Perlu Ada Perdamaian Politik Dalam Ekonomi Untuk Selesai Isu Hutang Negara – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Perlu ada perdamaian politik dalam ekonomi untuk mencari penyelesaian kepada isu hutang negara, kata Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.  

Beliau berkata isu hutang negara tidak perlu dijadikan modal politik untuk meraih sokongan dan menuding jari hanya akan mendorong negara ke arah permasalahan tanpa penghujung. 

“Semua parti di dalam Dewan ini mempunyai pengalaman kerajaan memerintah. Kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apakah tindakan yang telah dilaksanakan semasa menjadi kerajaan untuk mengatasi segala krisis dan ketidaktentuan ekonomi global pada masa itu.

“Saya memohon Kementerian Kewangan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti dalam kadar segera sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk memulihkan ekonomi kita.

“Kebersamaan kita adalah teras kepada kejayaan pemulihan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau turut menekankan empat perkara utama yang perlu diperhalusi oleh kerajaan iaitu cara paling tepat untuk terbitan hutang, masa yang sesuai untuk terbitan hutang, kos yang ditanggung bersesuaian dengan kadar lonjakan ekonomi pada masa akan datang dan sama ada terbitan hutang akan memberi impak positif atau negatif terhadap peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Negara kita sentiasa dinilai bagaimana kita memenuhi kewajipan hutang dengan cara yang tepat dan masa secara kos efektif serta mengurangkan risiko krisis kewangan,” katanya.

Kementerian Kewangan turut diminta menambah baik nilai kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) bagi memperbaiki persepsi pelabur luar terhadap negara. 

Mohd Shahar berkata untuk meningkatkan IIP, Malaysia mesti mempunyai pegangan aset-aset kewangan di luar negara berbanding pelabur luar yang memiliki aset-aset kewangan negara.   

“Saya memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan bagaimana untuk meningkatkan kadar kedudukan pelaburan kerana nisbahnya, jika kita naikkan satu peratus kenaikan IIP, bermakna nilai ringgit akan mencatatkan kenaikan sebanyak 0.08 peratus,” katanya, 

Beliau berkata kepercayaan kelayakan kredit sesebuah negara yang dijalankan oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, Fitch dan S&P Global Ratings amat penting kerana ia mencerminkan kewibawaan negara sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan berkualiti. 

Mohd Shahar berkata kesan penurunan penarafan dan unjuran kepada ekonomi dan kewangan negara termasuk menyebabkan aliran keluar modal kerana sentimen pelabur yang lemah. 

“Persoalannya bagaimana kita hendak mengatasinya? Bilakah Akta Tanggungjawab Fiskal akan dikuatkuasakan dan bilakah kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan di Dewan Rakyat untuk memastikan pematuhan tatakelola dapat ditambah baik?” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.