Malaysia Perlu Ada Strategi Hasil Jangka Sederhana Hingga Panjang – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Malaysia seharusnya mempunyai strategi hasil jangka sederhana hingga panjang yang sesuai untuk memulihkan penampan fiskalnya, kata Bank Dunia.

Ketua Ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi berkata hasil Malaysia yang sebagai bahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) semakin menurun, dengan hasil cukai jauh di bawah 12 peratus daripada KDNK. 

“Adalah penting untuk mempunyai pandangan fiskal jangka panjang tentang keperluan perbelanjaan ekonomi Malaysia mengikut sektor dan, berapa banyak lagi hasil yang perlu digerakkan. Buat masa ini, sepanjang pengetahuan kami, tiada sasaran pendapatan yang perlu dinaikkan.

“Bergantung kepada jurang hasil antara keadaan hasil semasa dan perkara yang perlu dinaikkan, maka anda boleh bercakap mengenai gabungan instrumen optimum (untuk meningkatkan hasil),” kata Apurva kepada pemberita pada majlis pengumuman Kemas Kini Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2023 dan bahagian pertama Malaysia Economic Monitor (MEM) bagi bulan September 2023, di sini hari ini.

Menurut Bank Dunia, ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2023, dengan beberapa cabaran utama berterusan di peringkat domestik, termasuk ruang fiskal yang semakin sempit, apabila hasil cukai kerajaan terus menurun.

Katanya, perbelanjaan ke atas gaji, pencen, dan pembayaran faedah terus meningkat, diburukkan lagi dengan pelbagai perbelanjaan yang tidak cekap, termasuk subsidi bahan api yang meluas dan kawalan harga yang bersifat berat sebelah.

Pada Oktober 2023, pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan dijangka mendedahkan butiran tambahan mengenai rancangan pembaharuan subsidi.

Kerajaan pada Julai memperkenalkan pelan ekonomi jangka sederhananya, ‘Ekonomi Madani,’ yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada KDNK atau lebih rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pelancaran Ekonomi Madani berkata ia merupakan satu cara untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dengan menstruktur semula ekonominya untuk menjadikannya peneraju di Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Apurva berkata mengurus perbelanjaan menjadi tugas penting dan isyarat kerajaan kepada rakyat bahawa ia sedang memulihkan ketirisan tabung kerajaan sebaik mungkin.

“Sebagai contoh, mempercepatkan akta perolehan kerajaan adalah bagus kerana banyak kecekapan berlaku melalui perolehan projek di Malaysia. Tetapi terdapat juga banyak cara yang anda boleh menguruskan kecekapan perbelanjaan juga,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama