Dua Syarikat Utama AS Bakal Kembangkan Operasi Ke Malaysia – Tengku Zafrul

NEW YORK, 20 Sept (Bernama) – Dua firma elektrik dan elektronik (E&E) utama Amerika Syarikat (AS) bakal mengembangkan operasi mereka ke Malaysia dan satu daripadanya dijangka melabur sekurang-kurangnya RM500 juta.

Alton Industry Ltd Group (Alton Group) iaitu pembekal global alatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai akan melabur RM500 juta untuk menubuhkan kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)nya di Johor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Rancangan untuk kemudahan baharu itu yang dijadual siap pada 2024, telah diumumkan semasa pertemuan di sini antara menteri dan David Lu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Alton Group.

“Sebuah lagi syarikat yang saya tidak dapat namakan buat masa ini, akan melabur sejumlah besar di Pulau Pinang. Kedua-dua Alton Group dan syarikat ini mempunyai operasi di China dan mereka mahu mengembangkan operasi itu ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut Tengku Zafrul, keputusan Alton Group untuk menubuhkan kemudahan pembuatan dan R&Dnya di Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat ini terhadap daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

Pelaburan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan untuk mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan menerima pakai teknologi dengan pantas untuk meningkatkan ekosistem sektor pembuatan, jelasnya.

“Syarikat-syarikat ini mahu mempelbagaikan rantaian bekalan mereka, dan mereka juga sedang meninjau untuk membawa masuk pembekal mereka ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi global,” kata menteri itu.

Semasa pertemuan dengan Tengku Zafrul, kumpulan itu turut menyatakan rancangannya untuk melabur lebih RM2 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang bagi pengembangan dan pertumbuhannya.

Sementara itu, sebuah lagi firma AS iaitu Top-Line Furniture Corporation (Top-Line) telah melahirkan hasrat untuk meningkatkan importnya dari Malaysia dalam beberapa tahun akan datang kepada RM230 juta setahun.

Syarikat itu telah mengimport perabot rumah dari Malaysia sejak tahun 2000, dengan jumlah import  kira-kira RM840 juta setakat ini.

Tengku Zafrul berkata pengimport perabot besar dan pengedar borong terkemuka yang berpangkalan di Chicago, Illinois itu mempunyai rangkaian pusat pengedaran yang meluas di seluruh Amerika Utara dan membekalkan kepada lima syarikat perabot terbesar di rantau Mid-West.

Malaysia mengeksport RM13.86 bilion perabot ke seluruh dunia pada 2022, dengan AS menjadi destinasi eksport utamanya mencatatkan RM7.24 bilion atau 52.2 peratus daripada jumlah eksport perabot negara tahun lepas.

Sementara itu, Malaysia merupakan sumber keenam terbesar perabot import AS pada 2022, menyumbang 2.78 peratus daripada jumlah nilai import perabot dan peralatan tempat tidur AS.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Alton Group berkata syarikat itu bangga dapat mengembangkan jejak global serta membangunkan operasinya di Malaysia dengan rancangan pembukaan kemudahan pembuatan baharu syarikat di Johor Bahru.

“Kemudahan baharu ini akan menyokong pelanggan global dan membolehkan kami berkembang ke pasaran lain dengan cepat.

“Insentif daripada kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan sebagai tambahan kepada sokongan dari segi infrastruktur menjadikan ini pelaburan yang baik untuk Alton,” katanya.

Syarikat itu menjalankan perniagaan di lebih 75 negara seluruh dunia dengan pejabat di China, Jepun, Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat manakala kemudahan di Johor Bahru akan berfungsi sebagai pusat R&D global untuk platform teknologi baharu syarikat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian