Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS, Dijangka Pulih Pada Akhir Urus Niaga

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) — Ringgit susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Rabu, namun diunjur pulih kemudiannya didorong oleh jangkaan China mengumumkan langkah bagi merangsang ekonomi negara itu.

Pada 9.01 pagi ini, ringgit berada di paras 4.7590/7625 berbanding dolar AS daripada paras 4.7570/7620 pada akhir urus niaga semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan China dijangka mengumumkan langkah bagi merangsang ekonomi di tengah-tengah kritikan bahawa kerajaan tidak bertindak sewajarnya bagi memacu keyakinan pelabur.

“Data-data Indeks Pengurus Pembelian yang meningkat juga menunjukkan bahawa ekonomi utama itu masih bertahan, terutamanya bagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata berikutan ringgit berada dalam keadaan terlebih jual, beberapa pembetulan sememangnya dijangkakan yang menyaksikan ringgit mungkin pulih berbanding dolar AS hari ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2188/2214 daripada 3.2012/2048 pada Selasa, turun berbanding euro kepada 5.1202/1240 daripada 5.1109/1163 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9973/6.0017 daripada 5.9653/9715 sebelum ini. 

Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ringgit bagaimanapun meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 302.4/302.9 daripada 302.8/303.2 semalam, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5425/5454 daripada 3.5321/5361 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.3864/4019 daripada 13.2970/3169.

Ia juga rendah berbanding peso Filipina kepada 8.48/8.50 daripada 8.45/8.46. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee