BNM: Industri Takaful Malaysia Dijangka Terima Manfaat Pelan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Industri takaful di Malaysia dijangka menerima manfaat daripada beberapa pelan ekonomi negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, selain kerangka Ekonomi MADANI:  Memperkasa Rakyat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Penolong Gabenor BNM Suhaimi Ali berkata menerusi pelan ekonomi negara, penggiat industri boleh membina kesalinghubungan perniagaan yang kukuh dengan menggunakan prospek perniagaan lebih luas untuk meraih manfaat daripada potensi kerangka dan pelan hala tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai Takaful (VBIT).

“Dalam memanfaatkan peluang ini, hala tuju masa depan takaful menuntut perspektif dan komitmen lebih luas bagi menangani isu skala, kepakaran dan selera risiko.

“Kepelbagaian dan pengembangan di luar daripada tumpuan semasa bagi kategori perlindungan insurans yang melindungi individu dan aset mereka adalah penting.

“Ini bererti membina keupayaan dan pengetahuan sendiri untuk berdepan risiko yang tidak diketahui, dengan penyelarasan dan kerjasama adalah penting selain inovasi, melibatkan pelbagai disiplin Syariah, produk, risiko, strategi dan aktuari, dan lazimnya dengan sokongan daripada penggiat takaful semula dan insurans semula,” katanya dalam ucap tama program Takaful Rendezvous 2023 di sini hari ini.

Suhaimi turut menekankan keutamaan lain untuk memanfaatkan potensi VBIT seperti memperkenalkan produk berasaskan nilai dan perkhidmatan tambah nilai serta menanamkan tadbir urus yang baik bagi menambah baik jangkaan tingkah laku pasaran.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia mempunyai ekosistem pemboleh dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam, sama ada daripada individu atau perniagaan bagi menyokong pelbagai keperluan ekonomi.

Sehubungan itu, operator takaful perlu memanfaatkan ekosistem halal dan memenuhi keperluan takaful untuk perlindungan harta dan perniagaan bagi melengkapkan rangkaian luas penyelesaian pembiayaan perdagangan kepada pengimport dan pengeksport, katanya.

Suhaimi berkata, penting untuk penggiat takaful semula untuk meraih manfaat daripada kekukuhan dan ekosistem Malaysia bagi bantuan perniagaan ke rantau Asia dan di luarnya.

Beliau berkata banyak negara sedang menyediakan peraturan yang diperlukan bagi membolehkan penawaran takaful dan meningkatkan sumbangan sektor itu.

“Penggiat takaful semula di Malaysia dengan kepakaran dan kemampuan yang ada, boleh menawarkan kapasiti untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan industri takaful di pasaran lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed berkata Takaful Rendezvous 2023 yang sebelum ini dikenali sebagai Konvensyen Antarabangsa Takaful dan Takaful Semula adalah perhimpunan tahunan bagi pakar industri di seluruh dunia untuk saling bertukar pandangan berhubung peluang dan isu yang dihadapi oleh industri takaful.

“Menerusi program ini, MTA telah memulakan satu platform untuk industri takaful dan takaful semula memperkenalkan dan menonjolkan amalan Malaysia dari segi struktur dan prinsip takaful dan takaful semula di peringkat global.

“Sejajar dengan pertumbuhan kukuh industri takaful, ciri ini akan terus menyediakan pendekatan untuk menggalakkan wacana intelektual dan merealisasikan peluang perniagaan ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu.

Mohd Radzuan berkata Takaful Rendezvous 2023 bertemakan “Membolehkan Ekosistem Inovasi, Kemampanan dan Kecekapan – Menggariskan Hala Tuju Masa Depan” adalah tepat pada masanya dan mencetuskan idea.

 Dianjurkan dengan kerjasama Asian Insurance Review, Takaful Rendezvous menandakan tahun ke-13 penganjurannya sejak kerjasama pertama yang terjalin pada 2010 di Kuala Lumpur.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Ahli Ekonomi Kekalkan Unjuran Inflasi 2026 Pada 1.8-2.0 Peratus

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal pada 2026, dengan ahli ekonomi mengekalkan unjuran pada 1.8 hingga 2.0 peratus berikutan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, permintaan domestik yang stabil serta tekanan harga luaran yang terkawal, yang membantu mengekalkan inflasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli mengekalkan unjuran inflasi bank itu bagi 2026 pada 2.0 peratus, dengan menjangka tekanan harga meningkat pada separuh kedua tahun ini dan mencapai kemuncak pada suku keempat.

Beliau berkata bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun sebanyak 1.9 peratus, rendah sedikit  berbanding unjuran AmBank sebanyak 2.0 peratus.

Menurutnya ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa inflasi terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dan dibantu pelaksanaan program subsidi bahan api bersasar di bawah BUDI MADANI.

Bagaimanapun beliau berkata tahap penggunaan masih tidak mencukupi untuk mencetuskan inflasi yang didorong permintaan.

Beliau berkata bacaan inflasi yang lebih rendah pada Jun sebahagian besarnya berpunca daripada kadar kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kumpulan pengangkutan, penjagaan diri, perlindungan sosial, pelbagai barangan dan perkhidmatan serta pendidikan.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman, yang mempunyai pemberat terbesar dalam bakul IHP kekal tidak berubah pada 1.4 peratus.

Melangkah ke hadapan, Firdaos menjangka inflasi meningkat pada separuh kedua 2026, didorong oleh kesan asas yang rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas, selain kesan tertangguh daripada kenaikan harga bahan mentah dan kos pengangkutan yang mula disalurkan kepada pengguna.

Beliau mengingatkan kemungkinan gangguan cuaca yang disebabkan oleh El Nino boleh memberi tekanan peningkatan harga makanan tahun ini.

Mengenai risiko luaran, Firdaos berkata konflik berpanjangan di Asia Barat kekal sebagai faktor utama yang boleh mencetuskan gangguan bekalan, walaupun kesannya terhadap harga pengguna berkemungkinan kekal terhad, disokong mekanisme subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

“Tekanan inflasi berkemungkinan lebih dirasai oleh kalangan perniagaan berbanding pengguna susulan kenaikan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) sejak Mac 2026,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk baki tempoh tahun ini, disokong keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan termasuk prospek pertumbuhan lebih kukuh, pasaran tenaga kerja yang stabil serta pertumbuhan pinjaman yang baik.

Mengenai inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh kerajaan, beliau berkata langkah itu mungkin memberi sedikit kesan namun dijangka tidak mengubah trajektori inflasi secara ketara.

“Saya berpandangan idea di sebalik inisiatif ini adalah untuk mengehadkan penggunaan bahan api, dan bukannya mengurus inflasi,” katanya.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd mengekalkan unjuran IHP 2026 pada 1.8 peratus, menjangkakan subsidi bersasar dan langkah kawalan harga terus melindungi pengguna daripada tekanan harga luaran, terutama harga bahan api global yang lebih tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan subsidi bahan api bersasar yang berterusan, termasuk peluasan mekanisme pengagihan subsidi berdasarkan MyKad meliputi diesel, sewajarnya membantu membendung tekanan inflasi.

“Kami yakin dasar berkaitan subsidi dan kawalan harga akan kekal dilaksanakan sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada kesan harga bahan api yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga bahan api telah menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah pada Jun dengan subindeks pengangkutan menyederhana kepada 2.8 peratus daripada 3.8 peratus pada Mei.

Dari perspektif dasar monetari, Mohd Afzanizam berkata penetapan kadar faedah semasa kekal pada tahap yang cukup ketat, dengan kadar faedah sebenar yang diukur melalui OPR ditolak inflasi, berada pada paras 0.85 peratus iaitu di atas purata jangka panjang sebanyak 0.70 peratus.

“Oleh itu, kami menjangkakan BNM tidak mengubah OPR tahun ini. Jelas sekali, paras OPR semasa memberikan sokongan yang tepat kepada ekonomi dan pengurangan ‘insurans’ sebanyak 25 mata asas pada Julai tahun lepas mencapai matlamatnya,” katanya.

Sehubungan itu, Bank Muamalat turut mengunjurkan OPR kekal pada paras 2.75 peratus bagi baki tempoh 2026.

Mengenai inisiatif BDR, Mohd Afzanizam berkata langkah itu dapat mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengangkutan, dengan sokongan teknologi yang membolehkan sebahagian pekerja menjalankan tugas hampir tanpa gangguan melalui mesyuarat dalam talian selain boleh membuat keputusan segera.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelaksanaan inisiatif BDR melibatkan penjawat awam sejak pertengahan April lepas berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta setakat Selasa lepas.

Inisiatif BDR yang dilaksanakan untuk penjawat awam sejak pertengahan April berjaya menjimatkan perbelanjaan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta.

Inisiatif berkenaan juga mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 4.05 juta liter dalam tempoh tiga bulan sejak pelaksanaannya di seluruh negara sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 659,000 penjawat awam.

— BERNAMA