IEMS 2023 Mempamerkan Pengangkutan Sifar Bersih, Inovasi EV

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa 2023 (IEMS 2023) bakal menjadi pusat perbincangan untuk mencapai mobiliti dan pengangkutan sifar bersih.

Dianjurkan bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, edisi kedua IEMS itu dijadualkan pada 4-6 Okt, 2023, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ia akan mempamerkan model-model kenderaan elektrik (EV) terkini, teknologi elektrifikasi termaju, produk inovatif dan penyelesaian, kata MGTC dalam satu kenyataan hari ini.

IEMS 2023 akan melibatkan lebih 50 peserta pameran, pakar-pakar industri dan peneraju dalam sektor EV tempatan dan global serta mobiliti rendah karbon.

“IEMS 2023 bersedia untuk mengadakan dua sesi forum yang membincangkan inisiatif kerajaan bertujuan memupuk penggunaan EV.

“Sesi ini juga akan menawarkan pandangan menarik daripada perspektif industri merangkumi kereta, motosikal, kenderaan tugas berat dan kesediaan bakat,” katanya.

Penampilan istimewa IEMS 2023 ialah National EV Pavilion (Pavilion EV Kebangsaan), merangkumi gerai oleh ahli Pasukan Petugas EV Kebangsaan merentas pelbagai sektor dalam ekosistem EV.

Pengunjung IEMS 2023 boleh menjangkakan penyediaan pelbagai aktiviti dan peluang, dan seorang pelawat bertuah berpeluang memenangi skuter elektrik secara percuma.

Selain itu, IEMS 2023 akan menjadi tuan rumah Persidangan Perkongsian Logistik Hijau 2023 pada 5 Okt, 2023, dan ia juga bertepatan dengan Pameran & Persidangan Produk Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia ke-14.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai penyertaan dalam IEMS 2023, boleh melayari https://iems-malaysia.com.my/.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Malaysia Dijangka Pengeksport Penting Durian Segar Ke China – BMI

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Malaysia dijangka menjadi pengeksport penting durian segar ke China berikutan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua negara pada tahun lepas, kata BMI.

BMI, unit Fitch Solutions berkata perjanjian yang dimeterai pada Jun 2024 itu membolehkan Malaysia untuk mengeksport durian segar ke China.

Menurutnya sebelum ini, Malaysia hanya mengeksport pulpa beku dan buah beku.

Memetik data daripada Pusat Perdagangan Antarabangsa, BMI berkata eksport durian segar Malaysia ke China berjumlah US$4 juta (US$1 = RM4.41) pada Ogos, September dan Oktober 2024.

“Kami mengunjurkan permintaan kukuh yang berterusan dari China terhadap buah durian, justeru menjangka pelaburan dalam sektor ini akan meningkat dalam tempoh singkat dan sederhana selain menekankan risiko berkaitan kebergantungan tinggi terhadap satu pasaran import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BMI berpendapat Malaysia dan Vietnam dijangka memberi cabaran kepada Thailand, dengan kedua-dua negara mengalami pertumbuhan yang ketara dalam eksport durian.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, eksport buah durian telah menjadi sumber pendapatan eksport yang semakin penting bagi negara pengeluar di rantau ini (Asia Tenggara).

“Kami menjangka persaingan kian meningkat di pasaran durian, dengan pertumbuhan ketara eksport dari Vietnam dan Malaysia dan turut meramalkan semakin mencabar status Thailand sebagai pengeksport terbesar dunia,” kata BMI.

Thailand pada masa ini adalah pengeksport raja buah-buahan segar itu yang terbesar di dunia, menyumbang sebanyak 63.8 peratus daripada keseluruhan eksport antara 2013 dan 2023.

“Eksport durian Thailand telah berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 22.8 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas dan 8.6 peratus dalam masa lima tahun lepas, menunjukkan momentum teguh industri ini,” kata BMI.

Sehubungan itu, BMI menjangka tumpuan pasaran akan berkurangan dalam tempoh terdekat dengan pertumbuhan pengeluaran dan eksport daripada pasaran alternatif.

BMI turut menekankan bahawa kepentingan pengeluaran durian di Vietnam yang semakin meningkat menimbulkan risiko terhadap industri kopi di negara itu.

Setakat ini, Vietnam adalah pengeluar utama biji kopi robusta dunia.

“Dari segi kekurangan, sebahagian petani memilih untuk menanam durian berbanding kopi. Dari segi kebaikan, peningkatan tanaman selingan boleh memperkukuh daya tahan ladang,” katanya.

— BERNAMA