Ekonomi Gig Terus Berkembang Walaupun Normalisasi Isi Rumah, Aktiviti Perniagaan — MDEC

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Ekonomi gig Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan yang sihat pada 2023 walaupun aktiviti isi rumah dan perniagaan telah dinormalisasikan selepas pandemik dengan meningkatnya kesedaran terhadap potensi pendigitalan dan pelbagai insentif yang menyokong peralihan.

Pada suku ketiga 2023 (S3 2023), saiz pasaran ekonomi gig berjumlah RM1.33 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata saiz pasaran pada S3 2023 sudah mencapai kira-kira 80 peratus daripada saiz pasaran sepanjang tahun 2022 (RM1.63 bilion).

“Pertumbuhan ini menunjukkan terdapat permintaan pasaran yang berterusan daripada segmen isi rumah dan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Terdapat kesedaran yang semakin meningkat mengenai pelbagai perkhidmatan dan penyelesaian platform ekonomi gig dalam pasaran yang boleh memudahkan mereka dalam perjalanan pendigitalan mereka,” katanya kepada Bernama.​

Saiz pasaran itu adalah berdasarkan analisis dalaman MDEC tentang laporan platform ekonomi perkongsian bagi suku tahunan yang meliputi platform buruh dalam talian tetapi mengecualikan jenis-jenis platform lain seperti platform perkongsian wang dan perkongsian barangan.

Ekonomi perkongsian ialah istilah umum yang digunakan untuk merujuk kepada ekonomi gig, ekonomi bebas dan model-model lain yang serupa.

Menurut analisis dalaman MDEC, terdapat lebih 100,000 individu baharu menyertai dan memperoleh pendapatan melalui platform ekonomi gig di Malaysia setakat S3 2023 berbanding 266,222 individu pada 2022.​

Pada masa ini, terdapat lebih 140 platform ekonomi gig yang disahkan oleh MDEC dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sejak 2014, melibatkan pelbagai aktiviti melangkaui e-hailing dan p-hailing seperti penjagaan kesihatan, automotif, perkhidmatan domestik, perkhidmatan kreatif dan profesional.

Pelbagai usaha untuk menyokong ekonomi gig

Mahadhir berkata terdapat usaha bersepadu untuk menangani kerumitan ekonomi gig yang semakin meningkat di Malaysia, justeru, Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian Nasional telah dibentuk sebagai jawatankuasa penyelaras berpusat dan penyelesaian masalah untuk menyokong pertumbuhan perniagaan ekonomi gig sambil melindungi kepentingan pekerja-pekerja gig dan pengguna secara amnya.

Jawatankuasa itu mengadakan dua mesyuarat pada 2023 dan menganjurkan pelbagai perbincangan bersama pasukan petugas dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk meneliti beberapa isu dan menasihati kerajaan mengenai langkah dan dasar intervensi yang berpotensi.

Selain itu, Mahadhir berkata terdapat juga usaha berterusan kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Ekonomi Perkongsian (TC/3/9) dalam membangunkan standard industri yang berkaitan bertujuan menggalakkan operasi platform digital yang lebih dipercayai dalam ekonomi gig serta membimbing semua pihak berkepentingan dalam memahami model ekonomi perkongsian.

“Tahun lalu, TC/3/9 menghasilkan Standard Malaysia MS 2754:2022 Ekonomi Perkongsian-Prinsip Am yang pertama dan sedang membangunkan satu lagi dokumen standard yang dijangka diterbitkan untuk perundingan awam pada Disember 2023,” katanya.

Usaha Malaysia untuk menggalakkan penyertaan inklusif dalam ekonomi gig turut disedari oleh pelbagai pihak.

Bank Dunia dalam laporan terbarunya, “Working Without Borders-The Promise and Peril of Online Gig Work” yang dikeluarkan pada September 2023, telah mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu negara yang berjaya memanfaatkan kerja gig untuk meningkatkan akses kepada pekerjaan, terutamanya dalam kalangan wanita dan belia melalui inisiatif yang disasarkan seperti eRezeki dan Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) oleh MDEC.

GLOW, sebuah program untuk rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk melakukan freelancer (pekerja bebas) sebagai kerjaya dan menjadi freelancer digital, telah menjalankan lebih daripada 80 acara jangkauan di seluruh negara dan berjaya melatih lebih daripada 10,000 peserta, termasuk freelancer digital dan pekerja gig setakat ini, berbanding lebih 5,000 peserta yang dilatih pada tahun 2022.

Di bawah program GLOW, pelbagai aktiviti, termasuk kesedaran dan jangkauan serta program latihan melalui fizikal dan dalam talian telah dianjurkan dengan kerjasama sektor awam dan swasta seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Belia dan Sukan, institut pengajian tinggi dan Felda pada 2023.​

Mahadhir berkata untuk menggalakkan kesedaran yang lebih tinggi mengenai pengendali platform ekonomi gig tempatan kepada kerajaan, komuniti dan industri secara amnya, satu jawatankuasa pro-tem Malaysia Sharing Economy Association (MySEA) diumumkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian kedua pada 31 Okt, 2023.

Ia diwakili ahli-ahli daripada 15 pemain industri ekonomi perkongsian tempatan seperti GoGet, Bateriku, KiddoCare, TheLorry dan Inbosz.

Perdebatan yang berterusan tentang kebajikan pekerja gig

Walaupun terdapat kebimbangan yang besar tentang kekurangan perlindungan sosial, gaji yang adil, peningkatan kemahiran dan peluang kemahiran semula untuk pekerja gig, cabaran sebenar adalah untuk Malaysia mewujudkan definisi yang jelas tentang ekonomi gig.

Mahadhir berkata pada masa ini tiada definisi yang jelas khususnya mengenai pekerjaan gig dan status pekerjaan serta kategori pekerja gig, yang membawa kepada perdebatan berterusan dan persefahaman berbeza dalam kalangan masyarakat, pemain industri dan pihak berkuasa.

“Berdasarkan pemerhatian MDEC terhadap tindak balas dasar global mengenai ekonomi gig, pelbagai pendekatan telah dijalankan oleh kerajaan dari negara yang berbeza dan beberapa daripadanya kini dalam peringkat percubaan seperti bereksperimen dengan kategori-kategori pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan unik segmen pekerja gig.

“Walaupun pilihan ini akan menjadi dasar yang agak menjanjikan untuk Malaysia, ia menuntut pemahaman yang lebih mendalam daripada penggubal dasar dan penggubal undang-undang bukan sahaja tentang sifat ekonomi gig tetapi juga kepraktisan dasar komersial platform yang berbeza, algoritma dan model perniagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kekurangan perlindungan sosial dan faedah; ketidaktentuan dan ketidakstabilan pendapatan dan mata pencarian; mengalami pengasingan dan tekanan; dan kekurangan hala tuju kerjaya yang jelas adalah antara cabaran lain bagi pekerja gig di Malaysia tahun ini.

Mahadhir berkata pekerja gig selalunya tidak dilindungi oleh undang-undang buruh dan peraturan yang sama seperti pekerja biasa, misalnya dari segi gaji minimum, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran lebih masa, cuti sakit, insurans kesihatan dan faedah-faedah lain.

Beliau berkata pekerja gig berdepan kerja yang dipengaruhi permintaan dan bekalan yang turun naik dan juga perlu berhadapan dengan persaingan daripada pekerja-pekerja gig lain di peringkat domestik dan global serta kemungkinan digantikan dengan automasi atau kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, beliau berkata pekerja gig mungkin mengalami pengasingan sosial dan kekurangan sokongan daripada majikan dan rakan sebaya mereka, terutamanya jika mereka bekerja di kawasan yang terpencil atau secara bersendirian.

Katanya pekerja gig juga mungkin menghadapi tekanan dan tahap kebimbangan yang lebih tinggi disebabkan tekanan bagi menepati tarikh akhir, menyampaikan kerja yang berkualiti dan memuaskan pelanggan.

“Membangunkan kerjaya secara jangka panjang dalam ekonomi gig memerlukan pekerja gig untuk menempa laluan kerjaya mereka. Perubahan berterusan dalam peranan kerja mereka juga boleh menyukarkan untuk berkomunikasi siapa mereka dan apa yang mereka boleh lakukan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.