenaan e-pembayaran yang dibuat oleh pelanggan kepada mana-mana peniaga. Ini biasanya dikenakan kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran. Seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR. Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (‘waiver’) MDR pada pembayaran QR. Mulai 1 Oktober 2023, penepian MDR untuk pembayaran QR DuitNow ini akan ditarik balik.

• Sebaliknya, yuran RM0.50 untuk urus niaga melebihi RM5,000 yang dinyatakan dalam berita tersebut adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan-ke-rakan’ atau ‘peer-to-peer’ daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga. Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang tersebut dalam perenggan di atas dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi.

Untuk jenis pembayaran pertama yang disebut di atas, MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga. Ia adalah untuk menampung penyelenggaraan rangkaian kami serta kos ditanggung oleh bank dan pemeroleh pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga untuk menikmati perkhidmatan yang berharga ini.

Sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR telah diketepikan. Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak COVID-19. Ia bukanlah suatu yuran baru mahupun caj tambahan. Sebaliknya, 1 Oktober 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih 9 bulan yang lalu.

Dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil. Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil. Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini.

Caj RM0.50 sen adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan QR DuitNow peribadi. Adalah tidak tepat untuk menyatakan caj RM0.50 dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga. Adalah turut tidak tepat untuk menyatakan bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi.

Berkaitan kebimbangan bahawa kos MDR akan dipindahkan kepada pengguna, PayNet ingin menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR. Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai. Oleh itu, kami menjangkakan perkara yang serupa dan tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan.

Berkaitan dakwaan bahawa urus niaga secara tunai adalah percuma, PayNet ingin menjelaskan bahawa kajian oleh Roubini Thoughtlab pada 2018 mengesahkan bahawa tanggapan ini jauh tersasar kerana anggaran faedah dari tanpa penggunaan tunai kepada para perniagaan jauh melebihi kos. Manfaat bersih terkumpul 15 tahun (2017-2032) dianggarkan sekitar USD4.2 bilion natijah penjimatan daripada pengurangan kerja manual dan faedah dari e-pembayaran (iaitu peningkatan faedah/kadar keuntungan bank yang diperoleh, tiada penyesuaian (rekonsiliasi) manual, tiada kerugian berkaitan kekurangan, pengurangan keperluan pekerja dan penjimatan daripada mengendalikan wang tunai).

PayNet terpanggil mengeluarkan kenyataan ini kerana sebarang perbincangan atau dialog mengenai perkara ini harus berteraskan pemahaman yang tepat, betul dan termaklum sepenuhnya berasaskan fakta sahih yang mencerminkan keadaan dan cara sebenar bagaimana industri pembayaran digital beroperasi.