Kewangan Islam Perlu Buka Inovasi Untuk Transformasi Ekonomi, Kemampanan – BNM

Islamik banking vs konvensional

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Sektor kewangan Islam perlu membuka inovasi yang memberi kesan besar untuk transformasi ekonomi dan kemampanan serta menggandakan kewangan berasaskan nilai bagi melahirkan impak yang lebih ketara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata ia juga adalah gesaan untuk bertindak kepada komuniti kewangan bagi bertanggungjawab dengan kepimpinan yang lebih baik dalam memangkin pertumbuhan mampan untuk negara.

“Ruang untuk inovasi dalam kewangan Islam adalah luas, namun, sehingga hari ini, potensi penuh kewangan Islam masih belum dioptimumkan sepenuhnya sebagai alat untuk perubahan yang bermakna bagi memenuhi keperluan kewangan dunia.

“Kita mempunyai pelbagai kontrak dan instrumen syariah yang boleh disesuaikan dengan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat yang berbeza,” kata gabenor bank pusat itu dalam ucaptama di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2023 di sini hari ini.

Dalam kewangan Islam, beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk “mengadunkan kewangan” menggunakan bentuk modal yang berbeza seperti modal bersifat dermawan dan risiko, sekali gus mengembangkan peranan pengantaraannya melangkaui peruntukan kredit dan pemindahan risiko.

“Melihat kepada keperluan ekonomi dan kewangan pada hari ini dan masa hadapan, pembiayaan, pelaburan dan keperluan perlindungan risiko bagi perniagaan dan masyarakat hari ini adalah lebih pelbagai dan kompleks.

“Terdapat peluang yang signifikan untuk kewangan Islam menunjukkan peranan dan impak pemangkinnya dengan menggunakan sepenuhnya peralatan yang tersedia bagi inovasi kewangan dalam menangani keperluan negara yang semakin berkembang merangkumi instrumen seperti sukuk, pembiayaan bersindiket dan kewangan secara teradun pada skala yang lebih besar,” tambahnya.

Abdul Rasheed berkata satu lagi bidang utama untuk inovasi ialah kewangan sosial, yang boleh dimanfaatkan untuk mengeluarkan kumpulan yang terdedah daripada kemiskinan dan perangkap pendapatan rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak industri mesti kekal teguh dan berusaha ke hadapan untuk melaksanakan perubahan yang positif dan berkekalan dan “perubahan signifikan dalam komitmen pihak atasan untuk lebih terbuka, telus dan beretika” adalah amat penting bagi mewujudkan kesan domino terhadap tindakan positif yang meresap ke seluruh sektor, daripada niat dalam nilai korporat kepada strategi dan operasi perniagaan, tingkah laku perniagaan, pengukuran prestasi dan pelaporan impak.

 “Perubahan holistik ini mesti dipacu dari dalam bilik lembaga pengarah dengan kesannya menyeluruh ke barisan hadapan supaya kesan positif dirasai oleh pelanggan dan pemegang kepentingan,” sambung beliau lagi.

Gabenor bank pusat itu juga melahirkan harapan bahawa Pelan Hala Tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang dikeluarkan tahun lepas akan berguna dalam membimbing pengendali takaful melaksanakan perubahan kepada perniagaan dan strategi operasi, memperkenalkan lebih banyak penyelesaian berasaskan nilai dan mengukuhkan kapasiti bagi memberikan impak positif kepada manusia, planet dan alam sekitar.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.